COVID-19 Berakhir Tujuh Tahun Lagi
Penularan wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini amat membimbangkan dengan peningkatan kes harian yang semakin meningkat terutamanya di Malaysia.
Dalam sebuah kenyataan dari New York menimbulkan persoalan tentang bilakah waktu sebenar ancaman Covid-19 akan berakhir selepas ia menjangkiti lebih 105 juta orang dan menyebabkan kira-kira 2.3 juta kematian di seluruh dunia.
Melalui pangkalan data terbesar Covid-19 direka Bloomberg menunjukkan jawapan tersebut boleh diperoleh dengan cara mengukur tahap program vaksinasi yang sedang dilancarkan di kebanyakan negara dan lebih 119.8 juta dos suntikan telah diberikan sehingga awal Februari 2021.
Isi Kandungan
COVID-19 DIJANGKA BERAKHIR TUJUH TAHUN LAGI
Analisis baharu mereka berdasarkan kadar program vaksinasi meramalkan pandemik tersebut akan berlarutan untuk tempoh tujuh tahun lagi sebelum mencapai sasaran imuniti kelompok.
Selain itu, ia juga bergantung kepada keberkesanan vaksin sedia ada untuk mencegah virus bermutasi yang dikesan di Afrika Selatan, Brazil dan United Kingdom (UK).
Data diperoleh daripada lebih 67 negara juga menunjukkan pemberian lebih 4.5 juta suntikan dos vaksin pada setiap hari yang menyaksikan lebih 119 juta dos suntikan telah diberikan setakat ini hasil dari data yang diperolehi
Dr Anthony Fauci iaitu Pakar Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat (AS) menganggarkan kehidupan akan kembali normal jika program vaksinasi itu meliputi 70 hingga 85 peratus populasi dunia.
AS meramalkan bahawa negara itu dapat mencapai tahap imuniti kelompok menjelang Tahun Baharu 2022, dimana ia juga merupakan sebuah negara yang berada di tangga keenam untuk kadar kecepatan program vaksinasi.
MENINGKATKAN PENGELUARAN VAKSIN SECARA DRAMATIK
Kemudian, pada Jumaat lalu, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa penghasil vaksin supaya meningkatkan pengeluaran secara dramatik berikutan jumlah individu yang diberikan dos suntikan vaksin sudah mengatasi angka jangkitan global dan lebih tiga perempat daripada dos vaksin itu diedarkan ke 10 negara kaya.
Menurutnya hampir 130 negara dengan 2.5 bilion penduduk masih belum diberikan suntikan dos pertama.
Dikatakan ketika ini kira-kira 10 vaksin berbeza termasuk dihasilkan Moderna dan Pfizer-BioNTech telah diberi kelulusan untuk kegunaan kecemasan di seluruh dunia manakala sebanyak 175 vaksin berpotensi dalam fasa penghasilan praklinikal.
Baru-baru ini pula, ujian klinikal berskala besar yang dilakukan oleh Johnson & Johnson (J&J) menunjukkan keputusan positif dengan hanya menggunakan satu dos suntikan.
Kebanyakan negara terutamanya di rantau Eropah bergelut dengan langkah lockdown dan peraturan lain yang bertujuan untuk membendung penularan wabak pandemik COVID-19 yang dilihat masih tinggi.
Sumber : Sinar Harian