Bersihkan telefon bimbit untuk kurangkan risiko jangkitan COVID-19
Bersihkan telefon bimbit? SELAIN penutup mulut dan hidung, tahukah anda mencuci telefon pintar sekerap mungkin adalah salah satu cara mengekang penyebaran wabak Covid19
Memetik laporan dari Daily Mail, pegawai perubatan menerusi satu siaran rancangan Good Morning America edisi Khamis menyarankan orang ramai berbuat demikian.
Rancangan itu juga kini menjadi pusat kawalan koronavirus untuk pakar menjawab soalan penonton.
Menurut seorang daripada pakar tersebut, telefon pintar boleh membawa ribuan kuman pada satu-satu masa yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Bersihkan telefon bimbit anda!
Oleh itu adalah sangat wajar ia perlu dibersihkan sekerap mungkin sama seperti mencuci tangan.
“Sekerap mana anda mencuci tangan, begitu juga yang perlu dilakukan kepada telefon pintar.
“Jadi, orang ramai dinasihatkan mengelap telefon pintar mereka dengan tisu beralkohol bagi membunuh sekurang-kurangnya 99 peratus bakteria yang ada,” katanya.
Risiko untuk virus berada pada telefon bimbit mungkin boleh berlaku apabila ia terkena titisan cecair seperti batuk dan bersin daripada seseorang yang telah dijangkiti COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata hasil kajian awal, Pertubuhan Pesihatan Sedunia (WHO) menyatakan virus berkenaan disebarkan menerusi titisan cecair yang keluar daripada hidung atau mulut pesakit yang sudah dijangkiti.
“WHO mencadangkan COVID-19 boleh bertahan dalam persekitaran dan permukaan seperti plastik, logam, kertas, gelas, keluli tahan karat dan sebagainya selama lima jam atau lebih.
“Oleh itu, jika kita menyentuh permukaan tertentu seperti tombol pintu, butang lif, tangga atau apa sahaja ketika berada di luar, risiko virus berpindah kepada orang lain atau peralatan seperti telefon mungkin berlaku jika anda memegangnya sebelum membasuh tangan,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19, baru-baru ini.
Mungkin pada pandangan mata kasar, telefon seseorang itu kelihatan bersih, namun perpindahan mikroorganisma banyak berlaku daripada tangan kepada telefon bimbit.
Berikut langkah dan cara yang perlu diberi perhatian ketika mencuci atau sanitize telefon pintar anda:
- Jangan sembur cecair pembersih secara langsung ke telefon atau mencelupnya dalam larutan pembersih. Perbutan tersebut sudah pastinya mampu merosakkan telefon pintar anda
- Sebaliknya langkah pertama yang perlu di ambil adalah dengan mematikan telefon terlebih dulu dan jangan sambungkan kepada alat pengecas.
- Tisu basah dengan kandungan 70 peratus alkohol sangat sesuai digunakan untuk membersihkan telefon atau gajet yang lain.
- Perah tisu basah terlebih dahulu bagi membuang cecair lebihan sebelum digunakan pada telefon anda.
- Bersihkan dengan lembut dan jangan tekan tisu basah pada telefon. Anda juga boleh menggunakan tuala kecil sebagai pengganti tisu.
Mungkin bagi sesetengah orang ia nampak remeh tetapi jangan sesekali ambil mudah memandangkan wabak Covid-19 ini sememang harus dicegah seawal mungkin.Ingat, pada saat wabak COVID-19 sedang melanda, mencuci telefon bimbit adalah antara langkah yang boleh diamalkan untuk mengurangkan serta mencegah risiko jangkitan. Semoga bermanfaat!