Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Cara Mudah Tanam Cili di Rumah

Cara Mudah Tanam Cili ini antara carian yang tertinggi bagi petani moden sekarang. Cili menjadi kegemaran mereka  yang gemar makan pedas.  Tidak kiralah dimasukkan di dalam setiap hidangan masakan ataupun dimakan begitu sahaja.

Untuk sering membelinya mungkin agak mahal lebih-lebih lagi cili yang diimport ataupun anda mungkin pernah mencuba untuk menanamnya tetapi kurang atau tidak menjadi.

Cara Mudah Tanam Cili

Anda berminat untuk mencuba sendiri tanam cili di rumah dengan teknik yang betul? Lebih menjimatkan dan mudah.

Berikut adalah perkongsian dari FB kerja dari rumah  cara mudah untuk menanam cili di rumah.

Isi Kandungan

CARA MUDAH TANAM CILI DI RUMAH

1. Cahaya Matahari

Pilih kawasan yang menerima cahaya matahari yang banyak di rumah.  Kawasan yang redup akan menyebabkan pokok menjadi tinggi daripada biasa dan saiz buah menjadi kecil.

2. Tanam dalam pasu

Cara pemilihan medium penanaman bergantung kepada kaedah penanaman yang dipilih sama ada tanaman dalam pasu atau terus dalam tanah.  Medium penanaman untuk pasu yang sesuai adalah tanah campuran tiga bahagian tanah merah, dua bahagian tanah hitam dan satu bahagian pasir.

Saiz pasu yang sesuai adalah 16 inci x 20 inci bagi musim penanaman enam bulan.  Sekiranya bercadang untuk musim penanaman yang lebih panjang dari enam bulan, sila guna saiz pasu yang lebih besar seperti 30 inci x 50 inci.

3.  Secara terus di tanah

Kaedah penanaman secara terus di tanah bagi kawasan rumah teres adalah tidak digalakkan kerana tanah tidak subur.  Sekiranya ingin meneruskan hasrat menanam di tanah kawasan rumah teres, tanah perlu diganti dengan tanah yang baru.

Pastikan tiada pokok buah-buahan seperti mangga, belimbing dan jambu berdekatan dengan kawasan tanaman. Ini bagi mengelakkan serangan lalat buah.

4. Pindah tanam

Umur paling sesuai untuk memindah tanam anak pokok atau tanah adalah ketika anak pokok sudah berusia tiga ke empat minggu.  Kelewatan memindah tanam anak pokok yang sudah cukup umur boleh menyebabkan pokok terbantut.

Waktu yang sesuai pindah tanam adalah pada waktu lewat petang.  Jangan pindah tanam anak pokok pada waktu tengah hari kerana pokok boleh terkena kejutan haba dan layu seterusnya mati.

5. Penyiraman

Waktu yang sesuai untuk menyiram pokok adalah pada waktu awal pagi dan lewat petang.  Pokok cili harus disiram dua kali sehari, sekiranya waktu hujan tidak perlu disiram.

Pastikan kawasan penanaman tidak menyebabkan air bertakung. Air bertakung boleh menyebabkan lembap dan menggalakkan pertumbuhan kulat.

6. Kayu pancang

Kayu pancang perlu dipasang ketika peringkat awal selepas pindah tanam untuk mengelakkan kerosakan pada akar sekiranya dipasang pada umur matang.  Jenis kayu pancang yang sesuai adalah seperti buluh yang boleh bertahan sehingga lebih enam bulan.

Pemasangan kayu pancang bertujuan untuk mengelakkan pokok rebah apabila sudah berbuah lebat.

7. Baja

Baja organik seperti baja tahi ayam amat sesuai diberikan kepada pokok untuk menggalakkan tumbesarannya.  Sekiranya menggunakan baja kimia, pastikan mengikut kuantiti yang disarankan.  Pemberian baja kimia secara berlebihan boleh menyebabkan pokok mati kepanasan daripada baja.

Tempoh pemberian baja yang sesuai adalah setiap 10 hingga 14 hari.

8.  Masalah semut

Kehadiran semut yang banyak pada pokok cili adalah disebabkan ia menghurungi aphid atau bena putih yang terdapat di bahagian bawah daun.  Gunakan larutan pencegah serangga yang dirumus daripada bahan semula jadi seperti ekstrak semambu dan bawang putih.  Larutan mencegah serangga daripada bahan semula jadi mudah hilang apabila hujan.  Selepas hujan berhenti, larutan haruslah disembur semula.

Waktu paling sesuai untuk menyembur larutan pencegah serangga adalah pada waktu petang menghampiri Maghrib.

9. Tuai

Tahap umur cili paling sesuai untuk dituai adalah apabila 80 peratus daripada cili yang matang sudah mencapai warna kirau (warna hijau bertukar sedikit merah).  Waktu paling sesuai untuk menuai adalah pada jam 9 pagi ke atas iaitu ketika embun sudah kering.

Sekiranya cili ingin disimpan lama, jangan basuh hasil tuaian cili. Sekiranya perlu dibasuh, harus dikeringkan segera.

Selepas cili dituai, baja perlu segera diberikan pada waktu petang yang sama atau keesokan harinya bagi mengelakkan pokok tertekan. Untuk membeli barangan seharian, anda boleh lihat artikel kami iaitu Lebih 100 Jenama Barangan Buatan Malaysia Terkenal & Berkualiti, semoga bermanfaat.

SELAMAT MENCUBA!

sumber : FB kerja dari rumah

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More