Apa Itu Hari Tasyrik? Mengapakah 3 Hari Tersebut Dilarang Berpuasa?
Berikut dikongsikan mengenai Hari Tasyrik untuk pengetahuan semua umat Islam yang masih tidak faham dan mengetahui tentang hari-hari tersebut.
Isi Kandungan
Apa Itu Hari Tasyrik?
Hari Tasyrik dalam istilah Islam adalah merujuk kepada Hari Raya Aidiladha (Hari ke-10), serta Hari ke-11, 12 dan 13 pada bulan Zulhijjah mengikut kalender Islam Hijrah.
Pada hari-hari tersebut, umat Islam yang sedang melakukan Ibadah Haji akan menyempurnakan amalan-amalan berkenaan dengan melakukan Ibadah melontar di ketiga-tiga Jamrah; iaitu
- Jamratul Ula,
- Jamratul Wusta, dan
- Jamratul Aqabah.
Ibadah melontar jamrah ini dilaksanakan bersempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. yang melontarkan anak batu kepada syaitan apabila ia menjelma bagi mengganggu konsentrasi kedua-dua Nabi besar itu untuk melakukan ibadah korban sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Larangan Berpuasa Pada Hari-Hari Tasyrik
Pada hari-hari Tasyrik, umat Islam DIHARAMKAN untuk berpuasa kerana hari tersebut juga membawa maksud “Hari Makan Minum”.
Rasulullah SAW bersabda:
“Hari Tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.”
Hadis Riwayat Muslim (1141)
Amalan Sunnah Pada Hari-Hari Tasyrik
Selepas menyambut Hari Raya Aidiladha, umat Islam dilarang untuk berpuasa pada hari-hari Tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah, tetapi umat Islam amat digalakkan untuk melakukan amalan-amalan Sunnah pada hari tersebut.
Antara amalan-amalan Sunnah yang umat Islam boleh amalkan pada hari-hari tersebut adalah seperti berikut:
Perbanyak Zikir | Perbanyak berzikir kepada Allah SWT dengan membaca istighfar, tasbih, tahmid, tahlil dan sebagainya. |
Perbanyak Doa | Perbanyak berdoa kepada Allah SWT memohon kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. |
Menyembelih Haiwan Qurban | Selain semasa Hari Raya Aidiladha, waktu untuk berkorban adalah pada hari-hari Tasyrik. |
Makan Dan Minum | Pada hari-hari Tasyrik, umat Islam dilarang berpuasa. |
Bertakbir Selepas Solat Fardu | Bermula selepas selesai solat Subuh 9 Zulhijjah sehinggalah selesai solat Asar 13 Zulhijjah, umat Islam sangat digalakkan untuk bertakbir kepada Allah SWT. Takbir tersebut disebut sebagai takbir Muqayyad kerana ia dilakukan setiap kali selesai solat fardu. |
Tarikh-Tarikh Penting Bulan Zulhijjah
Tarikh-tarikh penting pada bulan Zulhijjah adalah seperti berikut:
- Perbanyakkan melakukan amal soleh dan Puasa Sunat pada 1 hingga 8 Zulhijjah.
- Berpuasa Sunat Hari Arafah pada 9 Zulhijjah.
- Menyambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah.
- Dilarang berpuasa dan perbanyakkan amalan-amalan Sunnah serta bertakbir setiap kali selepas solat fardu sepanjang 11 hingga 13 Zulhijjah.
Allah SWT berfirman,
فَإِذَا قَضَيْتُمْ مَنَاسِكَكُمْ فَاذْكُرُوا اللَّهَ كَذِكْرِكُمْ آَبَاءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا فَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آَتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الْآَخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ (200) وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (201)
“Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah Hajimu, maka berdzikirlah dengan menyebut Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu, atau (bahkan) berdzikirlah lebih banyak dari itu. Maka di antara manusia ada orang yang bendoa: Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia, dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka”
QS. Al Baqarah: 200-201
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua umat Islam diluar sana dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha!