Cerpen Jaket Kulit Kijang dari Istanbul
Cerpen Jaket Kulit Kijang dari Istanbul ini menghimpunkan nota khususnya bagi murid sekolah menengah Tingkatan 4.
Sebelum itu, jom sertai kami DI SINI untuk mendapatkan bahan-bahan pendidikan dan informasi terkini lagi terbaik dari semasa ke semasa.
Isi Kandungan
Sinopsis Cerpen
Mengisahkan Aku melancong ke negara Turki sambil mencari cenderahati untuk di bawa pulang ke Malaysia. Pelbagai barangan yang tersenarai untuk dibeli kepada rakan-rakan serta dirinya sendiri. Namun dirinya hanya tertarik dengan buku-buku berbanding barang-barang hiasan yang lain. Sejumlah wang telah disediakan dan diperuntukkan untuk pembelian cenderahati tersebut serta sedikit wang kecemasan untuk dirinya. Beliau juga telah dinasihatkan oleh pemandu pelancong dan beberapa panduan serta pantang larang ketika berbelanja di Istanbul. Aku serta rakan-rakannya berasa sukar untuk menawar harga barangan yang hendak dibeli kerana tiada tanda harga dipamerkan dan harga barangan hanya akan diberitahu jika ditanya. Melintasi sebuah kedai menjual jaket kulit, Aku terpaku pada sepasang sarung tangan kulit berwarna hitam di rak cermin.
Aku mengimbas akan abangnya yang menunggang motosikal pergi balik kerja. Andai ada sarung tangan kulit, tentu tangan Abang Longnya itu tidak terdedah pada terik matahari. Pemuda Turki seakan dapat membaca isi hati menunjukkan sarung tangan kulit itu namun Aku tidak berani mengambilnya kerana tidak mengetahui akan harganya. Hajah Normah dan dan Dr. Liza tertarik dengan harga jaket berwarna kuning keemasan yang dibeli oleh Haji Helmi dan isterinya dengan harga yang murah berbanding kedai-kedai lain. Aku tiada pilihan mengikut rakan-rakannya masuk ke kedai tersebut. Kedainya tidaklah begitu luas namun mampu menempatkan sepuluh orang pelanggan pada satu-satu masa dan mempunyai beratus-ratus helai jaket kulit beraneka warna dan rupa bergantungan kemas di dalam rak berhawa dingin.
Aku dan rakannya dilayan mesra umpama selebriti. Pekedai tanpa putus asa memujuk Aku agar membeli jaket kulit kijang, namun Aku masih belum berniat untuk mencari pengganti jaket kain yang telah lama berkhidmat kepadanya. Namun, kerana ingin mengambil hati rakan-rakannya atau terhutang budi kerana secawan teh epal, Aku cuba mengenakan jaket kulit tersebut. Aku tersentak dengan harga yang disebutkan kerana dia tidak mempunyai wang yang banyak untuk membeli jaket kulit kijang yang lembut itu. Dua rakannya itu telah membayar harga jaket pilihan mereka. Aku dengan kata-kata berbudi bahasa mengambil keputusan untuk tidak membeli jaket tersebut. Wajah pekedai bertukar masam dan marah dengan tindakan Aku dan mengeluarkan kata-kata kesat. Perjalanan melawat Egyptian Market, Aku didatangi seorang remaja kurus dan bercakap separuh berbisik menjual barangan Black market. Melewati rakan Aku, Kak Chah dan Shahmeem, lelaki dewasa bertubuh tegap iaitu seorang polis menangkap remaja tersebut atas kesalahan menjual barangan Black market. Ketika beratur menaiki feri menyeberangi Selat Bhosporus, seorang lelaki tua dengan berani meletakkan sehelai jaket kulit berwarna hitam di lengan Aku.
Rakan Aku, Shahmeem menunjukkan minat dan membeli dengan harga AS$ 120, namun tidak sesuai dengannya apabila dipakai. Shahmeem menjual pula kepada Aku dengan harga AS$100. Aku terpaku namun dapat menggembirakan hati Shahmeem. Aku juga menggambarkan tidak praktikalnya jaket itu digunakan di Malaysia, tidak sesuai dipakai dengan cuaca di Malaysia. Perlu dijaga dengan rapi, tidak boleh dilipat sembarangan, kulitnya tidak tahan lasak jika koyak pula tidak dapat dijahit dengan benang. Jelas sekali Aku terlihat lebih seekor Kijang akan dibunuh untuk mendapatkan sehelai jaket kulit. Akhirnya Aku berhasrat untuk menggembirakan orang lain. Dia akan menjual jaket itu dan wang jualan akan didermakan kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang kijang, sebagai tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang terkorban demi gaya hidup yang penuh dengan kemodenan.
Tema Cerpen
Pengalaman seorang pelancong yang suka melancong serta terjerat dengan pembelian jaket kulit kijang yang tidak disengajakan demi menjaga hati dan kegembiraan penjual jaket, rakannya serta dirinya demi mengelakkan pembunuhan haiwan-haiwan yang dilindungi demi kelangsungan kehidupan moden.
PERSOALAN Cerpen
- Perasaan kasih dan sayang terhadap kehidupan haiwan-haiwan eksotik.
Contoh:- Aku berasa kasihan terhadap haiwan kijang yang terpaksa menjadi korban kerana kulitnya. - Sikap berbudi bahasa sesama insan tanpa mengira bangsa, agama dan negara.
Contoh:- Aku melahirkan kata-kata yang cukup berbahasa kerana tidak mahu menyakitkan hati pekedai Turki itu. - Kewajaran memberikan layanan serta ramah mesra terhadap pelanggan atau pelancong.
Contoh:- Pekedai Turki telah memberikan layanan yang mesra kepada pelanggannya dengan memberikan layanan yang baik serta memberikan minuman percuma kepada pelanggannya. - Kepandaian sikap puji memuji dalam kalangan masyarakat Turki. Contoh:- Masyarakat Turki memang pandai memuji pelanggannya demi melariskan jualan.
Kebijaksanaan dalam menguruskan perbelanjaan kewangan.
Contoh:- Aku telah membuat senarai nama barangan dan cenderahati yang akan dibeli untuk dibawa pulang ke Malaysia.
PLOT Cerpen
1. Permulaan Cerpen
Aku mengikuti rombongan Passage Tours and Travel ke negara Turki. Dengan berbekalkan AS$400 yang bersamaan dengan RM1,800.00, dia telah menyenaraikan barang-baang yang ingin dibeli. Antaranya, cenderamata untuk keluarga, untuk saudara-mara, kawan pejabat dan kenalan rapat, untuk pensyarah-pensyarahnya yang banyak membimbingnya semasa melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan untuk dirinya sendiri, memadai membeli beberapa buah buku terbitan Turki.
2. Perkembangan Cerpen
Aku mengisahkan bagaimana dia terbeli jaket kulit kijang dari Istanbul pada hari kelima lawatannya ke Turki. Dia tidak berniat langsung untuk membeli jaket tersebut. Ahli rombongan dibenarkan pergi membeli-belah di Grand Bazaar yang terletak lebih kurang satu kilometer dari tempat penginapannya di Hotel Senator. Sebelum sampai di Istanbul, Aku telah melawat beberapa kawasan bersejarah di Bursa, Pamukkale, Konya, Cappadocia dan Bolu. Pada setiap persinggahan itu, Aku telah mendapatkan cenderamata yang popular dan unik.
3. Klimaks Cerpen
Aku disapa oleh seorang lelaki berbaju T merah, berjaket kulit hitam dan berwajah tampan dari sebuah kedai jaket kulit. Aku tertarik akan keramahannya. Aku juga terpaku pada sepasang sarung tangan kulit berwarna hitam di rak cermin dan berhasrat untuk membelinya tetapi tidak berani kerana tidak mengetahui harganya dan takut akan ditipu oleh penjualnya. Walaubagaimanapun Aku akhirnya masuk ke kedai jaket kulit itu dan mencuba sehelai jaket kulit berwarna hitam, namun dia tidak berniat untuk jaket tersebut kerana harga yang ditawarkan diluar kemampuannya. Akhirnya berlaku perbalahan antara Aku dan pekedai Turki itu. Aku berasa tersentak dengan sikap pekedai Turki yang menghinanya dan aku juga berasa terkilan kerana tertipu dengan layanan mersa yang telah diberikan oleh pekedai Turki itu.
4. Peleraian Cerpen
Sewaktu beratur untuk menaiki feri ke Selat Bhosporus, seorang lelaki tua telah meletakkan sehelai jaket kulit berwarna hitam di atas lengannya. Shahmeem menunjukkan minat untuk membeli jaket tersebut dan telah membayar sebanyak AS$120, namun apabila dicubanya, jaket itu bersaiz kecil lalu menjualkannya kepada Aku dengan mengurangkan AS$20 daripada harga pasaran gelap sebagai tanda terhutang budi. Aku tidak nampak praktikalnya jaket itu untuk kegunaan harian di Malaysia. Aku memandang jaket kulit kijang itu, lalu membayangkan kegembiraan kepada lelaki tua yang berjaya menjual jaket kepada Shahmeem, kegembiraan Shahmeem yang berjaya menjualkannya kepada Aku serta kegembiraan Aku kerana dapat menghangatkan badannya sepanjang perjalanan di Selat Bhosporus yang dingin. Akhirnya kegembiraannya itu ingin dikongsi dengan orang lain iaitu dengan berhasrat menjual jaket tersebut di kedai pakaian terpakai dan wang yang diperoleh didermakan kepada mana-mana zoo yang ada kandang kijang sebagai tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang telah dibunuh demi gaya hidup yang penuh kemodenan.
TEKNIK PLOT Cerpen
- Imbas Muka -Contoh: Aku tidak dapat membayangkan jika aku menjadi wanita tua yang menjual makanan burung di situ.
- Imbas Kembali -Contoh: Entah mengapa aku tiba-tiba teringat akan Abang Long yang menunggang motosikal pergi balik kerja.
- Saspens -Contoh: Perbalahan antara aku dan pekedai Turki membuatkan aku ingin :melangkah keluar tetapi dihalang oleh pekedai Turki dengan wajahnya yang kelihatan marah.
- Monolog -Contoh: Aku terpaku seketika. Apakah jawapan yang lebih baik pada saat itu selain yang dapat menggembirakan Shahmeem?
- Dialog – Contoh: “Dah beli, ke? Ok tak harganya? Tanya kak Chah. “Ok juga. Dah survey tiga, empat kedai. Kedai ni ok. Dapat harga AS$150 sat jaket,” terang Haji Helmi sambil menunjukkan beg plastiknya.
WATAK DAN PERWATAKAN Cerpen
Watak Utama – Aku ( Mas )
- Seseorang gemar membaca. – Aku gemar membaca kerana dia akan leka membeli dan membaca buku jika terjumpa kedai yang menjual buku.
- Baik dan murah hati. – Aku begitu bermurah hati dengan memberikan wang sebanyak lima Lira kepada wanita tua yang menjual makanan burung walaupun harga sepiring hanya satu Lira.
- Berbudi bahasa. – Aku dengan sebaik mungkin berbudi bahasa kepada pekedai Turki kerana tidak mahu membeli jaket kulit agar pekedai itu tidak berasa kecil hati.
- Tidak boros berbelanja. – Aku tidak terpengaruh dengan layanan mesra pekedai Turki agar membeli jaket kulit kijang itu.
- Sayang akan haiwan. – Aku begitu menyayangi haiwan seperti kijang kerana dia berhasrat untuk memberikan wang hasil jualan jaket kulit kijang kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang kijang agar dapat memelihara haiwan tersebut daripada menjadi korban arus pemodenan.
- Bersederhana apabila berbelanja. – Aku telah membuat senarai barangan yang hendak dibeli agar tidak melebihi perbelanjaan yang telah diperuntukkan.
Watak Sampingan Cerpen
Pekedai Turki
- Pemuda berkulit putih, mempunyai kumis. (misai)
- Fasih berbahasa Inggeris.- Pekedai Turki berbahasa Inggeris apabila berkomunikasi dengan pelanggan yang datang ke kedainya.
- Peramah dan mesra :Pekedai Turki kelihatan begitu peramah dan mesra ketika melayan pelanggan di kedainya.
- Tidak berputus asa. Pekedai Turki tidak berputus asa memujuk pelanggannya membeli barang jualannya.
- Pandai mengambil hati :Pekedai Turki sangat pandai mengambil hati pelanggannya dengan memberikan kata-kata manis.
- Cepat marah :Pekedai Turki cepat naik amarah kerana pelanggannya tidak mahu membeli barangannya walaupun telah mencubanya.
Polis Turki
- Lelaki dewasa, bertubuh tegap, berbaju T dan berseluar panjang
- Berwajah serius –Polis Turki kelihatan serius ketika dia menjalankan tugasnya apabila dia menangkap seorang remaja yang menjual barangan pasaran gelap.
Shahmeem
- Kawan kepada Aku
- Mudah terpengaruh :Shahmeem terpengaruh dengan sehelai jaket hitam yang dijual secara pasaran gelap tanpa mengetahui ukuran saiznya.
- Murah hati :Shahmeem bermurah hati dengan mengurangkan sebanyak AS$20 daripada harga asal pasaran gelap kepada Aku kerana jaket kulit kijang itu tidak padan dengannya.
LATAR Cerpen
Latar Tempat Cerpen
- Hotel Senator – tempat penginapan aku dan rakan-rakannya ketika melancong di Turki.
- Kedai menjual jaket kulit –tempat di mana aku terpaku ketika melihat sepasang sarung tangan kulit berwarna hitam di rak cermin.
- Pigeon Valley – Aku bersedekah kepada pengait benang yang kesejukan.
- Gunung Bolu – Aku bersedekah kepada seorang kanak-kanak bersama-sama datuknya yang buta.
- Masjid Ulu – Aku bersedekah kepada seorang lelaki yang cacat anggota.
- Masjid Biru – tempat Aku menunaikan solat jamak.
- Egyptian Market – tempat membeli belah yang mempunyai dataran burung merpati jinak.
- Terminal feri Selat Bhosporus – Shahmeem membeli jaket kulit hitam daripada lelaki tua di pasaran gelap dengan harga AS$120.
Latar Masa Cerpen
- Malam – Kak Chah teman sebilik Aku tidur awal kerana kepenatan selepas berjalan mengelilingi kota bersejarah.
- Siang –Aku , Kak Chah dan Shahmeem berada di dalam kedai menjual jaket kulit.
Latar Masyarakat Cerpen
- Masyarakat elit – Ahli rombongan yang terdiri daripada guru dan pensyarah.
- Masyarakat yang berkerjaya untuk menampung kehidupan seharian. Encik Yuksel bekerja sebagai pemandu pelancong dan pekedai Turki yang menjual barangan kulit.
- Masyarakat tidak berkemampuan. -Wanita tua yang menjual makanan burung dan remaja kurus serta lelaki tua yang menjual barangan pasaran gelap,
- Masyarakat yang suka melancong. -Aku serta 30 orang ahli rombongan telah melawat negara Turki.
- Masyarakat yang suka akan kemewahan. -Haji Helmi dan isterinya cikgu Juliah telah membeli sebanyak empat helai jaket kulit berwarna kuning keemasan dengan harga AS$150 sehelai.
- Masyarakat yang tidak menyayangi haiwan. -Seekor atau lebih daripada seekor kijang akan dibunuh untuk mendapatkan sehelai jaket kulit yang menjadi lambang pendewaan dan pemujaan diri.
GAYA BAHASA Cerpen
- Kata ganda – cenderamata untuk pensyarah-pensyarahyang banyak berjasa membimbingku semasa melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana
- Bahasa Asing – a) bahasa inggeris (“Hello lady! …. “ , “Please… “ bahasa Arab. – Assalamualaikum, solat jamak, al- mathurat
- Sinkope – ‘Eh, lawanya jaket tu! Macam yang kita tengok kat Grand Bazaar semalam. Murah ke?”
NILAI Cerpen
- Kegigihan – pekedai Turki begitu gigih dan tidak berputus asa meyakinkan pelanggannya agar membeli barangan kulitnya.
- Keprihatinan – Aku begitu prihatin dengan pembunuhan haiwan kijang kerana kulitnya untuk dijadikan jaket.
- Berjimat cermat – Aku telah membuat senarai barangan yang perlu dibeli untuk dibawa pulang agar tidak melebihi perbelanjaan.
- Keikhlasan – Aku dengan ikhlas memberi derma kepada pengemis seperti pengait benang, kanak-kanak bersama-sama datuknya yang buta serta lelaki tua yang cacat anggotanya.
PENGAJARAN Cerpen
- Kita haruslah bersikap berjimat cermat dalam urusan perbelanjaan seharian mahupun semasa melancong ke luar negara. Contoh :- Cenderamata untuk keluarga : 29 helai baju T, 2 helai untuk keluarga Anim, masing-masing sehelai untuk Tahrir, Nadia dan Salleh.
- Kita hendaklah bersikap ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara tanpa mengira taraf kehidupan seseorang. Contoh :- Aku begitu bermurah hati dengan memberikan wang sebanyak lima Lira kepada wanita tua yang menjual makanan burung walaupun harga sepiring hanya satu Lira serta ikhlas memberi derma kepada pengemis seperti pengait benang, kanak-kanak bersama-sama datuknya yang buta serta lelaki tua yang cacat anggotanya.
- Kita wajar mempunyai sikap gigih dalam melakukan pekerjaan supaya hasil yang diinginkan tercapai. Contoh :- Pekedai Turki gigih memberikan layanan yang mesra kepada pelanggannya dengan memberikan layanan yang baik serta memberikan minuman percuma kepada pelanggannya dengan harapan pelanggannya itu membeli barangannya.
- Kita patut bersikap prihatin terhadap haiwan yang dilindungi agar habitatnya tidak pupus. Contoh : Aku begitu prihatin terhadap haiwan seperti kijang kerana dia berhasrat untuk memberikan wang hasil jualan jaket kulit kijang kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang kijang agar dapat memelihara haiwan tersebut daripada menjadi korban arus pemodenan.
MUAT TURUN Cerpen
Download nota lengkap ini pada pautan muat turun yang telah disediakan di bawah:
Sekian, semoga perkongsian daripada admin pada kali ini iaitu Cerpen Jaket Kulit Kijang dari Instanbul sedikit sebanyak dapat membantu adik-adik . Jom sertai kami DI SINI untuk mendapatkan bahan-bahan Cerpen pendidikan dan informasi terkini lagi terbaik dari semasa ke semasa.