Gerhana Matahari Separa 21 Jun 2020
5 hari saja lagi kita akan dapat melihat satu lagi fenomena Gerhana Matahari. Maksudnya pada tarikh 21 Jun 2020 ini kita akan dapat menyaksikan lagi fenomena unik ini.
Fenomena yang berlaku pada cakerawala kita memang sentiasa menimbulkan rasa keterujaan dikalangan kita manusia.
Menurut falakonline, fenomena ini berlaku selang 6 bulan selepas kali terakhir kita menyaksikan gerhana matahari pada 26 Disember 2019.
Dan yang menariknya lagi, ianya merupakan Gerhana Matahari yang terakhir kita akan dapat saksikan dalam masa terdekat ini. Jika ingin menyaksikan fenomena gerhana matahari selepas ini kenalah menunggu 3 tahun lagi, iaitu 20 April 2023.
Haaa…jadi jangan terlepas saksikan fenomena gerhana matahari ini pada 21 Jun 2020.
Isi Kandungan
Apakah Gerhana Matahari Separa?
Gerhana kali ini dikenali sebagai Gerhana Matahari Separa. Ia bermaksud hanya sebahagian daripada bentuk piring atau jasad Matahari akan terlindung oleh Bulan.
Di negara-negara seperti Afrika tengah, semenanjung Tanah Arab, Pakistan, India, Nepal, China dan Taiwan, penduduk di sana akan dapat menyaksikan Gerhana Matahari Cincin.
Bilakah Gerhana Matahari Separa Akan Berlaku?
Di Malaysia, bermula sekitar jam 2:30 petang dan tamat sekitar jam 5 petang bagi anda di Semenanjung.
Bagi di Sabah pula, ia bermula sekitar jam 3 petang dan tamat sekitar 5:30 petang.
Waktu kemuncak gerhana akan berlaku antara jam 3:50 hingga 4:30 pm bergantung kepada lokasi.
Untuk dapatkan waktu yang paling tepat untuk lokasi anda, sila klik pada peta janaan Xavier M. Jubier ini.
Lokasi Terbaik Untuk Cerapan Gerhana Matahari ini?
Sudah tentulah di mana-mana kawasan yang kita semua boleh nampak matahari. Heheheh.
Walaumacamanapun seeloknya carilah kawasan yang lapang macam padang ker. Untuk cerapan yang jelas elakkan dari bangunan, bumbung dan pokok.
Waktu keseluruhan gerhana ini nanti akan berlangsung lebih kurang 2 jam 30 minit.
Jika anda mahu lihat peratusan gerhana yang paling banyak, Kudat di Sabah adalah antara lokasi yang paling baik. Di sana, hampir 37% Matahari akan terlindung!
Cara Paling Selamat Melihat Gerhana Matahari ini?
Umum kita ketahui bahawa, Matahari adalah amat terang dan amat berbahaya untuk dilihat secara terus dengan mata. Silap haribulan anda boleh mengalami kecacatan KEKAL di mata, malah boleh BUTA!
Oleh itu, kena berhati-hatilah ketika mencerap nanti.
Kaedah Cerapan Yang DiGalakkan
1. Cermin mata matahari
Cermin Mata Matahari ialah sejenis penapis khas yang membolehkan kita melihat ke arah Matahari dengan selamat. Penapisnya berwarna hitam (black polymer) dan silver (baader). Ia selalunya sudah siap dipasang pada rangka berbentuk cermin mata yang diperbuat daripada kertas.
Jika anda sudah memiliki satu unit ketika gerhana matahari cincin yang lepas, ia masih boleh digunakan.. dengan syarat ia tidak terkoyak atau berlubang!
2. Kaedah kamera lubang pin.
Kaedah ini paling selamat kerana ia hanya membenarkan cahaya Matahari yang sedikit masuk ke dalam lubang pin yang kecil. Imej yang terhasil itu tidak berbahaya dan selamat untuk dilihat.
3. Kamera (yang dipasang penapis!)
Jika anda mempunyai kamera DSLR, ia boleh dijadikan sebagai satu cara melihat gerhana ini, dengan syarat pastikan anda letakkan penapis Matahari tadi (black polymer atau baader) di bahagian hadapan lens!
Jika tidak.. cip kamera anda akan terbakar!
Sila rujuk beberapa siri video berguna mengenai cara mencerap gerhana matahari dengan selamat di dalam artikel Cara paling selamat mencerap Gerhana Matahari
JANGAN BUAT Untuk Menyaksikan atau mencerap gerhana Matahari!
Awas.
Berikut adalah cara yang SALAH dan amat berbahaya untuk mencerap gerhana nanti. Tolong jangan buat!
- Filem X-Ray (hitam putih)
- Filem warna
- Cermin Mata Hitam seperti rayband
- Kaca yang digelapkan dengan asap
- Air dalam baldi
Tolong ye.. walaupun ‘kita rasa’ ia selamat, tetapi hakikatnya, cahaya UV Matahari yang berbahaya tu sedang ‘membakar’ retina mata kita secara senyap-senyap!
Perubahan Persekitaran Ketika Gerhana
Disebabkan gerhana kali ini, tak sampai separuh piring Matahari yang terlindung, maka tidak banyak perubahan yang dapat dilihat berbanding gerhana cincin yang lepas.
Langit tidak akan menjadi ‘mendung’. Suhu kekal panas seperti biasa.
Namun perkara yang harus kita buat ialah melihat kesan imej Matahari yang terhasil dicelah-celah daun pokok atau lubang-lubang pada kertas (kaedah lubang pin). Kita akan nampak bentuk Matahari itu berubah menjadi ‘sompek’ atau tergigit pada satu sisinya.
Strim Gerhana di Internet
Ala..sekarangkan semakin canggih. Semua pun kita boleh lihat melalui internet secara live. Pasti ada dikalangan ‘pakar’ yang akan membuat liputan semasa fenomena Gerhana Matahari seperti facebook.com/shahgazer serta facebook.com/falakonline
Selamat Mencerap Semua!
Sememangnya Keindahan kejadian di langit sentiasa menimbulkan keterujaan manusia. Berikut antara fenomena yang boleh disaksikan sepanjang tahun 2020.
Hujan Meteor Quadrantid | 4 Januari
Hujan meteor Quadrantid dapat disaksikan antara jam 11 malam hingga awal pagi waktu Malaysia. Hujan meteor atau hujan tahi bintang aktif antara Disember hingga Januari.
Orang ramai berpeluang menyaksikan 120 meteor keluar dari pusatnya dari kumpulan bintang Quadrans Muralis atau Bootes dalam masa satu jam. Kejadian dinamai sedemikian berikutan Qarantids berpusat di kumpulan bintang Quadrans Muralis.
Marikh, Musytari, Zuhal ‘berhimpun’ | 21 Mac
Planet Marikh, Musytarid dan Zuhal seakan-akan berkumpul di langit bermula awal Mac hingga minggu ketiga April. Jika tepat masa dan keadaan langit sesuai, semua planet itu dapat ‘dimuatkan’ dalam depaan tangan.
Ketiga-tiga planet kelihatan berlumba-lumba dan saling memotong antara satu sama lain. Lazimnya, Marikh paling laju manakala Zuhal paling lembab. Ketika fenomena berlangsung, Marikh dan Musytari hanya terpisah kurang satu darjah pada 21 Mac hingga ia kelihatan seperti dua bintang berkembar.
Supermoon | 3 pagi 7 April
Kedudukan bulan berada pada titik paling hampir dengan bumi dengan anggaran 221,772 batu (356,907 kilometer). Ketika itu, bulan penuh dan lebih terang berbanding biasa. Ia turut memberi kesan kepada pasang surut air laut.
Walaupun kejadian bulan penuh terbesar berlaku pada tahun ini, ia sukar dibezakan dengan bulan penuh biasa jika dilihat tanpa menggunakan peralatan lengkap.
Hujan meteor | 22 April, 13 Ogos, 21 Oktober, 14 Disember
Selain hujan meteor Quadrantid, terdapat lima variasi lain.
Pada 22 April, meteor Lyrids yang menghasilkan purata 18 meteor sejam memuncak pada tengah malam hingga subuh. Tahap penglihatan dijangka lebih baik berikutan tiada cahaya bulan.
Pada 13 Ogos pula, meteor Perseids yang menjadi juraian paling aktif akan memuncak antara tengah malam hingga subuh. Purata meteor Perseids dianggar sekitar 110 meteor setiap jam. Namun, tahap penglihatan mungkin terhad kepada sebilangan meteor.
Meteor Orionids pula ketara pada 21 Oktober dengan tahap penglihatan tinggi kerana tiada cahaya bulan. Begitu juga hujan meteor Leonids. Kejadian itu dijangka berlaku pada 18 November dengan purata 10 hingga 20 meteor setiap jam.
Meteor Geminids pula terjadi pada 14 Disember. Sama seperti Leonids dan Orionids, Geminids mudah dilihat berikutan bilangan meteornya mencecah hingga 150 meteor setiap jam.
Gerhana matahari Anulus | 21 Jun
Gerhana matahari Anulus bakal terjadi. Namun kali ini, ia berlaku ketika bulan masih baru yang tidak menampakkan bentuk cincin sepenuhnya seperti enam bulan lalu.
Gerhana itu dapat dilihat di Afrika, Arab, Pakistan, Utara India, Selatan China dan Taiwan. Di Malaysia, gerhana tersebut hanya dilihat menutupi sebahagian matahari sahaja. Ia dijangka berlaku jam 2.50 petang sebelum waktu kemuncak 3.56 petang dan berakhir 4.54 petang.
Marikh bertentangan matahari | 10.30 malam 6 Oktober
Sama seperti pada 2018, planet itu berada pada kedudukan bertentangan dengan matahari pada 14 Oktober di Malaysia. Ini bermakna apabila matahari terbenam di Barat, Marikh terbit di Timur dan planet itu kelihatan sepanjang malam hingga subuh keesokannya.
Ketika itu, Marikh kelihatan lebih terang daripada biasa. Ia kesempatan terbaik untuk mencerap serta mengamati rupa bentuk planet menerusi teleskop.
Marikh juga kelihatan lebih tinggi 30 darjah di langit berbanding kejadian sama tahun 2018. Selain itu, pada 6 Oktober jam 10.30 malam, jaraknya dari bumi adalah 38.57 juta batu (62.06 juta km) dan lebih dekat lagi pada September 2035.
Kejadian sama berlaku terhadap planet Musytari pada 14 Julai dan Zuhal (21 Julai).
Musytari dan Zuhal berdekatan | 21 Disember
Musytari dan Zuhal kelihatan berdekatan kira-kira 20 tahun sekali. Apabila kedua-dua planet berselisih, kedudukannya dipisahkan satu atau dua darjah sahaja.
Kedudukan Musytari dan Zuhal boleh disaksikan menggunakan teleskop berkuasa tinggi. Kedua-dua planet merekodkan jarak paling dekat antara satu sama lain sejak 1623, hanya dipisahkan seperlima daripada
diameter bulan penuh.
sumber : falakonline