Badal Haji Untuk Pesakit & Orang Yang Telah Meninggal Dunia
Berikut dikongsikan panduan mengenai proses / tatacara melaksanakan Badal Haji untuk mereka yang tidak berupaya (sakit) atau telah meninggal dunia untuk menunaikan Ibadah Haji.
Isi Kandungan
Apa Itu Badal Haji?
Badal Haji merujuk kepada perbuatan menunaikan Haji bagi pihak seseorang yang tidak mampu untuk mengerjakan Haji sendiri.
Ini termasuk orang yang telah meninggal dunia, kurang upaya kronik atau sakit.
Dari segi bahasa, badal haji bermaksud pihak.
Manakala dari segi istilah pula adalah seseorang yang telah melakukan Haji untuk dirinya lalu melaksanakan Haji untuk orang lain sama ada seseorang yang telah meninggal dunia atau sakit yang tiada harapan sembuh untuk melakukan ibadah Haji ke tanah suci, sama ada dengan upah atau tidak.
Badal Haji juga dikenali sebagai Upah Haji.
Hukum Badal Haji
Menurut jumhur fuqaha, hukum Badal Haji dalam syarak adalah diharuskan. Hal ini berdasarkan dari hadis Nabi SAW yang berbunyi:
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA: Seorang wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah ﷺ dan berkata: “Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk menunaikan Haji, apakah aku perlu menunaikan Haji bagi pihaknya?”
Jawab Baginda: “Ya, tunaikanlah Haji untuknya. Apa pandangan kamu kalau ibu kamu berhutang, apakah kamu perlu melunaskannya?”
Jawabnya: “Ya”.
Sabda Baginda: “Tunaikanlah hutang Allah dan hutang Allah lebih berhak untuk dilunaskan.
Hadis Riwayat Al-Bukhari, Ahmad, dan An-Nasaie
Hadis tersebut menjelaskan bahawa pelaksaan Haji bagi pihak yang telah dunia adalah boleh dilaksanakan walaupun tidak diwasiatkan kepadanya untuk berbuat yang demikian.
Diwajibkan Badal Haji bagi yang berkemampuan kepada:
- Si mati yang tidak berkesempatan untuk menunaikan Haji.
- Pesakit yang tiada harapan untuk sembuh.
Syarat Sah Badal Haji & Syarat Orang Yang Mengerjakan Badal Haji
Syarat-syarat sah Badal Haji dan syarat-syarat bagi orang yang akan mengerjakan Upah Haji adalah seperti yang berikut:
Syarat Sah Badal Haji | 1. Upah Haji ini hanya boleh dilakukan untuk individu yang tidak berkemampuan dari segi fizikal (pesakit kronik / pesakit terlantar) dan orang yang telah meninggal dunia SAHAJA. 2. Upah Haji tersebut harus dilaksanakan oleh individu yang telah melakukan Haji SAHAJA. TIDAK boleh seseorang itu mengerjakan ibadah yang wajib bagi orang lain jika dia sendiri belum menunaikan ibadah tersebut. 3. Upah Haji TIDAK SAH atau TIDAK WAJIB bagi orang yang tidak berkemampuan dari aspek kewangan. 4. Wakil yang melaksanakan Upah Haji tersebut perlu memastikan niat yang dibaca sewaktu memasuki ihram jelas menyatakan bahawa ibadah tersebut dilakukan bagi mewakili individu lain. Jika tidak, Upah Haji tersebut adalah TIDAK SAH. |
Syarat Orang Yang Akan Mengerjakan Badal Haji | 1. Baligh. 2. Berakal. 3. Tidak mengerjakan untuk dirinya dahulu. 4. Berniat melakukan Haji untuk orang yang diniabahkannya. 5. Berniat ihram dimiqat orang yang diniabahkannya. 6. Mendapat keizinan sekiranya dia meniabahkan Haji orang yang masih hidup |
Tatacara Melakukan Badal Haji
Upah Haji ini dilakukan mengikut proses atau langkah-langkah berikut:
- Memilih wakil yang layak (individu yang telah melakukan Haji dan memahami rukunnya) untuk melakukan Upah Haji.
- Wakil perlu menunaikan Haji tersebut dengan memenuhi semua rukun dan syarat Haji (Ihram, Tawaf, Saie, dan lain-lain).
- Berniat Upah Haji dan dengan jelas menyatakan bahawa Haji yang dilakukan bukan untuk diri sendiri tetapi untuk individu lain.
Waspada Kes Penipuan Mengenai Badal Haji
Rakyat Malaysia yang ingin melakukan Upah Haji untuk diri mereka sendiri atau untuk kaum keluarga yang telah meninggal dunia perlu diingatkan untuk berhati-hati dalam mencari individu bertanggungjawab untuk mewakili anda atau keluarga anda.
Hal ini demikian kerana, telah banyak dilaporkan berkenaan syarikat-syarikat tidak bertanggungjawab yang menipu mangsa dengan menawarkan harga yang sangat murah di bawah anggaran kos yang dinyatakan.
Justeru, kita perlu sentiasa berwaspada agar sentiasa melakukan semakan bersama Tabung Haji atau melihat pada harga yang ditawarkan sebelum membuat sebarang keputusan.
Semoga perkongsian info tentang Ibadah Haji ini sedikit sebanyak dapat menambahkan ilmu pengetahuan anda dan bermanfaat untuk semua umat Islam diluar sana.
Selamat Menunaikan Ibadah Haji kepada semua umat Islam yang akan dijemput menjadi tetamu-Nya!