Bantuan Wang Ihsan Banjir RM1000 Bagi Rakyat Terjejas
Berikut dikongsikan mengenai Bantuan Wang Ihsan Banjir yang terkini untuk pengetahuan dan makluman semua rakyat Malaysia yang terjejas.
Isi Kandungan
Mengenai Bantuan Wang Ihsan Banjir
Kerajaan menyediakan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas dengan banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL) atau terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).
Bantuan ini terpakai bagi bencana alam utama yang pernah berlaku iaitu banjir, tanah runtuh, ribut / taufan, gempa bumi dan tsunami atau lain-lain seperti yang diisytiharkan oleh JPBP, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berdasarkan tafsiran kejadian bencana Arahan NADMA.
Syarat Kelayakan Permohonan
Berikut adalah syarat-syarat kelayakan untuk memohon Bantuan Wang Ihsan Banjir, iaitu:
- Warganegara Malaysia dan memiliki kad pengenalan diri (MyKad) yang sah.
- Bantuan Wang Ihsan Banjir ini hanya diberikan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) warganegara Malaysia sahaja. Setiap permohonan hendaklah disahkan oleh Pegawai Daerah bahawa mangsa adalah benar-benar terjejas dengan bencana banjir yang dimaksudkan.
- Hanya 1 rumah sahaja yang terlibat layak untuk mendapat Bantuan Wang Ihsan Banjir tanpa mengira isi rumah atau keluarga.
- Kelayakan Bantuan Wang Ihsan Banjir ini adalah tertakluk kepada pengesahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Cara Membuat Permohonan
Permohonan boleh dibuat melalui Pejabat Daerah masing-masing dan bantuan ini hanya diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) sahaja.
Bagi yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), KIR (warganegara Malaysia sahaja) boleh mendaftar nama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Bagi yang tidak berpindah ke PPS, permohonan boleh dibuat melalui JPKK / Ketua Komuniti / Pegawai Daerah masing-masing.
Kelulusan permohonan adalah tertakluk kepada pengesahan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
Untuk makluman, tidak ada sebarang permohonan online. Permohonan diuruskan oleh daerah dan negeri lokasi di mana KIR yang terkesan bencana berada.
Dokumen yang diperlukan untuk permohonan bergantung kepada kategori pemohon seperti berikut:
- Mereka yang mendaftar ke PPS (dengan kad pengenalan) tidak perlu membuat permohonan. Permohonan mereka akan terus diuruskan oleh pihak JKM.
- Mereka yang mendaftar ke PPS (tanpa kad pengenalan) perlu mendaftar dengan ketua-ketua masyarakat.
- Mereka yang tidak berpindah ke PPS, perlu mendaftar dengan ketua-ketua masyarakat (JPKK / Ketua Komuniti / Pegawai Daerah).
FAQ / Soalan Lazim
Antara FAQ Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi rakyat yang terkesan banjir adalah seperti berikut:
Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan berkaitan Bantuan Wang Ihsan Banjir ini, sila rujuk Portal NADMA – Bantuan Wang Ihsan dari semasa ke semasa.
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!