Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Fibroid – Ketahui Apa Punca, Tanda dan Cara Merawat

Fibroid, atau nama lainnya ‘Leiomyoma’ atau ‘Myoma’ adalah sejenis ketumbuhan biasa yang terbentuk daripada dinding atau otot rahim (uterus). Fibroid boleh berlaku dalam bentuk ketumbuhan tunggal atau ketumbuhan berganda dan ia perkara biasa yang dialami oleh kebanyakan wanita dalam lingkungan umur subur (reproductive). Kira-kira 20 % wanita usia subur mempunyai fibroid dan jarang sekali dialami oleh wanita muda sebelum haid. Ketumbuhan ini biasanya mengecut selepas menopaus.

Isi Kandungan

Jenis-Jenis Fibroid

  1. Fibroid submukus – Membesar daripada bahagian bawah salutan rahim kebahagian dalam rahim
  2. Fibroid Intramural – Membesar di antara otot rahim pada bahagian dinding.
  3. Fibroid Subserus – Membesar di luar dinding rahim
  4. Fibroid Pedunkal – Membesar secara bertangkai daripada permukaan bahagian luar rahim atau permukaan bahagian dalam rahim dan kadang kala menjalar keluar dari serviks (pangkal rahim)
apa itu fibroid
Fibroid adalah sejenis ketumbuhan daging yang berasal dari otot rahim. (Gambar Facebook)

Perbezaan Antara Fibroid Dan Cyst

Cyst sebenarnya adalah poket/bola/kelompong nipis yang mengandungi air/bendalir dan apabila ia berada di dalam ovary, ia dikenali sebagai ovarian cyst. Ia juga merupakan sejenis ketumbuhan dan BUKANNYA KANSER kerana cyst tidak merebak secara merbahaya. Ketumbuhan ini membesar secara perlahan-lahan tanpa merebak ke tempat lain seperti paru-paru dan hati.
Manakala Fibroid adalah sejenis ketumbuhan daging yang berasal dari otot rahim (myometrium) dan ia merupakan tumbuhan yang SERING MELANDA WANITA dan ia BUKAN KANSER. Fibroid biasanya berlaku di dalam UTERUS (Rahim/tempat peranakan).

Gejala/Tanda

Kebiasaannya,kebanyakan wanita tidak mempunyai simptom yang nyata. Namun, bergantung kepada saiz dan lokasi fibroid di dalam rahim, serta jarak fibroid daripada servik; ia mungkin akan menyebabkan gejala seperti berikut:

  1. Rasa senak di bahagian bawah abdomen atau tekanan pada pelvis
  2. Sakit atau pedih di bahagian bawah pinggang
  3. Sengugut (dysmenorrhoea)
  4. Masalah pendarahan yang abnormal
    • Pendarahan antara kitaran haid (intermenstrual bleed)
    • Tempoh haid yang panjang (prolonged menses)
    • Darah haid yang banyak (menorrhagia)
  5. Masalah atau sakit ketika hubungan kelamin (sekiranya fibroid terlalu besar)
  6. Kencing tidak lawas atau kerap kencing (tekanan kepada pundi kencing).
  7. Sembelit (tekanan kepada rektum)

Komplikasi

Lebih kurang 3% daripada penghidap fibroid mempunyai masalah kesukaran untuk hamil. Ini kerana kehadiran fibroid akan mengubah dinding rahim dan menyebabkan kesukaran untuk perlekatan embrio pada dinding rahim. Sekiranya fibroid itu terlalu besar, ia juga akan menyebabkan salur fallopian tersumbat, dan menyebabkan seseorang itu sukar untuk hamil.

Fibroid sewaktu hamil boleh menyebabkan sakit dan tekanan pada pelvik dan menjadi punca kelahiran tidak cukup bulan. Komplikasi lain termasuk anaemia disebabkan pendarahan haid yang banyak.

Cara Rawatan

Kebanyakan fibroid tidak perlu dirawat melainkan terdapat tanda-tanda yang menyebabkan masalah kepada pesakit. Jika fibroid anda kecil dan tidak menunjukkan sebarang gejala, ia hanya memerlukan pemantauan yang kerap. Ia boleh dilakukan secara imbasan scan.

Biasanya doktor akan membuat saranan berpandukan kepada:

  • sakit yang serius dan masalah pendarahan yang banyak ketika haid.
  • fibroid tumbuh dengan cepat dan saiznya terlalu besar.
  • faktor umur.
  • keinginan untuk beranak pinak.

Antara pilihan rawatan ialah:

  1. Histerektomi – pembedahan membuang rahim. Histerektomi adalah pilihan terbaik sekiranya telah membuat keputusan untuk tidak melahirkan anak lagi. Ia juga adalah pilihan terbaik untuk mengelak fibroid secara kekal. Kesannya, anda tidak boleh hamil dan putus haid (menopaus)
  2. Miomektomi – pembedahan untuk mengeluarkan fibroid tanpa membuang rahim. Dengan kaedah ini, ada kemungkinan untuk fibroid kembali menyerang (dalam masa 10 tahun), namun anda masih boleh hamil.
  3. Abliasi Endometrial (Endometrial ablation) boleh digunakan untuk fibroid yang membesar di dalam lapisan rahim. Tisu endometrium dibuang dengan menggunakan tenaga laser, gegelung dawai panas (heated wire loop) atau pemanasan mikrogelombang bendalir panas dalam sebiji belon.
  4. Uterine arteri embolisasi- ia adalah satu prosedur untuk mengecutkan rahim tanpa pembedahan dengan cara mengurangkan pengaliran darah kepadanya.
  5. Ubat-ubatan – Ia merawat simptom. Ubat ini biasanya mengurangkan tahap estrogen untuk sementara waktu dan pada masa yang sama menyekat pertumbuhan fibroid, terutama sebelum pembedahan. Bagaimanapun, kerana ubat ini sering mendatangkan gejala putus haid seperti panas mencurah (hot flushes), kekeringan faraj (dryness) dan ketumpatan tulang yang berkurangan; rawatan biasanya diberi hanya tiga hingga enam bulan. Fibroid akan kembali tumbuh selepas  terapi hormon dihentikan.

Pencegahan

Tiada siapa pasti punca sebenar fibroid, tetapi pakar berpendapat ia mempunyai banyak kaitan dengan faktor genetik, hormon, dan persekitaran. Malangnya, tiada cara yang diketahui untuk mencegah fibroid daripada bertambah atau berulang.

Fibroid
Bayam antara makanan yang mempunyai zat besi yang tinggi dan ia baik untuk mencegah Anemia.

Rehabilitasi

Pelbagai cara boleh diamalkan untuk mengurangkan ketidak selesaan yang disebabkan oleh fibroid:

  1. Mengambil ubat kesakitan untuk melegakan kesakitan atau sengal badan
  2. Berehat di katil apabila gejala-gejala semakin teruk
  3. Makan makanan yang tinggi zat besi (seperti daging merah yang tidak berlemak dan bayam) dan mengambil ubat tambahan zat besi (supplement) bagi mengelakkan anemia disebabkan oleh pendarahan haid berat
  4. Tuam perut dengan sebotol air suam dan cuba mandi dengan air panas untuk membantu meringankan kesakitan
  5. Melakukan latihan senaman seperti bangkit tubi
  6. Minum air suam yang banyak dan kurangkan air bergas atau ais sejuk
  7. Sentiasa peka dengan kebersihan, menukar tuala wanita sekerap yang mungkin sekiranya basah atau penuh

Sumber Rujukan

  1. http://www.obgyn.net/ah/images/types_of_fibroids.jpg
  2. http://www.hopeforfibroids.org/missionstatement.html
  3. http://www.fibroidnetworkonline.com/
  4. http://groups.yahoo.com/group/uterinefibroids
  5. http://www.myhealth.gov.my/uterine-fibroid/

Artikel Berkaitan: Bahaya Cyst Pada Wanita

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More