Emas Hilang Daya Tarikan? Harga Emas Terus Susut
Harga emas terus susut, emas hilang daya tarikan. Harga emas menghampiri paras terendah dalam tempoh lebih dua bulan apabila peningkatan nilai dolar dan isyarat selanjutnya pemulihan ekonomi menjejaskan permintaan terhadap aset selamat itu.
Harga logam berharga itu susut buat hari kelima pada Rabu, tempoh penurunan paling lama sejak Mac tahun lalu, apabila data menunjukkan jualan runcit Amerika Syarikat (AS) mencatatkan peningkatan tertinggi dalam tempoh tujuh bulan pada Januari.
PERTUMBUHAN EKONOMI DUNIA JEJASKAN HARGA EMAS
Selain itu, pengeluaran meningkat lebih tinggi berbanding unjuran apabila kilang-kilang terus pulih daripada gangguan berkaitan pandemik.
Emas, yang mencatatkan kenaikan tahunan tertingginya dalam sedekad tahun lalu, merosot lebih enam peratus setakat tahun ini di tengah-tengah keyakinan terhadap pertumbuhan, yang dicetuskan oleh jangkaan kemajuan vaksinasi dan lebih banyak bantuan ekonomi.
Kenaikan pulangan Perbendaharaan 10-tahun turut mempengaruhi permintaan bagi logam yang tidak terkait dengan kadar faedah itu dan harganya terus meorot selepas membentuk corak yang dipanggil sebagai ‘death-cross’.
“Emas mungkin kekal bertahan dalam jangka terdekat,” kata Ketua Penganalisis Logam Berharga di HSBC Securities (USA) Inc, James Steel.
“Paras sekitar AS$1,800 (seauns) mungkin bertukar menjadi paras rintangan yang kuat. Banyak akan bergantung kepada dolar AS, yang mungkin memperoleh sokongan daripada pulangan lebih tinggi.”
Spot emas menokok 0.4 peratus kepada AS$1,782.61 pada 10.42 pagi ini di Singapura, paras antara hari terendah sejak 30 November lalu.
Penurunan itu ditambah pula oleh pengurangan pegangan dalam dana tukaran yang disokong oleh emas.
Logam lain pula menyaksikan harga perak stabil, manakala platinum dan palladium kedua-duanya meningkat lebih daripada satu peratus.
Bloomberg Dollar Spot Index mendatar selepas meningkat 0.3 peratus pada Rabu.
Sumber : BERITA HARIAN