Adab & Doa Minum Air Zamzam Serta Pelbagai Khasiat Untuk Kesihatan
Berikut dikongsikan doa minum air zamzam yang boleh diamalkan untuk mendapat pelbagai khasiat yang terbaik daripadanya.
Isi Kandungan
Maksud & Sejarah Air Zamzam
Zamzam berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud banyak atau melimpah ruah.
Air Zamzam merupakan air yang dianggap suci oleh umat Islam dan ia merupakan telaga mata air yang terletak di dalam kawasan Masjidil Haram, iaitu bersebelahan tenggara Kaabah yang mempunyai kedalaman sedalam 31 meter.
Air zamzam telah muncul pada zaman Nabi Ismail A.S., iaitu ketika Baginda ditinggalkan bersama ibunya Hajar oleh Nabi Ibrahim A.S di Mekah.
Pada waktu itu, Hajar mencari air bagi menghilangkan dahaganya antara bukit Safa dan Marwah (Peristiwa ini disemadikan dalam Ibadah Sa’ie).
Hal ini merupakan perintah Allah SWT kepada Nabi Ibrahim A.S. agar Baginda meninggalkan zuriatnya ini di wadi (lembah) Mekah. Firman Allah SWT maksudnya:
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur”.
Surah Ibrahim, Ayat 37
Air Zamzam adalah kurniaan Allah SWT kepada Nabi Ismail A.S. dan ia kekal sehingga ke hari ini.
Malah, terdapat banyak hadis-hadis Nabi Muhammad SAW yang turut menceritakan tentang kelebihan dan keistimewaan Air Zamzam tersebut.
Adab Ketika Minum Air Zamzam
Sebagaimana yang disebutkan oleh sebahagian Fuqaha, adab ketika minum Air Zamzam adalah termasuk dalam hukum sunat, antaranya:
- Menghadap Kaabah / Kiblat.
- Membaca Bismillah sebelum minum.
- Minum Air Zamzam dengan niat yang ikhlas.
- Jangan minum dengan sekali teguk sehingga habis. Minum sebanyak tiga (3) kali dan diselangi bernafas di luar bekas minuman, kemudian baru teguk lagi.
- Setiap kali mengambil nafas ketika minum Air Zamzam, melihatlah ke arah Kaabah / Kiblat.
- Minumlah Air Zamzam sehingga kenyang kerana orang munafiq tidak meminumnya sehingga kenyang.
- Sesudah minum, ucapkanlah pujian kepada Allah SWT dengan membaca Alhamdulillah.
- Memperbanyakkan doa minum Air Zamzam ketika minum dan mengharapkan kebaikan di dunia dan akhirat.
Doa Minum Air Zamzam
Daripada Ikramah meriwayatkan, bahawa doa minum Air Zamzam yang diamalkan oleh Ibnu Abbas adalah seperti berikut:
اَللَّهُمَّ اِنِّى اَسْأَلُكَ عِاْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا وَاسِعًا وَشَفِيًا مِنْ كُلِّ دَاءٍ وَسَقِيْمًا
“Ya Allah Ya Tuhanku! Daku bermohon kepadaMu supaya dikurniakan ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada segala penyakit.”
Hadis Riwayat Ad-Dara Qutni dan lbnu Majah
Menurut riwayat, Ibnu Abbas ialah sahabat yang sangat tinggi pekertinya, mendalam ilmunya, luas rezekinya dan tidak pernah sakit kecuali penyakit tua.
Khasiat & Manfaat Air Zamzam
Berikut merupakan antara keistimewaan dan kelebihan yang terdapat pada Air Zamzam yang mungkin masih ramai yang tidak tahu. Antara khasiat dan manfaatnya adalah:
Menghilangkan Rasa Lapar | Keberkatan Air Zamzam ini berfungsi seperti makanan dan ia mengenyangkan bagi orang yang meminumnya. |
Mengoptimumkan Proses Metabolisme Tubuh | Proses metabolisme tubuh berfungsi untuk mengubah zat-zat yang masuk ke dalam tubuh seperti lemak bertukar menjadi tenaga. Apabila tenaga terhasil, maka tubuh akan memiliki tenaga untuk menjalankan aktiviti seharian. Mineral dari Air Zamzam sangat baik dalam memaksimumkan proses metabolisme, serta berfungsi untuk mengganti dengan segera, mineral yang digunakan ketika proses metabolisme. Manusia disarankan untuk kerap minum Air Zamzam seelok-eloknya minum Air Zamzam sebelum tidur malam atau pada waktu pagi selepas bangun tidur. Hal itu kerana, menurut pakar Mury Kuswari, kadar metabolisme tubuh tinggi sewaktu kita sedang tidur. |
Mukjizat Air Zamzam Bergantung Kepada Niat Orang Yang Meminumnya | Inilah keistimewaan dan kelebihan Air Zamzam yang tidak ada pada air-air yang lain. Oleh itu, niatlah apa-apa sahaja yang baik sewaktu minum Air Zamzam. Mudah-mudahan, niat itu dikabulkan oleh Allah SWT. |
Menyembuhkan Pelbagai Penyakit | Dikisahkan oleh Al-Azraqi bahawa ada seorang yang makan, lalu ternyata ada jarum pada makanannya sehingga jarum tersebut tersangkut di kerongkongnya. Dirinya seakan-akan seperti hendak mati, lalu dia minum Air Zamzam (dengan memohon pertolongan kepada Allah SWT), akhirnya rasa sakit yang dialaminya hilang, dan masalah itu pun selesai. Selain itu, dikisahkan oleh Taqiyuddin Al-Fasii bahawa seorang pegawai Masjidil Haram yang bernama Ahmad Syarifi pernah minum Air Zamzam dengan niat untuk memperoleh kesembuhan dari kebutaan yang dialami dirinya, lalu akhirnya dia pun sembuh dari buta yang menimpa dirinya. Oleh itu, ini terbukti Air Zamzam juga boleh menyembuhkan pelbagai penyakit. |
Menguatkan Gigi Dan Tulang | Air Zamzam mengandungi kadar kalsium dan garam magnesium yang lebih tinggi dibandingkan dengan telaga lain yang terdapat di sekitar Mekah. |
Regenerasi Kulit Mati | Air Zamzam memiliki kandungan pH yang cukup tinggi sehingga mampu merawat kulit wajah. Salah satunya adalah dapat meregenerasi kulit yang telah mati. Dengan minum Air Zamzam, ia dapat membantu menghasilkan sel-sel kulit mati dengan cepat dan diganti dengan kemunculan sel-sel kulit baru. |
Memiliki Zat Bersifat Anti-Kuman | Penelitian yang dilakukan oleh Arab Saudi menemui di dalam Air Zamzam terkandung zat fluorida yang berfungsi sebagai anti-kuman dan ia sangat berkhasiat untuk memusnahkan kuman-kuman yang terdapat di dalam kandungan airnya. |
Semoga perkongsian mengenai Air Zamzam ini bermanfaat untuk anda semua diluar sana dan jangan lupa setiap kali ingin minum Air Zamzam, bacalah doa minum Air Zamzam terlebih dahulu moga-moga kita selalu memperolehi kebaikan daripadanya.