Cara Buat Sendiri Donut Peach Viral Di Rumah
Donut Peach Viral tiba-tiba menjadi fenomena dan tular di media sosial dan di Malaysia kini. Rata-rata rakyat Malaysia dan warga maya tidak mahu terlepas peluang daripada merasai sendiri keenakan buah peach yang sedang hangat disebut-sebut itu.
Namun, ada juga segelintir yang tidak mampu merasai buah tersebut disebabkan beberapa faktor.
Antara faktornya mengalami alahan terhadap buah tersebut ataupun disebabkan harga buah tersebut yang berada di luar kemampuan. Kalau anda di pasar raya pun, belum tentu dapat membelinya kerana populariti buah ini menyebabkannya laku keras dan cepat habis.
Oleh sebab itu, seorang chef yang terkenal dengan resepi unik dan lazat, Che Azawimie Che Zahari telah tampil dengan resepi yang bakal mengubati hati mereka yang tidak dapat merasai Donut Peach Viral tersebut.
Isi Kandungan
Resepi Donut Peach Viral Gebu
Jelas chef yang berkerja di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun itu, resepi ‘Donut Peach Viral’ ini sangat disukai ramai kerana rasanya yang lemak-lemak masin serta memiliki kemanisan dari gula.
Selain itu, bahan-bahannya juga mudah didapati serta boleh dibuat di rumah masing-masing untuk juadah makan petang bersama keluarga tercinta.
Bahan-Bahan Yang Diperlukan
Bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan ‘Donut Peach Viral’ ini adalah
- 1 kg tepung gandum
- 700ml susu UHT
- 1 sudu besar shortening
- 1 biji telur
- 1 sudu besar gula kastor
- 2 sudu besar yis
- 1/2 sudu kecil garam
- 1 sudu besar pes perisa tebu
- 1 sudu kecil pewarna kuning telur
- 1 sudu kecil pes red velvet
- 1 blok salted butter (potong kecil-kecil untuk dibuat inti)
Cara Penyediaan Donut Peach Viral
Cara-cara penyediaannya pula adalah
- Pertama sekali, campurkan semua bahan-bahan yang dinyatakan kecuali salted butter. Ketika mengadun bahan, masukkan pes red velvet dan pewarna kuning telur pada hujung proses dan warnanya akan menjadi seakan-akan ‘marble’.
- Selepas adunan doh sebati, rehatkan doh buat sementara waktu bagi memastikan adunan doh mengembang dan gebu.
- Kemudian, timbang doh dalam 30 gram dan bulat-bulatkannya. Masukkan satu blok kecil salted butter ke dalamnya.
- Sekali lagi, rehatkan doh dan selepas itu, anda boleh menekapnya agar bentuk doh tersebut berbentuk seakan-akan peach yang sebenar.
- Apabila semua ‘Donut Peach Viral’ berjaya dihasilkan, goreng doh-doh tersebut di dalam minyak panas pada api yang perlahan.
- Setelah selesai digoreng, toskan doh-doh tersebut daripada larutan minyak masak dan gaulkannya ke dalam gula kastor.
- Akhirnya, hidangan ini sedia untuk dimakan.
Jelas Che Azawimie, resepi ini memang disukai ramai kerana jika donut ini diletakkan di atas tempat hidangan, pinggan tersebut pasti akan ‘licin’ dalam waktu yang singkat.
Che Azawimie turut menasihati orang ramai yang ingin mencuba resepinya itu agar menikmati donut ini ketika masih panas. Jika donat tersebut dimakan pada waktu panas, rasa lemak-lemak masin dari mentega akan terasa lebih enak.
Credit Sumber: Che Azawimie Che Zahari
Selain Donut Peach Viral ini dibuat untuk makan sendiri di rumah, anda juga boleh jadikan Donut Peach Viral ini sebagai jualan kecil-kecilan.
Diharapkan semoga perkongsian tentang resepi Donut Peach Viral Gebu ini dapat membantu anda yang sedang mencari resepi menarik dan berlainan untuk menambahkan koleksi juadah harian anda.
Seterusnya selain resepi Donut Peach Viral ini, anda juga boleh dapatkan pelbagai lagi resepi lain yang menarik dan sedap di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan resepi-resepi terbaik untuk rujukan utama anda.
Selamat Mencuba!