Bagaimana Menghilangkan Perasaan Dengki
Dengki atau Irihati adalah penyakit hati dan satu sikap yang boleh memecah-belahkan sesiapa saja. Sikap ini tidak lari pada setiap orang atau bangsa. Dikalangan rakan-rakan, rakan sekelas, rakan sekerja, malahan kalangan adik-beradik pun ada sifat ini. Pendek kata, Di mana-mana saja akan ada individu yang menyimpan sifat hasad dengki.
Berikut adalah maksud Hasad Dengki dalam kamus Bahasa Melayu dan dalam Islam:
Definisi : ; 1. dengki, cemburu (disertai niat jahat); 2. kedengkian, kecemburuan (yg disertai niat jahat); (Kamus Dewan Edisi Keempat)
Hasad berasal dari bahasa Arab yang bererti dengki, yang mana sering digabungkan menjadi hasad dengki dalam bahasa harian kita. Ia membawa maksud perasaan inginkan agar nikmat, kelebihan, kebolehan atau keistimewaan yang ada pada orang lain terhapus. Tetapi dia akan merasa gembira jika dia termasuk dalam kumpulan yang memperolehi kelebihan serta keistimewaan berkenan.
Di zaman serba moden ini, masyarakat kita sepatutnya sudah berpandangan jauh ke depan. Berusaha majukan diri dan keluarga tanpa membandingkan kejayaan diri dengan orang lain. Adanya rasa kurang senang dengan kemajuan serta kemewahan hidup yang dikecapi oleh orang lain.
Walaubagaimanapun inilah antara resam dunia, apabila ada orang yang sebangsa dan seagama maju, kaya-raya dan berjaya, terus ada pemikiran negatif. Mereka mentohmah kononnya kemajuan serta kejayaan yang mereka perolehi itu hasil dari pinjaman, rasuah, tipu-daya dan sebagainya.
Situasi ini menandakan ada sesuatu yang tidak kena, atau berkemungkinan hati sudah diselimuti sifat cemburu dan hasad terhadap saudara seagama yang lebih ke hadapan dalam pelbagai bidang.
Hasad adalah sifat mazmumah yang paling kerap melanda diri manusia. Dalam menghuraikan persoalan sifat yang keji ini, Imam al-Ghazali menyenaraikan 3 ciri orang yang berdengki seperti berikut:
3 Ciri Orang Yang Berdengki
- Pertama, menginginkan agar kenikmatan atau kelebihan lenyap daripada orang lain dan mengharapkan agar kenikmatan itu berpindah kepadanya.
- Kedua, menginginkan agar kelebihan yang dimiliki orang lain itu lenyap meskipun dia sendiri tidak dapat memilikinya disebabkan kekurangan pada dirinya sendiri. Yang penting baginya ialah orang itu jatuh dan hilang kelebihannya.
- Ketiga, merasa sakit hati apabila orang lain melebihinya walaupun dia tidak berbuat sesuatu untuk menjatuhkannya.
Bagaimana kita hendak menghilangkan rasa irihati ini sekiranya muncul dalam hati kita? Penulis sendiri mengakui, rasa iri hati atau dengki atau cemburu pernah menerjah dalam diri. Ada banyak sebenarnya, cuma kita yang tidak mahu mengakuinya atau tidak sedar. Kerana EGO.
Iri/cemburu pada orang lain yang tidak punya kerja tapi mampu membina rumah sendiri, pasangan lain dapat anak kembar, dapat anak-anak yang pintar serta hormat orang tua, orang lain petah berkata-kata depan audiens tapi kau tidak mampu buat begitu. Sebenarnya banyak rasa iri hati dalam diri sendiri yang ingin nyatakan, tapi cukuplah yang di atas tadi tu.
Terkadang bila rasa itu mahu muncul, penulis cuba elakkan dengan membuat benda-benda lain bagi melupakan rasa tersebut dan di sini juga penulis ingin kongsikan Bagaimana Menghilangkan Perasaan Dengki.
Tips Menghilangkan Perasaan Dengki
- Ucapkan tahniah kepada orang yang didengki itu ketika dia mendapat nikmat.
Contohnya orang tu baru melangsungkan perkahwinan. Kita belum lagi. Tengok pula suami dia kacak dan anak orang kaya. Siapa tak jeles? Heh. Jadi eloklah kita ucapkan *tahniah* dan bersalam dengannya. Mana tahu, ada keberkatan Allah Taa’la nak bagi kepada kita selepas ini untuk berkahwin pula?
- Sanjung dan puji kebaikannya terutama di belakangnya.
Bila kawan kita naik pangkat dan dinaikkan gaji, kita mesti akan terasa. Lagi-lagi bila gaji kita yang berkelulusan tinggi juga ni cukup-cukup makan je. Seeloknya janganlah kita dengki dengan rezeki kawan kita itu. Bila kita bercerita tentangnya, kita seeloknya memuji dia kerana mungkin dia layak menerima anugerah itu kerana usahanya sendiri. Daripada sini, kita patut memperbaiki diri kita. Mungkin hari esok, rezeki kita pula?
- Tutup kelemahan dan kesalahannya
Walaupun dia ada buat salah kepada kita atau orang lain, janganlah kerana perasaan dengki yang menebal, kita berkata buruk pasal dia pula. Memang akan timbul rasa tak puas hati, bila dia dapat apa yang kita takde, lagi-lagi bila dia dapat benda tersebut dengan cara yang salah atau tidak baik. Tapi siapa kita untuk menilai dia? Dia hanya manusia yang tak terlepas daripada kesalahan. Jadi apa kata, daripada kita gosip pasal dia kat belakang, kita cuba nasihatkan dia dengan cara yang baik? (Kalau tak makan saman tu, biarlah. Moga Allah s.w.t. bukakan hatinya untuk kembali ke jalan yang benar.)
- Ziarahilah dia dengan membawa hadiah
Kawan kita baru dapat anak yang comel. Kita yang dah berapa tahun kahwin, masih belum dikurniakan cahaya mata. Seeloknya kita ziarah dia dan beri dia hadiah. Kita kongsi kegembiraan yang dia peroleh itu bersama. Bukan dengan rasa dengki. Tak elok ok.
- Hormati dan sayangi orang-orang di sekelilingnya seperti ibu bapanya, ahli keluarganya dan anak-anaknya.
Kadang-kadang perasaan dengki itu lahir, kerana kurangnya perasaan kasih sayang kita sebagai manusia. Kalau kita benci dan dengki kepada orang itu, kadang-kadang kita patut melihat orang-orang yang berada di sekelilingnya. Mungkin mereka ada buat baik kepada kita. Jadi kita cuba hilangkan perasaan dengki itu sambil mengenangkan kebaikan yang telah dilakukan oleh orang sekelilingnya supaya perasaan iri hati itu tertutup kembali. Insya-Allah.
- Bela dia kalau ada orang yang memburuk-burukkannya.
Bila dah dengki, semua di mata ini nampak yang buruk saja. Dia buat air rasa tawar, dia masak rasa masin. Kalau orang lain sibuk mengata buruk, kita sepatutnya cuba baiki hati kita dengan mengelakkan diri daripada *tambah saham* mengata orang itu juga. Kadang-kadang kita perlu berfikiran positif terhadap orang yang kita dengki itu dengan memandang benda-benda baik yang ada dalam dirinya. Daripada situ, insya-Allah kita terhindar daripada perasaan dengki dan terlepas daripada *dosa* mengata orang di belakang.
- Berdoalah kepada Allah s.w.t agar dihilangkan rasa iri hati itu.
Selemah-lemah hati, kita haruslah kembali kepada DIA juga. Banyakkan mengucapkan Astagfirullah (Memohon Ampun padaMU Ya Allah) supaya terhindar daripada dosa hasad dengki terhadap orang lain. Kita cermin diri kita. Lihat kelebihan yang kita ada. Kita hayati hidup kita, lihat rezeki yang Allah s.w.t. telah kurniakan kepada kita. Berdoalah, semoga Allah s.w.t. pelihara hati kita daripada perasaan dengki itu.
“Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, karena dengki yang (timbul) dari diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka ma`afkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Al-Baqarah : 109)