Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Persediaan & Doa Menyambut Ketibaan Bulan Ramadan

Berikut adalah sedikit perkongsian mengenai doa menyambut ketibaan bulan Ramadan serta doa-doa yang boleh kita amalkan sebelum masuk bulan Ramadan.

Isi Kandungan

Persediaan Menyambut Bulan Ramadan

Ahlan Wasahlan Ya Ramadan!

Selamat datang kembali bulan Ramadan yang penuh barakah dan bulan yang dikenali sebagai madrasah untuk mengubah umat Islam menjadi umat yang lebih baik dan lebih berjaya lagi.

Objektif kedatangan bulan Ramadan adalah untuk mengajar umat Islam supaya lebih tekun dalam melaksanakan ibadah kepada Allah SWT.

Dalam bulan Ramadan disediakan berbagai ibadah dan ganjaran pahala yang sangat istimewa kepada mereka yang berjaya mengamalkannya.

Antaranya ialah berpuasa selama sebulan, solat sunat tarawih, qiamullail, malam Lailatul Qadar, khatam Al-Quran dan sebagainya.

Oleh itu, antara persiapan yang perlu ada untuk kita menyambut Ramadan supaya Ramadan tidak terlepas begitu sahaja ialah seperti berikut:

Persiapan RohaniPersiapan Rohani sangat penting untuk kita melaksanakan segala ibadah yang ada dalam bulan Ramadan dengan perlu mempunyai keikhlasan hati dan tidak mengeluh kesah kerana tidak dapat menikmati makanan pada siang hari dan tidak merunggut kelaparan ketika sedang berpuasa.
Pelajari IlmuIlmu tentang ibadah-ibadah yang terdapat dalam bulan Ramadan perlu dipelajari supaya kita mendapat kefahaman tentang ibadah yang kita lakukan ini supaya kita mudah melaksanakannya tanpa menghadapi masalah.
Jaga KesihatanFizikal penting dalam melaksanakan ibadah puasa kerana orang sakit dalam bulan puasa tidak dapat melaksanakan ibadah puasa dan ia terlepas dari segala hikmah yang terdapat dalam bulan puasa. Badan sihat juga mudah untuk melaksanakan solat sunat tarawih, mudah untuk membaca Al-Quran dan sebagainya.
Persiapan EkonomiEkonomi juga penting dalam bulan puasa. Orang yang berkemampuan perbanyakkanlah sedekah kepada orang yang kurang berkemampuan kerana ganjaran pahalanya sangat besar. Memiliki ekonomi juga dapat membuatkan seseorang itu mudah ke masjid untuk melaksanakan ibadah.

Rebutlah ruang dan peluang yang Allah SWT berikan kepada kita sekali lagi pada tahun ini untuk melaksanakan segala apa yang disediakan dalam bulan Ramadan ini.

Jangan lepaskan peluang ini, kerana bagi sesiapa yang terlepas peluang ini akan mengalami kerugian yang amat besar dan belum tentu lagi kita dapat bersama lagi pada Ramadan yang akan datang.

Doa Menyambut Ketibaan Bulan Ramadan

Para Salafussoleh menyambut kehadiran Ramadan dengan penuh kegembiraan dan banyak berdoa kepada Allah SWT.

Mereka berdoa supaya direzekikan bertemu Ramadan dan diberikan keberkatan, keimanan dan keselamatan untuk menempuhi Ramadan dengan ibadah-ibadah yang diterima oleh Allah SWT.

Antara doa menyambut ketibaan bulan Ramadan yang disarankan untuk kita baca dan telah dikongsikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM adalah seperti berikut:

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).”

Persediaan & Doa Menyambut Ketibaan Bulan Ramadan 1
Doa Menyambut Ketibaan Bulan Ramadan

Selain itu, Rasulullah SAW juga telah mengajarkan kita untuk berdoa apabila melihat anak bulan, iaitu:

اللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلامَةِ وَالْإِسْلامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللهُ

Maksudnya: “Ya Allah, keluarkanlah anak bulan ini dengan keberkatan dan keimanan, serta berikanlah keselamatan dan keislaman, Tuhanku dan Tuhanmu (anak bulan) ialah Allah SWT.”

Doa ini bukan sekadar dilafaz, tetapi ia merupakan simbol keimanan dan ketenangan dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.

Anak bulan muncul, harapan baru akan bersinar! Mari kita sama-sama amalkan doa ini ketika cerapan anak bulan Ramadan nanti!

Seterusnya, ketika menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, setiap umat Islam pasti mahu berada dalam keadaan yang sihat sejahtera agar ia dapat berpuasa dengan sempurna.

Oleh itu, berdoalah kepada Allah SWT agar dikurniakan kesihatan tubuh badan dan kekuatan untuk melakukan ibadah berpuasa selama sebulan tanpa halangan.

Saidina Ali R.A. mengamalkan tiga doa ketika di ambang Ramadan, iaitu:

“Ya Allah, berikan aku kecukupan dengan sedikitnya tidur.”

“Ya Allah, berikan aku kelapangan daripada kesibukan.”

“Ya Allah, berikan kepada aku kesihatan dalam tubuh badan ini daripada sebarang penyakit.”

Persediaan & Doa Menyambut Ketibaan Bulan Ramadan 2
Doa Menyambut Ketibaan Bulan Ramadan

Diharapkan perkongsian doa menyambut ketibaan bulan Ramadan ini bermanfaat untuk semua umat Islam di luar sana.

Selamat berpuasa dan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak semua!

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More