Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Penyakit Batu Karang- Tanda, Cara mencegah Dan Rawatan

Isi Kandungan

Apa Itu Penyakit Batu Karang

Pemendapan kepelbagaian zat kimia di dalam air kencing pada keadaan-keadaan tertentu boleh menyebabkan terbentuknya kristal. Kristal ini terbentuk hasil daripada zat-zat yang sepatutnya larut dan lama kelamaan ia akan bersifat Nydus (punat).

Nydus yang terbentuk ini jika tidak dialirkan keluar akan membesar dan bahan-bahan lain akan bertompok di atasnya yang menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit batu karang.

Penyakit Batu Karang- Tanda, Cara mencegah Dan Rawatan 1

Pada asasnya batu karang terbentuk daripada zat kalsium yang bercampur dengan bahan-bahan lain yang akhirnya membentuk batu. Bagaimanapun, ia bergantung kepada zat-zat kalsium, magnesium, fostat dan lain-lain lagi. Perkadaran ( proportion ) setiap batu karang adalah berbeza-beza di mana sesetengahnya terdapat banyak magnesium, dengan kompisisi yang berbeza dan akhirnya membentuk batu karang. Selain itu sesetengah batu karang mengandungi banyak kalsium dan ia dapat dilihat melalui sinar X.

Namun bagi batu karang yang terhasil daripada asid urik ia mungkin tidak dapat dilihat. Hakikatnya, ramai tidak mengetahui bahawa kewujudan batu boleh terjadi dalam mana-mana bahagian tubuh manusia, namun kekerapan yang sering berlaku ialah pada ureter (saluran kencing ) dan saluran buah pinggang yang lebih dikenali sebagai batu karang.

Jika ia terletak dalam pundi hampedu, kita memanggilnya batu hempedu di mana kandungan kimianya mempunyai sedikit persamaan. Kewujudan penyakit ini telah dikenal pasti sejak berkurun yang lalu di mana ia ditemui pada zaman Mesir purba iaitu dalam jasad mumia.

Bagaimana Batu Karang Terjadi

Batu karang terjadi akibat tiada kesempurnaan dalam aliran saluran kencing manusia. Oleh itu, ketidaksempurnaan ini mengakibatkan mendapan yang mengandungi bahan-bahan kapur, magnesium yang akhirnya membentuk kristal. Sebagai contoh, ketidak sempurnaan ini boleh berlaku kepada orang lumpuh yang tidak berupaya melakukan apa-apa gerakan atau air kencing tidak mengalir dengan baik kerana saluran kencing yang terlalu sempit.

batu karang

Selain itu, individu yang terlalu banyak mengambil makanan mengandungi bahan kimia juga turut membantu membentuk batu karang. Antara bahan-bahan yang tinggi kandungan kimianya ialah daripada jenis makanan laut. Kegagalan buah pinggang untuk berfungsi dengan baik menyebabkan berlakunya pemendapan dengan lebih cepat. Metabolisme seseorang itu juga adalah salah satu faktor penyumbang terbentuknya batu karang ini. Pengeluaran asid urik yang terlalu banyak dalam tubuh menyebabkan terhasilnya zat-zat tertentu dan akhirnya terjadi penyakit gaot.

Seseorang yang pernah mendapat jangkitan kuman semasa kecil juga boleh menyebabkan seseorang itu mendapat batu karang. Nanah yang terhasil daripada jangkitan kuman ini lama-kelamaan akan mengeras dan akhirnya membentuk nydus. Kuman-kuman ini pula akan menyerang pada bahagian-bahagian tertentu seperti buah pinggang dan ureter (saluran kencing).

Kebanyakan mereka yang tinggal di persisiran pantai berisiko tinggi untuk mendapat batu karang kerana selain kesukaran untuk mendapat air bersih, faktor makanan turut mempengaruhi. Pemakanan seseorang turut memainkan peranan dalam menentukan tahap kesihatan seseorang seperti kekurangan vitamin dan zat-zat penting yang diperlukan dalam tubuh. Jangkitan parasit atau cacing di dalam pundi kencing juga antara penyebab seseorang itu boleh mendapat penyakit batu karang.

Jenis-Jenis Batu Karang

batu karang

Penyakit Batu Karang boleh di kategorikan kepada empat jenis iaitu :
i. Calsium Oxalate
ii. Calsium Phosphate
iii. Batu Karang Asid Urik
iv. Cystin

Calsium Oxalate merupakan 80 peratus batu karang yang terjadi hasil campuran bahan kalsium dengan rupa bentuk bercabang dan tajam. Manakala, Kalsium Fostat pula 10 peratus batu karang terjadi jangkitan kuman dalam air kencing yang bersifat alkali. Sebahagian kecil serangan gaot boleh menyebabkan terjadinya batu karang.

Cara Mencegah Batu Karang

batu karang

Bagi mereka yang pernah menghidap penyakit ini, risiko untuk mendapatnya semula boleh berlaku pada masa akan datang kerana sifatnya yang berulang-ulang. Oleh itu, untuk sembuh secara menyeluruh agak sukar dilakukan.

Bagaimanapun, proses bagi mengelak terjadinya batu karang boleh dilakukan dengan menjaga pemakanan dan minuman. Mereka yang pernah menghidapinya digalakkan mengambil minuman sebanyak satu setengah liter setiap hari terutamanya pada waktu malam. Elakkan daripada mengambil makanan seperti daging merah, makanan laut dan makanan yang mengandungi asid urik yang tinggi. Namun, jika terdapat tanda-tanda penyakit, pesakit perlu mendapat pemeriksaan daripada doktor pakar.

Cara Mengesan Penyakit Batu karang

Bagi mengesan samada seseorang itu menghidap penyakit batu karang, pemeriksaan secara fizikal oleh pakar amat diperlukan. Pesakit juga perlu menjalani ujian air kencing dan darah bagi memastikan sama ada terdapat sel-sel darah merah atau nanah yang terdapat untuk menunjukkan kewujudan penyakit batu karang.

Ujian Ultra Sound dapat memberi gambaran terhadap imej batu karang yang terbentuk terutamanya apabila buah pinggang membengkak. Manakala ujian intravenusurography pula dapat memberi imej yang lebih mengenai kedudukan, jenis, lokasi dan saiz batu karang.

Tanda-Tanda Penyakit batu Karang

Umumnya, penghidap akan merasa sakit pada bahagian abdomen iaitu pada sisi kanan dan kiri pinggang. Bagaimanapun, bagi mengenal pasti samada seseorang itu menghidap penyakit batu karang, ia bergantung kepada tanda-tanda yang dihidapi antaranya;
• Pesakit akan merasa kesakitan seperti berdenyut-denyut, berat dan sakit melilit yang amat sangat seolah-olah hendak bersalin.
• Loya-loya, hendak muntah dan berpeluh-peluh
• Serangan yang datang secara tiba-tiba.
• Tidak boleh kencing ( bergantung di mana letaknya batu karang tersebut )
• Kencing berdarah.

Pada peringkat yang lebih serius, jangkitan kuman akan berlaku dimana pesakit akan demam, menggigil dan jika disentuh pada bahagian tersebut penghidap akan merasa sakit yang teramat sangat. Ia kemudianya bernanah, menandakan bahawa adanya jangkitan kuman yang parah. Dalam keadaan tertentu, pesakit mungkin akan mengalami kencing yang bercampur nanah.

Pada peringkat yang kronik, pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan dengan gejala buah pinggang telah rosak, keadaan tubuh menjadi lemah, muka menjadi pucat akibat kekurangan darah di samping muka menjadi sembab serta kulit menjadi kering. Bagaimanapun, kesakitan atau tanda yang boleh dikenalpasti bergantung kepada;
• Lokasi di mana terbentuknya batu karang samada di saluran pundi kencing atau buah pinggang.
• Saiz batu karang samada kecil atau besar juga memainkan peranan.
• Keadaan dan umur pesakit, biasanya batu karang dihidapi oleh mereka yang berusia 25 tahun ke atas.
• Jenis batu tersebut.

Rawatan Penyakit Batu Karang

Rawatan untuk penyakit ini bergantung kepada jenis, kedudukan dan saiz batu tersebut. Kebiasaanya batu yang bersaiz kurang dari setengah sentimeter akan dikeluarkan secara spontan dengan menggunakan ubat-ubatan dan minum air yang banyak. Bagi batu karang dari jenis asid urik dan cystin, ia dapat dirawat dengan cara merubah pH dari air kencing sehingga batu tersebut dapat larut kembali. Bagaimanapun terdapat penggunaan kaedah khusus iaitu dengan menggunakan kaedah gelombang bagi menghancur serta mengeluarkan batu. Sinaran laser dapat digunakan untuk memecahkan batu-batu tersebut..

Kaedah jenis Extracorpareal Shock Wave Listhotripsyn yang menggunakan getaran dan dibantu oleh komputer dapat memfokuskan kedudukan batu tersebut. Kesan dari gelombang yang dipancarkan terus pada batu tersebut, menyebabkan batu tersebut menjadi habuk-habuk halus dan ia dikeluarkan melalui air kencing dapat diulangi beberapa kali. Jika kaedah ini berjaya dilakukan, pembedahan dapat dihindari. Bagaimanapun, pesakit mungkin berhadapan dengan sedikit kesan sampingan iaitu pendarahan dalam buah pinggang sehingga menjadi darah beku. Namun kes-kes seperti ini dilaporkan amat jarang berlaku.

Bagi batu karang yang bersaiz besar, kekuatan gelombang seperti ini mungkin tidak dapat menghancurkan batu tersebut. Oleh itu melalui kaedah endoskopi, satu alat sebesar pensil dimasukkan ke dalam buah pinggang yang dikenali sebagai percutaneus nefrolithomy. Berbeza dengan kaedah pertama, melalui alat ini gelombang yang digunakan akan memecah batu dan ia kemudian dikeluarkan melaluinya. Bagi penghidap batu karang yang serius di mana saiz batu melebihi tiga sentimeter, mereka mungkin terpaksa menjalani pembedahan. Bagaimanapun doktor akan mengelakkan daripada melakukan pembedahan, melainkan di atas sebab-sebab tertentu.

Sumber: Jabatan Kesihatan Negeri Perlis

Penutup

Akhir kata, diharapkan perkongsian kali ini berkaitan Penyakit Batu Karang-Tanda,Cara MencegahDan Rawatan akan memberi sedikit info untuk tatapan anda semua. Untuk mendapatkan lebih banyak info berkaitan kesihatan dan info-info semasa anda boleh layari website t.me/tcerdot.my. Terima Kasih

Menarik Untuk Dibaca: Penyakit Gout Penyakit Anemia-Gejala,Penyebab dan Rawatan

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More