Doa Terhindar Zina Untuk Diri Sendiri Dan Keturunan (Anak)
Berikut dikongsikan tentang doa terhindar zina yang boleh diamalkan sebagai amalan harian kita supaya terhindar daripada maksiat dan zina.
Isi Kandungan
Konsep Zina
Zina adalah apabila dua orang yang bukan suami isteri, melakukan hubungan seks (berjimak) yang dihalalkan khusus untuk pasangan suami isteri.
Dalam hadis, definisi zina telah dihuraikan sebagai segala bentuk persetubuhan, penetrasi atau bukan penetrasi, di luar nikah.
Di dalam Islam, pelaku perzinaan dibezakan menjadi dua, iaitu pezina muhshan dan ghayru muhshan.
Pezina muhshan adalah pezina yang sudah memiliki pasangan sah dan pezina ghayru muhshan adalah pelaku yang belum pernah menikah dan tidak memiliki pasangan sah.
Maksud “Jangan Dekati Zina”
Firman Allah SWT:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
Surah Al-Isra’, 17:32
Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.”
Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim
Maka jelaslah maksud “jangan mendekati” dalam Al-Quran menunjukkan bahawa semua perkara yang membawa kepada zina seperti pandangan mata, sentuhan dan berkhalwat adalah haram dan perlu dijauhi, walaupun dikira sebagai dosa-dosa kecil.
Gejala Zina Tanda Kehancuran Umat
Berita Harian pada 10 November 2024 melaporkan bahawa berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan di negara ini dalam tempoh lima (5) tahun lalu.
Daripada jumlah itu seramai 17,646 remaja tidak berkahwin ketika hamil.
Isu kehamilan luar nikah ini jelas berpunca daripada jenayah zina yang berleluasa.
Zina yang tidak terkawal merupakan satu indikator yang jelas mengenai kerosakan masyarakat yang akan membawa kepada kehancuran dalam jangka masa yang panjang.
Justeru, marilah kita sama-sama hentikan perkara ini daripada berleluasa dalam kalangan keturunan kita.
Doa Terhindar Zina
Abu Umamah berkata: Rasulullah SAW meletakkan tangan Baginda ke atas dada pemuda yang memohon izin untuk berzina, lalu berdoa,
Maksudnya: Ya Allah sucikanlah hatinya, ampunkanlah dosanya dan peliharakanlah kemaluannya.
Selepas itu, pemuda itu menjadi orang yang sangat benci pada maksiat zina.
Berikut adalah doa terhindar zina yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian,
اَللَّهُمَّ إِنِّىْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ سَمْعِىْ وَمِنْ شَرِّ بَصَرِىْ وَمِنْ شَرِّ لِسَانِىْ وَمِنْ شَرِّ قَلْبِىْ وَمِنْ شَرِّ مَنِيِّىْ
Rumi: Allahumma Inni Auudzubika Min Syarri Sam’ii, Wa Min Syarri Bashorii, Wa Min Syarri Lisaanii, Wa Min Syarri Qolbii, Wa Min Syarri Maniy-yii
Maksudnya: Ya Allah, aku meminta perlindungan kepada-Mu dari kejelekan pendengaranku, dari kejelekan penglihatanku, dari kejelekan lisanku, dari kejelekan hatiku, serta dari kejelekan kemaluanku.
Seterusnya, ada juga doa khusus yang boleh diamalkan oleh ibu bapa untuk anak-anak supaya mereka benci untuk melakukan maksiat.
Berikut adalah doa terhindar zina yang lebih spesifik untuk lelaki dan wanita, iaitu
Doa Terhindar Zina Untuk Anak Lelaki | اللَّهُمّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ وَطَهِّرْ قَلْبَهُ، وَحَصِّنْ فَرْجَهُ Rumi: Allahummaghfir Dzanbahu, Wathahhir Qalbahu, Wahassin Farjahu. Maksudnya: Ya ALLAH sucikan lah hatinya dan ampunkanlah dosanya dan peliharalah kemaluannya. |
Doa Terhindar Zina Untuk Anak Perempuan | اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهَا وَطَهِّرْ قَلْبَهَا وَحَصِّنْ فَرْجَهَا Rumi: Allahummaghfir Dzanbaha, Wathahhir Qalbaha, Wahassin Farjaha. Maksudnya: Ya ALLAH sucikan lah hatinya dan ampunkanlah dosanya dan peliharalah kemaluannya. |
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan seterusnya dijadikan panduan untuk kita semua dalam meningkatkan amal ibadah dan menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dan berdoa kepada Allah SWT pada setiap hari!
Selamat beramal! Semoga Allah SWT sentiasa menerima amalan kita. Allahumma Aamiin.
Artikel Berkaitan: Maksud Sekufu Dalam Perkahwinan, Kenapa Kita Perlu Pilih Pasangan Yang Sekufu?