Doa Ziarah Kubur & Hukum Ziarah Kubur Pada Hari Raya

Berikut adalah sedikit perkongsian mengenai doa ziarah kubur yang disarankan dan kita boleh amalkan ketika menziarahi kubur.
Isi Kandungan [show]
Doa Ziarah Kubur
Setiap yang bernyawa pasti akan mati dan ia adalah merupakan lumrah alam yang tidak dapat dielakkan. Seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Ankabut, Ayat 57:
كُلُّ نَفْسٍۢ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya: “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”
Bagi ‘mengenang’ insan tersayang yang terlebih dahulu menghadap Ilahi, menziarahi kubur terutamanya pada hari-hari tertentu seperti Hari Raya sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat kita.
Antara doa ziarah kubur yang boleh kita baca dan amalkan ketika menziarahi kubur adalah seperti berikut:
السَّلاَمُ عَلَى أهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الـمُؤْمنِيْنَ وَالـمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّا إنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لاَحِقُونَ، نَسْأَلُ الله لَنَا وَلَكُمُ العَافِيةَ
Maksudnya: “Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kampung (kubur), daripada orang-orang Mukmin dan Muslim. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan mengikuti kamu. Kami memohon kepada Allah kesejahteraan bagi kami dan juga kamu.”
Selain itu, boleh juga baca doa ziarah kubur seperti berikut:
السَّلاَمُ علَيْكُمْ يَا أهْلَ القُبُورِ، يَغْفِرُ اللهُ لَنا وَلَكُمْ، أنْتُم سَلَفُنَا، وَنَحْنُ بِالأَثَرِ
Maksudnya: “Salam sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni kubur. Semoga Allah mengampuni kami dan juga kamu. Kamu telah mendahului kami dan kami akan menyusul.”

Hukum Ziarah Kubur Pada Hari Raya
Asal ziarah kubur adalah dituntut dalam Islam dan ia adalah sunat mengikut pendapat yang sahih kerana ia boleh mengingatkan seseorang tentang akhirat.
Ini berdasarkan kepada nas yang banyak walaupun pada awalnya Rasulullah SAW melarang daripada menziarahi kubur tetapi diizinkannya bahkan menyuruhnya. Ini berdasarkan hadis:
كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَن زِيَارَةِ القُبُور فَزُورُهَا
Maksudnya: “Adalah aku dahulu telah melarang kamu menziarahi kubur, maka ziarahlah.”
Riwayat Muslim
Dalam riwayat yang lain menunjukkan illah atau sebab ziarah kubur untuk mengingati kematian. Dalam hadis Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA dia berkata: “Nabi Muhammad SAW menziarahi kubur ibunya lalu dia menangis dan orang yang disampingnya juga menangis, kemudian baginda bersabda:
استأذنت ربي في أن أستغفرلها فلم يؤذن لي، واستأذنته في أن أزور قبرها فأذن لي، فزوروا القبور فانها تذكر الموت
Maksudnya: “Aku meminta izin daripada Tuhanku untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka Dia tidak memberi keizinan kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya maka Dia (Allah) membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian.”
Riwayat Muslim
Begitu juga Ibn Majah meriwayatkan dengan sanad yang sahih sabda Nabi Muhammad SAW bersabda:
كنت نهيتكم عن زيارة القبور، فزوروا القبور فانها تزهد في الدنيا وتذكر الأخرة
Maksudnya: “Adalah aku dahulunya menghalang kamu daripada menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahilah kubur, kerana ia boleh menjadikan kamu zuhud terhadap dunia dan mengingati akhirat.”
Riwayat Ibn Majah
Di sini kita boleh simpulkan, dengan menziarahi kubur sudah pasti akan membawa keinsafan dan juga semangat untuk beribadat bagi persiapan menuju alam akhirat.
Seterusnya, menziarahi kubur pada Hari Raya atau pada bulan Ramadan telah menjadi perbahasan para ulama. Terdapat dua (2) pandangan dalam isu ini, iaitu:
- Hukumnya adalah makruh dan tidak dibenarkan dan tidak digalakkan bahkan ia dianggap bidaah. Ini kerana tiada nas yang menunjukkan Rasulullah SAW menziarahi kubur pada hari raya. Bahkan Baginda SAW melayani tetamu dan saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain bagi menzahirkan kegembiraan.
- Hukumnya adalah harus. Ini kerana tidak ada perintah dan larangan secara khusus di samping mengambil pendapat umum berkenaan dengan perintah ziarah kubur. Justeru hukumnya adalah dibolehkan. Antara ulama yang berpendapat hukumnya sunat adalah dalam Fatwa Al-Hindiyyah yang menyebut: “Sebaik hari ziarah kubur antaranya Hari Raya.”
Diharapkan perkongsian doa ziarah kubur ini bermanfaat untuk semua umat Islam di luar sana.
Marilah sama-sama kita amalkan membaca doa ziarah kubur ini ketika menziarahi kubur supaya kita sentiasa mendapat mendapat keredhaan daripada Allah SWT.
Artikel Berkaitan: Doa Untuk Orang Meninggal Dunia Lelaki & Perempuan