Banjir 2022: Bank Islam Dan Agro Bank Tawar Moratorium 6 bulan Pada Mangsa Banjir
Moratorium 6 bulan pada saat ini pasti sesuatu yang dinantikan oleh mangsa banjir. Bukan mudah untuk pulih dan kembali bangkit selepas diuji hebat dengan bencana banjir yang memusnahkan hamper keseluruhan harta benda. Apatah lagi kalau melibatkan juga kehilangan nyawa.
Tentunya emosi terdera teruk. Saat itu jugalah, memikirkan segala jenis pembiayaan perlu dilangsaikan. Kereta, rumah, motokar, pinjaman peribadi dan banyak lagi dari bank perlu diselesaikan pada waktu tertentu tidak kira kita dalam apa jua keadaan sekalipun.
Memikirkan situasi sulit itu pada mangsa bencana banjir, Bank Islam dan Agro Bank mengambil langkah untuk menawarkan moratorium 6 bulan kepada semua pelanggan mereka yang terjejas banjir.
Isi Kandungan
Agro Bank Kedepan Tawar Moratorium 6 Bulan
Agrobank mengumumkan mereka memperkenalkan Bantuan Banjir khusus buat pelanggan yang terkesan dengan fenomena alam itu pada 21 Disember 2022.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, pelan itu menawarkan penjadualan dan atau penstrukturan semula pembiayaan (R&R) dan tawaran moratorium sehingga 6 bulan.
Jelasnya lagi, sebagai sebuah institusi pembangunan kewangan (IKP) yang prihatin, Agrobank bertanggungjawab untuk memastikan pelanggan dilindungi dan dibantu.
Pelan Bantuan Banjir dari Agro Bank ini telah dirangka khas khusus untuk membantu pelanggan membangunkan semula perniagaan sekali gus memberi ruang untuk mengatur semula rancangan perniagaan masing-masing.
Antara tawaran lain dari Agro Bank untuk mangsa banjir menerusi Pelan Bantuan Banjir Agro Bank adalah:
- Penjadualan dan atau penstrukturan semula pembiayaan (R&R) dan tawaran moratorium sehingga 6 bulan.
- Pengecualian caj bagi penggantian kad ATM
- Pengecualian caj buku simpanan yang telah musnah akibat banjir.
Justeru, bagi pelanggan Agro Bank yang terjejas banjir dan ingin memanfaatkan segala kemudahan yang diberikan ini, boleh layari laman sesawang Agrobank dan boleh melengkapkan e-form di SINI.
Atau jika terdapat sebarang pertanyaan, boleh melayari laman website rasmi Agro Bank atau boleh terus hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Agrobank di talian 1-300-88-2476.
Bank Islam Perkenal Program Prihatin Banjir
Sebagai rekod, Bank Islam pernah menawarkan moratorium 6 bulan kepada pelanggan sewaktu PKP 3.0 pada tahun 2021.
Tahun 2022 ini pula, sekali lagi Bank Islam bertindak positif untuk membantu mangsa banjir dengan memperkenalkan Program Prihatin Banjir untuk membantu pelanggan yang terjejas.
Tawaran moratorium sehingga enam bulan juga disediakan kepada pelanggan PMKS Bank Islam sedia ada yang terjejas di kawasan bencana banjir yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
Pelanggan kemudahan Pembiayaan Perumahan, Pembiayaan Peribadi dan Pembiayaan Kenderaan Bank Islam yang terjejas akibat bencana ini boleh mengemukakan pemohonan penangguhan bayaran ansuran bulanan mereka sehingga tempoh enam bulan tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Antara tawaran Bank Islam menerusi Program Prihatin Banjir adalah:
- Penangguhan bayaran ansuran bulanan sehingga tempoh 6 bulan
- Tidak mengenakan sebarang caj bagi penggantian kad kredit-i dan debit-i
- Tidak mengenakan sebarang caj bagi buku cek yang rosak atau hilang ekoran bencana yang berlaku.
Selain itu juga, bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas, Bank Islam menawarkan Kemudahan Bantuan Bencana 2022 untuk pelanggan Pembiayaan Perniagaan-i yang terkesan.
Menerusi kemudahan ini, perusahaan mikro yang layak boleh memohon pembiayaan berjumlah sehingga RM150,000, manakala saiz pembiayaan untuk PKS adalah RM700,000 dengan tempoh pembiayaan selama tujuh tahun termasuk moratorium 6 bulan.
Kesejahteraan masyarakat sentiasa menjadi antara keutamaan Bank Islam. Justeru, mereka berharap Program Prihatin Banjir dan dua lagi kemudahan Bantuan Bencana untuk PMKS yang terjejas dapat membantu melegakan kebimbangan pelanggan terhadap komitmen kewangan pelanggan dalam mendepani situasi yang mencabar ini
Permohonan Program Prihatin Banjir ini boleh dibuat di cawangan Bank Islam terdekat dalam tempoh tiga bulan selepas kejadian. Jika terdapat sebarang pertanyaan, boleh hubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-26 900 900 atau terus ke laman web rasmi Bank Islam di SINI.
Semoga tawaran dari Agro Bank dan Bank Islam ini meliputi pelbagai kemudahan termasuk moratorium 6 bulan ini daat bantu ringakan beban mangsa banjir. Teruskan kuat untuk bangkit dan semoga hikmah yang besar menanti di kemudian hari. Mudah-mudahan.