Resepi Bubur Asyura, Boleh “Masak” & “Kacau” Sendiri Di Rumah
Bubur Asyura sering dimasak oleh masyarakat kita sejak dahulu lagi sempena Hari Asyura yang disambut pada setiap 10 Muharram.
Seperti yang kita tahu, Hari Asyura hanya sekali setahun dalam Kalendar Islam dan pasti umat Islam tidak akan melepaskan peluang untuk menghayati sepenuhnya hari tersebut.
Selain berpuasa sunat dan mengembirakan keluarga pada hari tersebut, masyarakat kita juga tidak akan melepaskan peluang untuk membuat atau bahasa kampungnya sering panggil “kacau bubur Asyura” sepanjang bulan tersebut.
Ini kerana 10 Muharram juga tidak terlepas dalam memperkatakan tentang bubur Asyura yang mana kisahnya itu diambil daripada peristiwa Nabi Nuh A.S. selepas diselamatkan dari banjir besar.
Justeru, kali ini admin akan kongsikan satu resepi untuk membuat bubur Asyura yang pasti sekarang sedang dicari-cari oleh anda diluar sana.
Isi Kandungan
Resepi Bubur Asyura Manis
Resepi bubur Asyura ala-ala orang terdahulu yang admin akan kongsikan ini adalah versi daripada Che Nom.
Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.
Bahan-Bahan
Bahan-bahan untuk membuat Bubur Asyura versi Che Nom ini terbahagi kepada 2 perkara seperti berikut:
Bahan-Bahan Untuk Bubur | 1. Tepung Beras – 1 pek / 500g 2. Keledek Oren – 2 Ketul 3. Kacang Merah – 1 Cawan 4. Kacang Hijau – 1 Cawan 5. Kacang Kuda – 1 Cawan 6. Kacang Tanah – 1 Cawan 7. Jagung – 1 Hingga 2 Tongkol 8. Pisang – 6 Hingga 10 Biji 9. Daun Pandan – 3 Helai 10. Santan Pekat – 5 Cawan 11. Santan Cair – 3 Cawan 12. Air – 2 Hingga 3 Cawan 13. Garam Secukup Rasa |
Bahan-Bahan Untuk Air Gula | 1. Serbuk Gula Merah – 1 Cawan 2. Gula Melaka – 1/2 Cawan 3. Gula Putih – 1 Cawan 4. Daun Pandan – 1 Helai 5. Air – 1 Cawan |
Cara Penyediaan
Cara-cara untuk memasaknya pula adalah seperti yang berikut:
- Potong dadu keledek oren dan rebus selama 15 minit atau sehingga keledek oren menjadi lembut dan kemudian tapis airnya.
- Potong pisang secara bulat.
- Potong jagung dan ambil isinya (boleh juga jika mahu menggunakan jagung di dalam tin).
- Rendam kacang kuda semalaman kemudian rebus sehingga lembut dan buang kulitnya.
- Rebus kacang tanah sehingga lembut.
- Rendam kacang hijau dan kacang merah selama 3 hingga 4 jam dan rebus sehingga lembut.
- Rebus serbuk gula merah Thai, gula Melaka dan gula putih dengan air dan daun pandan sehingga cair.
- Bancuh tepung beras dengan santan cair dan air putih. Kacau sehingga sebati dan tapis.
- Masukkan santan pekat, daun pandan dan garam ke dalam kuali. Buka api perlahan dan kacau sehingga santan naik wap.
- Kemudian, tuang masuk semua bancuhan tepung beras tadi ke dalam kuali.
- Masukkan kacang merah dan kacang hijau.
- Kemudian tapis dan masukkan air gula yang sudah direbus tadi.
- Masukkan kacang tanah dan teruskan kacau.
- Apabila bubur sudah mula menjadi pekat, boleh tuang masuk kacang kuda. Sambung kacau sampai pekat dan berkilat.
- Masukkan keledek oren dan jagung. Sambung kacau pekat bertali. Akhir sekali masukkan pisang.
Tips Rahsia Daripada Che Nom
Che Nom menggunakan kuali cap buaya 45cm atau 18 inci untuk kacau bubur Asyura menggunakan resepi diatas.
Rebus kacang jangan terlalu lembut atau sehingga pecah, takut nanti apabila masuk ke dalam bubur menjadi bubur tidak cantik.
Ketika memasak santan, perlu kacau sehingga naik wap sahaja dan jangan sampai mendidih, takut pecah minyak.
Kacau bubur dengan cara menolak sudip seperti kita kikis bahagian bawah kuali, jangan sampai berkerak dibawah bubur.
Kalau suka bubur yang pekat, boleh kurangkan air dan kalau pekat sangat boleh tambah sedikit air. Selepas tambah air, pastikan kacau dengan lama untuk mengelakkan daripada bubur menjadi cepat basi.
Akhir sekali, boleh alas bubur yang sudah siap dimasak dengan daun pisang supaya bubur tersebut wangi baunya.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda semua diluar sana! Selamat mencuba!