Sumber Rujukan Globalisasi Anda

DR NOOR HISHAM BEKERJA TANPA JEMU UNTUK RAKYAT

SEJAK tercetusnya wabak COVID-19, antara figura menarik perhatian dan mencuri tumpuan seluruh rakyat Malaysia ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Setiap hari rakyat dan wartawan ternanti-nanti kemunculannya untuk mengumumkan status serta laporan harian kes COVID-19. Ketenangan, kematangan dan sikap profesionalisme individu ini dalam melaksanakan tanggungjawab beratnya cukup terserlah.

Walaupun penat mengendalikan krisis begitu serius, wajah dan penampilannya sentiasa tenang serta kata-katanya cukup meyakinkan kita semua.

Dalam konteks ini, tidak keterlaluan untuk kita menobatkan seorang ketua dan pemimpin yang hebat ini sebagai ikon penjawat awam 2020 dengan harapan akan menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada seluruh penjawat awam di negara ini.

Sesuatu kerajaan itu silih berganti. Setiap kali PRU, maka akan adalah menteri dan kabinet baru. Dalam situasi wabak COVID-19 ni pula, kerajaan yang menguruskan isu adalah barisan kabinet diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tapi, sedar atau tak, ketua barisan hadapan sebenar Kementerian Kesihatan Malaysia sebenarnya adalah Dr. Noor Hisham Abdullah yang merupakan Ketua Pengarah Kesihatan. Dari zaman kerajaan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan kini Perikatan Nasional (PN), beliau tetap setia berada di posisinya untuk terus berkhidmat.

DR NOOR HISHAM

Dr. Noor Hisham Abdullah telah dilantik menjadi Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013. Lebih kurang 7 tahun yang lalu. Untuk orang Selangor, korang boleh berbangga kerana beliau lahir di Sepang, Selangor pada 21 April 1963.

 

Dalam bidang akademiknya, memang tak boleh disangkal lagi sebagai seorang pakar bedah dan ilmu kedoktoran di negara ini. Buktinya:

DR NOOR HISHAM BEKERJA TANPA JEMU UNTUK RAKYAT 1

“Beliau kemudiannya menjadi pakar dalam pembedahan endokrin dan melakukan latihannya di pelbagai universiti di Adelaide dan Sydney, Australia. Beliau mempunyai banyak penerbitan dalam jurnal tempatan dan antarabangsa dan menulis banyak bab dalam buku teks bagi pembedahan endokrin.” – Petikan dari DNDI

Sebelum dilantik menjadi Ketua Pengarah Kesihatan, beliau memulakan kerjaya sebagai House Officer di Hospital Kuala Lumpur pada tahun 1988. Kemudiannya terus meningkat naik kepada Pakar Pembedahan Am, Hospital Kuala Terengganu (1994) dan dilantik menjadi Ketua Unit Pembedahan Payudara Endokrin , Jabatan Pembedahan, Hospital Kuala Lumpur (1998).

Empat tahun kemudian, kepakarannya diiktiraf dengan pelantikan sebagai Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am Hospital Putrajaya. Pada tahun 2008, perkhidmatan dan ideanya diperlukan apabila dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) selama lebih kurang lima tahun sebelum menjadi Ketua Pengarah Kesihatan bermula 2013.

Sekalipun sudah di kemuncak karier, minatnya sangat tinggi dalam kanser endokrin payudara dan beliau memberikan perkhidmatan kepemimpinan dalam pelbagai program pembelajaran outreach kesihatan yang inovatif untuk semua pelajar Malaysia. Perkhidmatannya juga bukan sekadar ditagih di peringkat tempatan, malah di peringkat antarabangsa.

Ini kerana beliau pernah terlibat secara aktif sebagai pembuat dasar bagi organisasi global seperti WHO dan Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi). Apa yang menarik, beliau juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi (Councilor-at-Large) di Eksekutif Pembedahan Antarabangsa (ISS) dan mempengerusikan Jawatankuasa Pembedahan Global ISS. Ini juga terbukti dengan pelantikan khasnya di beberapa organisasi akademik.

Dengan banyaknya kehebatan dalam akademik dan karier, kita tak boleh lupakan kemunculannya dalam setiap bencana besar yang berlaku dalam negara. Sama ada dari zaman kerajaan BN, PH atau pun PN.

Masih segar dalam ingatan kita semua terhadap apa yang berlaku di negeri Pantai Timur pada tahun 2014 terutamanya Kelantan. Bencana banjir yang menimpa negeri itu dicatatkan sebagai banjir terburuk pernah berlaku dalam sejarah yang dikenali sebagai banjir kuning. Ia telah melanda dari hulu yang jauh dari laut seperti Gua Musang sehinggalah ke muara. Apa yang menyedihkan, kerugian yang dicatatkan bagi infrastruktur dan aset awam mencecah RM200 juta.

Sekalipun teruk, pihak berkuasa termasuk dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan yang terbaik untuk meminimakan kesan buruk. Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham dah pun mengumumkan untuk menghantar seramai 101 kakitangan dari KKM untuk membantu beberapa hospital di sana untuk terus beroperasi walaupun dalam keadaan sukar. Kakitangan tersebut terdiri daripada pakar perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan.

Pada waktu tu juga, kita masih ingat seramai 36,128 keluarga telah dipindahkan di 309 pusat pemindahan di negeri Kelantan. Dr Noor Hisham juga telah menggerakkan pasukan perubatan dari pejabat kesihatan daerah di kawasan banjir, untuk pergi ke semua pusat pemindahan dan bersedia melakukan pemeriksaan serta rawatan sekiranya ada mangsa yang tidak sihat.

Pasukan kesihatan juga telah dihantar untuk menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit bagi memantau, mengesan dan mengawal penyakit berjangkit. Namun, ketegasan Dr Noor Hisahm ketika bencana banjir ini terserlah apabila mengeluarkan amaran keras kepada pengusaha premis makanan yang masih meneruskan operasi walaupun kedai dinaiki air.

Dr Noor Hisham ketika itu mengatakan premis berkenaan boleh dikenakan tindakan penutupan premis dan kompaun mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Sebelum kita semua mengalami panik COVID-19, penduduk di kawasan Pasir Gudang dah merasai perasaan ini lebih awal lagi apabila bencana pencemaran kimia di Sungai Kim Kim berlaku. Bencana yang bermula pada 7 Mac 2019 itu telah menjejaskan lebih kurang 6,000 orang dan 2,775 menerima rawatan. Waktu tu, mangsa paling ramai adalah pelajar sekolah menyebabkan 110 sekolah ditutup.

Semua pihak dan petugas telah bertungkus-lumus menghentikan bencana itu terdiri daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Chemical, Biological, Radiological, Nuclear & Explosive, Angkatan Tentera Malaysia (CBRNe – ATM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan petugas-petugas lain.

Di pihak KKM melalui Dr Noor Hisham dah melakukan kerjasama dengan kementerian dan agensi lain untuk menguruskan insiden ketika itu. Rawatan yang cepat juga telah dibuat kepada kepada mangsa yang mengalami sesak nafas dan muntah, Ini termasuklah 29 mangsa dari beberapa sekolah yang dimasukkan ke dalam wad untuk menerima rawatan.

Sepanjang bencana itu, beliau dah menasihatkan agar orang ramai bagi mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening dan lain-lain. Pada waktu itu, Klinik Kesihatan Pasir Gudang juga dibenarkan dibuka untuk menerima dan membantu mangsa lain.

Di kala situasi penularan wabak COVID-19 ni, ada juga antara kita yang kurang wajar dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan. Ahli politik dengan kenyataan berbaur permusuhan manakala rakyat biasa dengan pergaduhan masing-masing. Hinggakan, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba juga tak terlepas. Ini apabila beliau mengatakan mengenai minum air suam untuk cegah COVID-19.

Kenyataan ini dikritik oleh ramai pihak termasuk Dr Amalina Che Bakri dan Dr Imelda Balchin. Bagi Dr Imelda, lebih elok rakyat mengikut sahaja saranan yang dikeluarkan oleh Laman Web KKM mengenai jaga kebersihan tangan, jarak sosial dan elakkan perhimpunan.

Kalau kita perhatikan, dalam keadaan begini, nampaknya Dr Noor Hisham adalah paling profesional dalam kenyataan dan penerangan bagi setiap sidang media. Tiada satu pun yang menimbulkan kontroversi dan semuanya disampaikan dengan mudah. Sekalipun, saban hari mengemas kini kepada rakyat mengenai jumlah kematian, pesakit positif dan pesakit discaj, namun sentiasa mengawal segala emosi yang rakyat serlahkan.

Beliau juga sentiasa mengeluarkan perkara positif dan informatif dalam pengumumannya seperti memanggil 3,500 pesara perubatan untuk bantu barisan hadapan, operasi perkhidmatan kesihatan ibu hamil dan anak berjalan seperti biasa dan mengenai bantuan 100 alat bantuan pernafasan dari syarikat tempatan.

Tak kiralah apa ideologi atau pengikut parti mana pun yang korang pilih. Dalam keadaan sekarang, jagalah hati dan perasaan orang seperti Dr Noor Hisham Abdullah dan pasukannya. Mereka ini bekerja untuk kita semua tanpa memilih bulu. Dan sentiasa doakanlah kebaikan dan kemudahan buat mereka.

Hingga ke saat ini, Dr Noor Hisham berjaya membuktikan beliau dan anak buahnya di Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memberikan yang terbaik untuk rakyat dan terus berkhidmat untuk negara.

Antara kata-kata semangatnya kepada petugas kesihatan yang cukup terkesan dan menarik untuk dihayati ialah “Harapan negara kini disandarkan ke bahu kita. Sama ada kita berjaya atau tidak, ia bergantung kepada kita untuk meneraju perjuangan ini dan melakukan yang terbaik demi Raja dan negara.”

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More