Sumber Rujukan Globalisasi Anda

DOA QUNUT – MAKSUD DOA QUNUT DAN DOA QUNUT DALAM RUMI

Doa Qunut kebiasaannya doa yang dibaca dalam solat subuh dan ada juga doa qunut yang dibaca dalam solat lain seperti doa qunut nazilah. Di dalam Mazhab Syafie, ianya disepakati bahawa amalan membaca doa qunut dalam solat subuh pada I’tidal rakaat kedua adalah sunnah ab’ad.

Sunnah Ab’ad bermaksud sunnah yang diberi pahala bagi yang mengerjakannya dan bagi yang terlupa mengerjakannya disunnahkan melakukan sujud sahwi.

Isi Kandungan

Doa Qunut Mudah Dan Ringkas

Jadi amatlah penting untuk kita semua pelajari dan ajarkan pada anak-anak kita sejak dari kecil untuk amalkan. Disini kami sertakan doa qunut berserta terjemahannya untuk rujukan anda semua.

doa qunut

Allaahummahdinii fii man hadaiit, wa aafinii fii man aafaiit, wa tawallanii fi man tawallaiit, wa baarik lii fiimaa a’thaiit. Wa qinii syarra maa qadhaiit. Fa innaka taqdhii wa laa yuqdhaa ‘alaiik. Innahu laa yadzillu maw waalaiit.

Wa laa ya’izzu man ‘aadaiit. Tabaarakta rabbanaa wa ta’aalait. Fa lakal-hamdu ‘alaa maa qadhaiit, Astaghfiruka wa atuubu ilaik wa shallallahu ‘ala sayyidina muhammadin nabiyyil ummuyyi wa ‘alaa aalihii wa shahbihii wa sallam.

Doa Qunut Rumi Dan Terjemahan Doa Qunut

Sebaiknya, kita memahami doa qunut yang kita baca. Ini akan menambahkan lagi kekhusyukan kita dalam solat. Berikut adalah terjemahan kepada doa qunut:

DOA QUNUT DALAM
RUMI

MAKSUD DOA QUNUT

Allaahummahdinii fii man hadaiit

Ya Allah tunjukkanlah aku sebagaimana mereka yang sudah Engkau berikan petunjuk.

wa aafinii fii man aafaiit

Dan kasihkanlah kesehatan
kepadaku sebagaimana mereka yang Engkau sudah kasih kesehatan.

wa tawallanii fi man tawallaiit

Dan peliharalah aku sebagaimana orang yang telah Engkau pelihara.

wa baarik lii fiimaa a’thaiit.

 

Dan berilah keberkahan
bagiku pada segala apa yang Engkau sudah karuniakan

Wa qinii syarra maa qadhaiit

Dan lindungi aku dari segala bahaya kejahatan yang Engkau sudah pastikan.

Fa innaka taqdhii wa laa
yuqdhaaalaiik

Maka sesungguhnya
Engkaulah yang menghukum
dan bukan kena hukum.

Innahu laa yadzillu maw
waalaiit.

Maka sesungguhnya
tidak hina orang yang Engkau pimpin.

Wa laa ya’izzu man ‘aadaiit

Dan tidak mulia orang yang mana Engkau memusuhinya.

Tabaarakta rabbanaa wa ta’aalait.

Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami dan Maha tinggi Engkau

Fa lakal-hamdu
alaa maa qadhaiit

Maka bagi engkaulah segala pujian diatas apa yang engkau hukumkan

Astaghfiruka wa atuubu ilaik

Aku memohon ampun dariMu dan aku bertaubat kepadamu

wa shallallahu ‘ala sayyidina muhammadin nabiyyil ummuyyi waalaa
aalihii wa shahbihii wa sallam.

Dan semoga Allah mencurahkan
rahmat dan sejahtera keatas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarganya

Ada Berapa Jenis Doa Qunut?

Terdapat 3 jenis doa qunut yang menjadi kebiasaan amalan dalam masyarakat Islam di Malaysia iaitu:

  1. Doa Qunut Salat Subuh – Doa qunut ini umum diketahui, yakni dibaca pada rakaat kedua atau terakhir Solat Subuh selepas bangun dari iktidal.
  2. Doa Qunut Nazilah – Qunut Nazilah ini akan dibaca ketika berlaku peristiwa atau musibah yang menimpa, seperti bencana alam. Selain itu contohnya pada waktu terbunuhnya para pejuang islam, wabak penyakit, dan sebagainya. Jika anda ingin tahu lebih lanjut, boleh rujuk artikel kami berkaitan Doa Qunut Nazilah sebagai panduan.
  3. Doa Qunut Salat Witir – Qunut Solat Witir kebiasaannya dibaca ketika rakaat ketiga sebelum sujud, dan khususnya dibaca pada separuh kedua bulan Ramadan bermula malam ke 16.

Kenapa Perlu Baca Doa Qunut?

Kepentingan doa qunut telah tercatat dalam banyak riwayat. Antaranya tersebut dalam kitab Al Majmu ‘syarah muhazzab jilid 3/504:
“Dalam mazhab syafie disunnatkan qunut pada waktu solat subuh baik ketika turun bencana atau tidak. Dengan hukum inilah berpegang majoriti ulama salaf dan orang-orang yang sesudah mereka. Dan diantara yang berpendapat demikian adalah Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, Ibnu Abbas, Barra ‘bin Azib – semoga Allah meredhai mereka semua. Ini diriwayatkan oleh Baihaqi dengan sanad yang sahih. Ramai tabi’in dan yang sesudah mereka berpendapat demikian. Inilah mazhab Ibnu Abi Laila, Hasan bin Shalih, Malik dan Daud. “
Dalam kitab Al-Umm jilid 1/205 ada juga disebutkan bahawa Imam Syafie berkata:
“Tidak ada qunut pada solat lima waktu selain solat subuh. Kecuali jika terjadi bencana, maka boleh qunut pada semua solat jika imam menyukai”.
Imam Jalaluddin al-Mahalli berkata dalam kitab Al-Mahalli jilid 1/157:
“Disunnahkan qunut pada I’tidal rakaat kedua dari solat subuh dan dia adalah” Allahummahdinii fiman hadait … .hingga akhirnya “.
Demikian keputusan hukum tentang qunut subuh dalam mazhab syafie. Berikut ini dikemukakan dalil dalil tentang kesunatan qunut subuh yang diantaranya adalah dari hadis dari Anas r.a:
“Bahawa Nabi saw. pernah qunut selama satu bulan sambil mendoakan kecelakaan atas mereka kemudian Nabi meninggalkannya. Adapun pada solat subuh, maka Nabi melakukan qunut hingga beliau meninggal dunia”
Hadis ini diriwayatkan oleh sekelompok huffaz dan mereka juga ikut meriwayatkannya dan mereka juga ikut mensahihkannya. Diantara ulama yang mengakui kesahihan hadis ini adalah Hafiz Abu Abdillah Muhammad Ali Al-Balkhi dan Al-Hakim Abu Abdillah pada beberapa tempat di kitabnya serta imam Baihaqi. Hadis ini juga turut di riwayatkan oleh Darulquthni dari beberapa jalan dengan sanad-sanad yang sahih.
Dikatakan oleh Umar bin Ali Al Bahiliy, dikatakan oleh Khalid bin Yazid, dikatakan Jakfar Arraziy, dari Arrabi ‘berkata:
Anas ra ditanya tentang Qunut Nabi saw bahawa apakah betul beliau saw berqunut sebulan, maka berkata Anas ra: beliau saw selalu terus berqunut hingga wafat , lalu mereka mengatakan maka Qunut Nabi saw pada solat subuh selalu berkesinambungan hingga beliau saw wafat, dan mereka yg meriwayatkan bahawa Qunut Nabi saw hanya sebulan kemudian berhenti maka yg dimaksud adalah Qunut setiap solat untuk mendoakan kehancuran atas musuh musuh, lalu (setelah sebulan) beliau saw berhenti, namun Qunut di solat subuh terus berjalan hingga beliau saw wafat.
(Sunan Imam Baihaqi Alkubra Juz 2 hal 211 Bab Raf’ul yadayn filqunut, Sunan Imam Baihaqi Alkubra Juz 3 hal 41, Fathul Baari Imam Ibn Rajab Kitabusshalat Juz 7 hal 178 dan hal 201, Syarh Nawawi Ala shahih Muslim Bab Dzikr Nida Juz 3 hal 324, dan banyak lagi).

Adakah Sah Solat Jika Tidak Baca Doa Qunut?

Pernah ditanya kepada Ustaz Abdul Somad mengenai ini, maka ini jawapan jelas oleh beliau:

Pendapat Imam Mazhab Tentang Doa Qunut

Mazhab Hanafi

  • Disunatkan qunut pada solat witir dan tempatnya sebelum ruku’. Adapun qunut pada solat subuh tidak disunatkan. Sedangkan qunut Nazilah disunatkan tetapi ada solat jahriyah saja.

Mazhab Maliki

  • Disunnatkan qunut pada solat subuh dan tempatnya yang lebih utama adalah sebelum ruku, tetapi boleh juga dilakukan setelah ruku. Adapun qunut selain subuh iaitu qunut witir dan Nazilah, maka keduanya dimakruhkan.

Mazhab Syafie

  • Disunnatkan qunut pada waktu subuh dan tempatnya sesudah ruku’. Begitu juga disunnatkan qunut nazilah dan qunut witir pada pertengahan bulan ramadhan.

Mazhab Hambali

  • Disunnatkan qunut pada solat witir dan tempatnya sesudah ruku’. Adapun qunut subuh tidak disunnahkan. Sedangkan qunut nazilah disunatkan dan dilakukan diwaktu subuh saja.

Apa Jawapan Kepada Mereka Yang Menolak Doa Qunut?

Untuk mereka yang membantah sunnahnya doa qunut subuh, disini kami sertakan beberapa nukilan daripada Jabatan Mufti Negeri Sembilan untuk rujukan kita bersama. Ada orang yg berpendapat bahawa Nabi Muhammad saw melakukan qunut satu bulan sahaja berdasarkan hadis Anas ra, maksudnya:
“Bahawasanya Nabi saw melakukan qunut selama satu bulan sesudah ruku’ sambil mendoakan kecelakaan ke atas beberapa puak Arab kemudian baginda meninggalkannya.” Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Jawapan pada hadis daripada Anas tersebut kita akui sebagai hadis yg sahih kerana terdapat dalam kitab Bukhari dan Muslim. Akan tetapi yg menjadi permasalahan sekarang adalah kata: (thumma tarakahu = Kemudian Nabi meninggalkannya). Apakah yg ditinggalkan oleh Nabi itu? Meninggalkan qunutkah? Atau meninggalkan berdoa yg mengandungi kecelakaan ke atas puak-puak Arab? Untuk menjawab permasalahan ini lah kita perhatikan baik-baik penjelasan Imam Nawawi dlm Al-Majmu’ jil.3, hlm.505 maksudnya:
“Adapun jawapan terhadap hadis Anas dan Abi Hurairah r.a dlm ucapannya dengan (thumma tarakahu) maka maksudnya adalah meninggalkan doa kecelakaan ke atas orang-orang kafir itu dan meninggalkan laknat terhadap mereka sahaja. Bukan meninggalkan seluruh qunut atau meninggalkan qunut pada selain subuh. Penafsiran seperti ini mesti dilakukan kerana hadis Anas di dlm ucapannya ‘sentiasa Nabi qunut di dlm solat subuh sehingga beliau meninggal dunia’ . Adalah sahih lagi jelas maka wajiblah menggabungkan di antara kedua-duanya.”
Imam Baihaqi meriwayatkan dan Abdur Rahman bin Madiyyil, bahawasanya beliau berkata, maksudnya:
“Hanyalah yg ditinggalkan oleh Nabi itu adalah melaknat.”
Tambahan lagi pennafsiran seperti ini dijelaskan oleh riwayat Abu Hurairah ra yg berbunyi, maksudnya:
“Kemudian Nabi menghentikan doa kecelakaan ke atas mereka.”
Dengan demikian dapatlah dibuat kesimpulan bahawa qunut Nabi yg satu bulan itu adalah qunut nazilah dan qunut inilah yg ditinggalkan, bukan qunut pada waktu solat subuh. Kelompok anti mazhab mengatakan: Dalam hadis-hadis yang disebutkan diatas, qunut bermakna tumaninah/khusyuk? Jawapan untuk hadis-hadis yang ada dlm artikel ini semuanya bermakna seperti dalam topik yang dibicarakan “qunut” = berdoa pada waktu berdiri (setelah ruku) qunut dalam hadis-hadis tersebut bukan bererti toma’ninah atau rukuk. Mengenai hadis “qunut” yang bermakna toma’ninah/khusyuk/dan sebagainya. Diriwayatkan dari Jabir Ra. katanya Rasulullah saw. bersabda: afdlalu solah thuululqunuut. Ertinya: “solat yg paling baik ialah yang paling panjang qunutnya”. 
Dalam menjelaskan ayat alqur’an:
“Dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dalam keadaan” qanitiin “(al-baqarah 238) (HR Ibnu Abi Syaibah, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah seperti dalam kitab Duurul mantsur).
Mujahid rah. berkata maksud qanitiin disini termasuklah ruku’ , khusyu’ , rakaat yang panjang/lama berdiri, mata tunduk kebawah, takut kepada Allah swt. Makna qanitiin juga bererti diam atau senyap. Sebelum turun ayat ini, masih dibolehkan berbicara dalam solat, melihat keatas, kebawah, kesana-kemari, dsb … (lihat hadis bukhari muslim). Setelah turun ayat ini, perkara-perkara tersebut tidak dibolehkan. (Duurul Mansur)

Kepentingan Doa Qunut

Kesimpulannya, kita seharusnya mengikuti imam-imam mazhab dimana kita berada supaya ianya tidak menyebabkan perpecahan dikalangan umat. Kesatuan hati orang islam jauh lebih baik daripada kita berpecah belah dalam hal yang kecil sebegini.

Semoga artikel Doa Qunut ini dapat membantu semua umat Islam dalam melaksanakan ibadah seharian. Di samping itu, sama-samalah kita menjaga solat 5 waktu kita di awal waktu kerana ianya adalah amalan sunnah baginda s.a.w. Mohon rujuk artikel kami berkaitan Waktu Solat 2021 Seluruh Negeri untuk kita ambil berat waktu solat di tempat kita tinggal. Ini akan membantu kita menjaga solat dengan mudah.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More