Bantuan Awal Persekolahan 2025 Tanpa Mengira Pendapatan Ibu Bapa
Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai Bantuan Awal Persekolahan 2025 yang telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Isi Kandungan
Mengenai Bantuan Awal Persekolahan 2025
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) mula diperkenalkan pada tahun 2012 dan ia bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga terutamanya pada awal tahun.
Dalam Bajet 2023 terdahulu, Kerajaan telah mengumumkan untuk menyediakan BAP sebanyak RM150 untuk semua murid, tanpa mengira had pendapatan dan usul tersebut diteruskan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Bagi tahun 2025, BAP akan diteruskan dan akan diberikan kepada murid-murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya tanpa mengira pendapatan ibu bapa / penjaga murid.
Perkara tersebut telah diumumkan pada Belanjawan 2025 baru-baru ini.
Diumumkan BAP 2025 akan diperuntukkan keseluruhan yang dicadangkan berjumlah RM791 juta kepada semua murid di Malaysia.
Syarat Kelayakan Bantuan Awal Persekolahan 2025
Pemberian Bantuan Awal Persekolahan 2025 kepada murid-murid akan dibuat berdasarkan kriteria-kriteria berikut:
- Murid warganegara Malaysia yang mempunyai Sijil Lahir / MyKid / MyKad atau apa-apa dokumen pengenalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN).
- Murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bagi Sesi Persekolahan 2025/2026 atau yang setaraf dengannya, iaitu:
- Murid Tahun 1 dan Tahun 2 di Kolej Vokasional.
- Murid yang berusia 4 hingga 19 tahun di SBJK.
- Murid yang berusia 14 hingga 21 tahun di SI & SHG.
- Murid bersekolah di sekolah-sekolah berikut:
- Sekolah Kerajaan (SK)
- Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK)
- Sekolah Swasta
- Sekolah Agama
- Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih
- Sekolah Integriti
- Sekolah Henry Gurney
- Maktab Rendah Sains MARA
- Maktab Tentera Diraja
Kadar Bantuan Awal Persekolahan 2025
Kadar BAP adalah RM150 secara one-off untuk seorang murid, iaitu sekali setahun.
Pelaksanaan BAP akan disalurkan seawal 10 Januari 2025 secara pengkreditan dari akaun transit KPM ke akaun bank sekolah / trustee / syarikat (sekolah swasta) akan dibuat.
Bantuan akan disalurkan oleh KPM secara berperingkat terus ke Akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) sekolah atau Akaun Khas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi sekolah yang tidak mempunyai Akaun KWK.
Tempoh Agihan Bantuan Awal Persekolahan 2025
Tempoh agihan bagi murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 Sesi Persekolahan 2024/2025 adalah 30 hari dari tarikh surat makluman penyaluran peruntukan dikeluarkan oleh Bahagian Kewangan, KPM.
Manakala, tempoh agihan bagi murid Tahun 1 Sesi Persekolahan 2025/2026 adalah 30 hari dari tarikh sesi persekolahan bermula.
Maklumat terperinci berkenaan dengan tarikh penyaluran BAP 2025 akan dimaklumkan oleh sekolah masing-masing.
BAP yang telah diagihkan tidak perlu dikutip semula jika murid berpindah ke sekolah yang bukan di bawah seliaan KPM.
Kaedah Agihan Bantuan Awal Persekolahan 2025
Bantuan Awal Persekolahan 2025 akan diagihkan kepada murid dengan cara berikut:
- Kredit ke akaun bank murid; atau
- Serahan tunai kepada ibu bapa atau murid; atau
- Kredit ke akaun bank ibu bapa.
“Ibu bapa” adalah merujuk kepada ibu bapa atau penjaga atau mana-mana orang yang mempunyai kawalan sebenar ke atas seseorang murid sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 2 Akta Pendidikan 1996 [Akta 550].
Borang Bantuan Awal Persekolahan 2025
Pihak sekolah akan menetapkan cara permohonan dan kaedah pembayaran berdasarkan kelayakan.
Bagi sesetengah sekolah, murid atau ibu bapa tidak perlu membuat permohonan kerana murid akan dipilih oleh pihak sekolah berdasarkan data pendapatan ibu bapa dalam APDM (Aplikasi Pangkalan Data Murid).
Selain itu, mungkin akan terdapat juga sekolah yang akan mengedarkan borang-borang untuk maklumat kaedah pengagihan nanti.
Oleh itu, ibu bapa atau penjaga perlulah mengisi maklumat kaedah agihan BAP yang terkini melalui sistem atau borang yang akan diedarkan.
Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut berkaitan Bantuan Awal Persekolahan 2025 ini, anda boleh merujuk Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan di laman sesawang rasmi KPM.
Diharapkan info terkini tentang Bantuan Awal Persekolahan 2025 ini dapat memberikan manfaat kepada anda semua di luar sana.
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.