Permohonan Bantuan Khas ANIS Tahun 2024
Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai permohonan Bantuan Khas ANIS untuk tahun 2024 yang kini sedang dibuka.
Isi Kandungan
Mengenai Bantuan Khas ANIS 2024
Bantuan ANIS atau singkatannya Anak Istimewa Selangor ialah program-program untuk anak istimewa Selangor yang telah diperkenalkan sejak tahun 2018.
Bantuan ini terbuka kepada semua Institusi Pendidikan Anak Istimewa dan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) berdaftar yang menjalankan Early Intervention Program (EIP) atau Program Intervensi Awal untuk kanak-kanak berkeperluan khas di Selangor sahaja.
Antara program-program yang dilaksanakan di bawah ANIS ialah
- Bantuan Khas ANIS.
- Bantuan Didik ANIS.
Program-program ANIS ini diwujudkan untuk memperkasakan barisan ibu bapa dan penjaga, para pendidik, pengusaha institusi dan badan kebajikan anak-anak istimewa di Selangor seterusnya dapat memberdayakan anak-anak istimewa, ibubapa dan penjaga dan para pendidik untuk lebih mampan dalam mendepani dunia bercabaran ini dengan lebih cakna.
Bantuan Khas ANIS ialah bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu ibu bapa dan penjaga anak istimewa untuk menampung kos pendidikan, terapi, peralatan, dan ubat-ubatan yang diperlukan oleh anak istimewa tersebut.
Penerima Bantuan Khas ANIS ini akan menerima bantuan secara one-off dengan had maksimum bantuan sehingga RM 5,000.00 bagi setiap keluarga.
Dana peruntukkan sebanyak RM 1 Juta disediakan untuk bantuan ini.
Kategori Bantuan Yang Ditawarkan
Bantuan-bantuan yang ditawarkan adalah seperti berikut:
Kategori | Jumlah Bantuan | Jenis Bantuan |
---|---|---|
A | RM 1,000.00 | Pendidikan merangkumi sesi terapi dan kelas khas. |
B | RM 1,200.00 | Ubat-ubatan merangkumi makanan tambahan dan keperluan khas. |
C | Bawah RM 5,000.00 | Peralatan dan perubatan (Pembedahan). |
Syarat Kelayakan Permohonan
Syarat-syarat kelayakan bagi bantuan ini adalah seperti berikut:
- Pemohon (Ibu / Bapa / Penjaga) dan Anak (penerima manfaat) adalah warganegara Malaysia.
- Pemohon (Ibu / Bapa / Penjaga) adalah Pengundi Negeri Selangor.
- Penjaga merupakan Ibu / Bapa Angkat yang sah dan berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan (JPN) dan Akta Pengangkatan 1973.
- Anak (penerima manfaat) hendaklah berumur dibawah 18 tahun (lahir tahun 2006 dan kebawah).
- Anak (penerima manfaat) mempunyai Kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ATAU Surat Pengesahan Diagnosis daripada Doktor Pakar yang berdaftar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) SAHAJA – Jika tidak mempunyai Kad OKU.
- Keutamaan permohonan adalah kepada PERMOHONAN KALI PERTAMA.
- Keutamaan kelulusan permohonan adalah kepada pemohon yang berpendapatan B40 dan M40.
- Borang permohonan dan Dokumen Sokongan akan diproses kelulusan mengikut tarikh penghantaran borang yang lengkap dan berdasarkan kuota peruntukan.
Cara Membuat Permohonan
Permohonan kini dibuka bermula 17 Mei 2024 sehingga 31 Mei 2024 dan boleh dibuat secara atas talian (online) melalui laman web Jabatan ANIS di pautan berikut:
>>>Permohonan Bantuan Khas ANIS 2024<<<
Cetak borang permohonan dan hantar bersama dokumen sokongan yang diperlukan secara fizikal di Pusat Sokongan Pendidikan Awal ANIS atau Pejabat Khidmat Masyarakat.
Semakan status permohonan boleh dibuat pada pautan berikut:
>>>Semakan Status Permohonan Bantuan Khas ANIS 2024<<<
Keputusan permohonan akan dimaklumkan kepada pemohon yang berjaya.
Dokumen Sokongan Yang Diperlukan
Dokumen-dokumen yang diperlukan untuk dihantar bersama borang permohonan adalah seperti berikut:
- Salinan Kad Pengenalan pemohon (Ibu / Bapa / Penjaga).
- Salinan Sijil Kelahiran Anak.
- Sijil Perakuan Anak Angkat (Jika Berkaitan).
- Salinan Kad OKU (Jika Ada) atau Surat Pengesahan Diagnosis daripada Doktor Pakar Perubatan Keluarga (Jika Tidak Mempunyai Kad OKU).
- Dokumen sokongan mengikut kategori bantuan permohonan, iaitu:
Kategori A | 1. Surat tawaran atau pengesahan belajar di pusat terapi. 2. Sebut harga sesi pengajian / terapi di pusat terapi. 3. Penyata akaun bank pusat terapi. |
Kategori B | 1. Salinan surat preskripsi doktor berkenaan peralatan / barangan / ubatan yang dipohon (beserta spesifikasi khusus sekiranya ada). |
Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut atau persoalan berkaitan Bantuan Khas Anis 2024 ini, sila layari laman web ANIS dari semasa ke semasa.
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!