BERJIMAT DARI SEKARANG, NEGARA BAKAL BERDEPAN KRISIS EKONOMI
BERJIMAT! Susulan jangkaan harga minyak global berterusan mengalami penurunan dalam tempoh beberapa bulan, ditambah implikasi negatif Covid-19 sangat besar, bagaimana pula dengan nasib pasaran saham dan ekonomi negara kita yang sangat bergantung kepada pendapatan hasil penjualan minyak mentah?
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan pandemik COVID-19 mencetuskan kemelesetan ekonomi global pada 2020, yang kesannya lebih buruk daripada krisis kewangan melanda pada 2008.
Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, berkata prospek pertumbuhan adalah negatif, namun unjuran pertumbuhan ekonomi global itu dijangka pulih pada 2021.
Georgieva berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan fiskal luar biasa yang telah diambil oleh banyak negara untuk meningkatkan sistem kesihatan dan melindungi syarikat serta pekerja yang terbabit.
Katanya, begitu juga dengan langkah-langkah yang diambil oleh bank pusat untuk mengurangkan dasar monetari.
BERJIMAT CERMAT MULAI SEKARANG
“Lebih banyak lagi diperlukan, terutamanya dari segi fiskal,” katanya.
Georgieva mengeluarkan jangkaan baharu itu selepas persidangan menteri kewangan dan bank pusat dari kumpulan 20 ekonomi terbesar di dunia.
Beliau berkata, persidangan itu bersetuju mengenai keperluan untuk solidariti di seluruh dunia.
“Kos manusia dari pandemik COVID-19 sudah tidak dapat diukur dan semua negara perlu bekerjasama untuk melindungi rakyat dan membatasi kerosakan ekonomi,” katanya..
Georgieva berkata, pemulihan dijangka pada 2021, tetapi untuk mencapai itu negara perlu mengutamakan penahanan dan menguatkan sistem kesihatan.
“Kesan ekonomi teruk dan akan menjadi lebih teruk. Tetapi jika penularan virus itu cepat terhenti, pemulihan akan lebih pantas dan lebih kuat,” katanya.
Penganalisis Ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, satu pertiga syarikat (324 kaunter) yang tersenarai di Bursa Malaysia telah jatuh nilainya melebihi 70 peratus sejak beberapa minggu lepas.
“Selagi wabak Covid-19 belum dapat dibendung di peringkat global, pasaran saham dijangka terus merudum. “Kemungkinan ia berlarutan untuk dua hingga tiga bulan akan datang dan bakal menyaksikan pergerakan saham yang amat tidak stabil setiap hari,” katanya.
Susulan pengumuman terkini oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung bantuan kewangan bagi menangani Covid-19, amat penting bagi pemimpin kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri turun padang untuk memastikan rakyat tidak dibebani masalah hutang dan kesukaran membeli barangan keperluan asas.
Menurutnya, jika perkara itu tidak dilakukan, ramai orang akan jatuh muflis termasuk perniagaan akan gulung tikar yang bakal mengakibatkan masalah lebih buruk kepada ekonomi dan sosial.
“Kemampuan kita memacu semula ekonomi domestik bergantung kepada kerjasama semua termasuk pihak swasta iaitu majikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat sendiri. Paling penting adalah memastikan semua dana yang disalurkan terus sampai kepada pihak sepatutnya tanpa berlaku pertindihan dan ketirisan,” katanya.
Ahmed Razman turut menjangkakan kesemua pasaran saham dunia terus mengalami kejatuhan teruk malahan Dow Jones Industrial Average di AS sendiri mengalami kejatuhan terbesar sejak Oktober 1987.
Selain itu, beliau menegaskan terdapat beberapa isu ekonomi dunia selain Covid-19 yang berlaku pada masa ini sebenarnya memberi kesan kepada Malaysia seperti perang minyak antara Arab Saudi dan Rusia.
“Ramai tidak menyedari perang minyak ini sebenarnya menyebabkan harga minyak dunia jatuh dengan teruk seperti minyak mentah Brent jatuh di bawah AS$30 setong.
“Situasi ini memberi kesan kepada kita kerana Belanjawan 2020 dibuat adalah berdasarkan harga minyak AS$62 setong dan pendapatan daripada hasil petroleum menyumbang kepada 30.9 peratus pendapatan negara,” katanya.
Kesan kemelesetan ekonomi global adalah berbeza untuk setiap negara membangun dan negara-negara utama. Akan tetapi, ianya tetap mempunyai kesan yang berpanjangan. Sesetengah negara akan pulih dengan cepat, tetapi sesetengah pula akan mengambil masa yang agak lama. Oleh itu, adalah penting untuk pihak kerajaan merancang inisiatif yang boleh diambil.
Peningkatan kadar pengangguran adalah salah satu kesan besar kemelesetan ekonomi global di mana hasil pendapatan akan berkurangan lantas menjejaskan peluang ekonomi individu dan keluarga. Berdasarkan penyelidikan baru-baru ini, graduan kolej akan terjejas dengan cara menerima kadar pendapatan yang lebih rendah berbanding kadar pendapatan sebelum kemelesetan ekonomi global berlaku. Golongan yang tidak mempunyai sijil pendidikan yang tinggi serta yang berpendapatan rendah turut sama terjejas.
Pendidikan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Apabila isu pengangguran meningkat, pencapaian pendidikan juga akan terjejas kerana kebanyakan keluarga akan menghadapi masalah kewangan semasa kemelesetan ekonomi global. Oleh itu, terdapat kemungkinan tinggi ahli keluarga akan menangguhkan rancangan untuk menghantar anak mereka ke institusi-institusi pendidikan.
Kemelesetan ekonomi global akan menjejaskan hasil eksport negara, terutamanya bagi negara-negara membangun kerana permintaan yang rendah dan penurunan harga komoditi, termasuk permintaan untuk barangan pembuatan. Ianya juga akan menjejaskan pembentukan dan pembesaran perniagaan kerana para pembeli akan menghadkan perbelanjaan mereka ketika kemelesetan ekonomi global.
Industri pelancongan merupakan salah satu industri terbesar dan terpenting dalam pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Menurut laporan ekonomi dan kewangan, permintaan untuk penginapan hotel akan berkurangan dan dengan demikian menjejaskan hasil pelancongan semasa kemelesetan ekonomi global.
Dikenali sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi, kemelesetan ekonomi global akan membawa kepada turun naik perbelanjaan pelaburan dan penggunaan teknologi baru. Isu tersebut lantas menyebabkan kekurangan permintaan terhadap produk kerana kekurangan hasil pendapatan, pengeluaran produk yang lebih rendah dan lambat, termasuk akses terhad terhadap kredit. Sebab-sebab berikut akan menjejaskan rancangan perniagaan untuk melabur.
Bagaimanakah anda sebagai seorang individu atau yang berkeluarga hendak mengatasi waktu-waktu sukar semasa kemelesetan ekonomi global? Semangat yang kuat sahaja tidak mencukupi, tetapi dengan langkah persediaan yang betul anda pasti dapat mengharungi waktu-waktu sukar tersebut dengan mudah.
Kehilangan pekerjaan adalah perkara yang tidak dapat anda elakkan semasa kemelesetan ekonomi global dan anda akan bakal menghadapi kesukaran untuk menanggung segala perbelanjaan harian tanpa simpanan kecemasan. Anda mungkin berasa anda masih muda, tetapi mempunyai simpanan yang mencukupi akan membantu meringankan beban anda untuk membiayai segala keperluan peribadi kelak. Anda boleh mula menyimpan dengan mengetepikan sejumlah hasil pendapatan selama tiga hingga ke enam bulan.
Melangsaikan hutang semasa kemelesetan ekonomi global kedengaran agak mustahil kerana bukankah kita sepatutnya menghadkan perbelanjaan? Ya benar, tetapi lagi lama anda tangguh, beban anda akan bertambah berat jika tidak langsaikan dengan segera.
Sekiranya tidak mampu untuk langsaikan hutang sekaligus, anda boleh cuba untuk mengurangkan separuh daripada jumlah hutang tersebut demi membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan. Tindakan tersebut dapat memberi anda peluang untuk bertahan lebih lama ketika kemelesetan ekonomi global sekiranya anda diberhentikan kerja.
Kita selalunya akan dengar orang berkata ‘hidup ikut kemampuan kendiri’, tetapi situasi ketika kemelesetan ekonomi global adalah sebaliknya. Anda kini perlu hidup di bawah kemampuan anda bagi mengelakkan daripada berbelanja secara berlebihan. Cara yang anda boleh lakukan adalah dengan membuat senarai belanjawan terhad untuk segala keperluan bulanan anda seperti sewa rumah, insurans, bil dan sebagainya.
Terdapat kemungkinan tinggi sejumlah pekerja akan diberhentikan kerja semasa kemelesetan ekonomi global. Cara terbaik untuk mengatasi waktu-waktu sukar sebegitu adalah dengan mempunyai pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan harian. Terdapat beberapa pilihan kerja sampingan yang anda boleh lakukan seperti pemandu perkhidmatan ‘e-hailing’, perniagaan dalam talian dan sebagainya. .
Harga saham kebiasaannya akan menurun secara mendadak semasa kemelesetan ekonomi global. Oleh itu, ambil peluang ini untuk mengembangkan lagi pelaburan anda. Antara jenis pelaburan lumayan yang anda boleh pertimbangkan adalah dalam sektor hartanah di mana nilai saham hartanah akan meningkat dari semasa ke semasa, waima semasa kemelesetan ekonomi.
Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, pendapatan makin berkurangan, modal perniagaan makin besar, perbelanjaan dibuat bagi memastikan kelangsungan hidup.
“Bila sesebuah negara itu belum sampai kepada tahap bebas wabak, selagi itu negara terlibat perlu mengambil bantuan intervensi untuk memastikan keselamatan dan kelangsungan,”kataya.
Menurutnya, kematian akan berlaku akhirnya jika kita terselamat daripada Covid-19 tetapi tidak ada intervensi bagi kelangsungan. “Sebagai contoh, lihat keadaan sekarang memang pendapatan bergantung kepada hasil usaha dengan keluar bekerja tetapi sampai kepada suatu tahap kita tidak lagi mempunyai pendapat untuk keluarga.
“Jika tidak ada intervensi ini, satu kumpulan akan mati kerana tiada ada sumber kewangan,” katanya. Buat masa sekarang hampir keseluruhan negara seperti Amerika Syarikat mengumumkan perbelanjaan cukup besar bagi memastikan keselamatan negara dan kelangsungan hidup terutama kumpulan paling bawah.
“Pendapatan rakyat tidak boleh ditingkatkan, perbelanjaan semakin besar dan pilihan yang ada ialah daripada kerajaan. “Sebelum ini pertumbuhan ekonomi perlu dirangsang oleh swasta terutama perusahaan kecil dan sederahana untuk meningkatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK), tetapi sektor tersebut lumpuh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.
Kesimpulannya, dunia bakal menghadapi kegawatan dan kemelesetan ekonomi paling teruk dalam sejarah susulan pandemik koronavirus (Covid-19) yang menyebabkan hampir keseluruhan negara terpaksa menghentikan aktiviti ekonomi mereka. Justeru, bersedialah dari sekarang untuk menghadapi krisis ekonomi setelah berakhirnya wabak covid-19.