i Saraan KWSP 2024: Ayuh Rebut Peluang Dapat RM500 Setahun!
Berikut kami kongsikan dengan lebih lanjut mengenai i Saraan KWSP bagi tahun 2024 untuk makluman semua rakyat Malaysia di luar sana.
Isi Kandungan
Apa Itu i Saraan KWSP?
Kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memperkenalkan Caruman Sukarela dengan Insentif Persaraan yang dikenali sebagai i Saraan KWSP bagi membolehkan ahli yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap termasuk suri rumah untuk membuat caruman sukarela untuk tujuan persaraan.
Lebih menarik lagi, ahli yang mencarum juga akan menerima caruman tambahan daripada pihak kerajaan.
Mungkin ramai lebih mengetahui tentang i-Suri, namun i-Suri terhad dengan syarat-syarat tertentu seperti suri rumah atau ibu tunggal yang berdaftar dengan eKasih sahaja.
Manakala i-Saraan pula terbuka kepada lelaki mahupun perempuan yang bekerja sendiri dengan pendapatan tidak tetap, ataupun suri rumah yang tidak layak untuk memohon i-Suri.
Tujuan utama i Saraan KWSP ini diperkenalkan adalah untuk menggalakkan golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela mengikut kemampuan.
Selain itu, antara tujuan lain i Saraan KWSP ini diperkenalkan adalah untuk
- Menyediakan saluran untuk golongan yang bekerja sendiri dan mereka yang tiada pendapatan tetap menabung bagi tujuan persaraan.
- Meningkatkan jumlah orang yang bekerja sendiri menabung dengan KWSP.
- Menzahirkan keprihatinan Kerajaan kepada orang yang bekerja sendiri melalui pemberian insentif untuk menabung bagi persaraan mereka.
- Mengurangkan jumlah warga tua yang bergantung kepada peruntukan program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selain manfaat sumbangan dari Kerajaan, terdapat juga manfaat-manfaat lain yang ahli akan perolehi dari i Saraan KWSP ini, antaranya adalah seperti berikut:
Insentif Kerajaan | – Menerima insentif khas sebanyak 15% daripada jumlah caruman sehingga maksimum RM500 dalam tahun semasa. – Had insentif seumur hidup sebanyak RM5,000 atau mencapai umur 60 tahun yang mana lebih awal. – Tertakluk kepada terma dan syarat Kerajaan. |
Dividen Tahunan | Menikmati dividen tahunan di atas simpanan persaraan anda. |
Bantuan Kematian | Tertakluk kepada terma dan syarat KWSP. |
Pelepasan Cukai | Tertakluk kepada terma dan syarat LHDN. |
Siapa Yang Boleh Memohon i Saraan KWSP?
Tiada perubahan kepada syarat-syarat kelayakan i-Saraan iaitu
- Mendaftar sebagai ahli KWSP.
- Warganegara Malaysia.
- Berumur 60 tahun ke bawah.
- Individu yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, anggota perkhidmatan awam dalam skim perkhidmatan berpencen serta pekerja sektor ekonomi gig.
Apakah Contoh Pekerjaan Orang Yang Bekerja Sendiri?
Contoh-contoh pekerjaan orang yang bekerja sendiri adalah seperti berikut:
- Petani / nelayan / pemandu teksi.
- Peniaga kecil / penjaja / peniaga pasar malam / peniaga uptown.
- Pengasuh bayi.
- Ejen menerima komisen (cth: ejen insurans, ejen hartanah).
- Freelancer (cth: menerima bayaran selepas memberi perkhidmatan sebagai deejay, penyanyi, pelakon, jurulatih kesihatan, perunding).
- Pemilik perniagaan (pemilik tunggal / rakan kongsi) yang membeli dan menjual barangan / perkhidmatan.
- Pemilik perniagaan dalam talian (online business).
- Pemilik praktis sendiri (cth: akauntan, doktor, peguam).
- Suri rumah.
- Pekerja berpencen.
Cara Mendaftar i Saraan KWSP
Pendaftaran i Saraan KWSP boleh dibuat pada laman web KWSP (i-Akaun) atau melalui aplikasi i-Akaun KWSP.
Seterusnya, dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran adalah seperti berikut:
- MyKad.
- Borang i-Saraan – KWSP 16G (M) (Pendaftaran kali pertama sahaja).
- Borang i-Saraan – KWSP 6A (2) (Semasa bayaran).
- Bayaran dalam tunai dan cek atau melalui perbankan internet (Penggunaan borang tidak diperlukan).
Selepas membuat pendaftaran, ahli sudah boleh membuat caruman secara online atau manual mengikut amaun yang diinginkan.
Untuk makluman, tiada caruman minimum yang ditetapkan bagi setiap bulan dan caruman boleh dibuat melalui saluran-saluran berikut:
- Perbankan Elektronik (Maybank / Public Bank / RHB Bank / Bank Muamalat / CIMB Bank)
- Kaunter Ejen Bank – Tunai Cek (BSN / Maybank / Public Bank / RHB Bank)
- Ejen Bank Berdaftar (Ejen Bank (EB) BSN)
- Kaunter KWSP (Tunai (maksimum RM500) / Cek di semua kaunter KWSP Ibu Negeri termasuk KWSP Muar)
Penambahbaikan i Saraan KWSP Bagi Tahun 2024
Belanjawan 2024 Malaysia MADANI telah menyaksikan penambahbaikan untuk penyaluran bantuan tunai apabila had caruman padanan Kerajaan di bawah program i-Saraan dan i-Suri KWSP masing-masing ditingkatkan pada tahun 2024.
Untuk tahun 2024, had caruman bagi program i-Saraan KWSP ditingkatkan kepada RM500 setahun, terhad kepada RM5,000 seumur hidup berbanding pada tahun 2023.
Pada tahun 2023, Kerajaan telah menyumbang insentif caruman sepadan sebanyak 15% daripada jumlah caruman dengan had maksimum RM300 setahun kepada pencarum yang layak / memenuhi kriteria.
Perubahan jumlah insentif caruman padanan untuk program i-Saraan ini merupakan antara penambahbaikan strategik produk dan polisi yang memberi kesan terhadap memperkukuh masa depan persaraan dan jaminan pendapatan ahli KWSP.
Bagi setengah tahun pertama 2023, insentif Kerajaan sebanyak RM28 juta telah dikreditkan kepada 211,361 ahli di bawah program i-Saraan.
Jumlah Caruman Semasa Untuk Menerima Insentif Kerajaan
Ahli layak menerima insentif khas Kerajaan berdasarkan caruman padanan sebanyak 15% daripada jumlah caruman terkumpul tahun semasa yang dibuat oleh ahli.
Bagi membolehkan ahli menerima insentif khas maksimum sebanyak RM500 setahun ini, ahli perlu mencarum sekurang-kurangnya RM3,334 setahun.
KWSP akan membuat tuntutan sumbangan Kerajaan secara berkala berdasarkan caruman bagi separuh tahun tempoh pertama (Januari hingga Jun) dan separuh tahun tempoh kedua (Julai hingga Disember) setiap tahun.
Wang sumbangan akan dikreditkan ke akaun ahli selepas KWSP menerimanya daripada Kerajaan. Sumbangan ini akan dikreditkan ke dalam Akaun 1 ahli (Akaun Persaraan).
Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan mengenai i Saraan KWSP ini, anda boleh disalurkan melalui Talian Khidmat Pelanggan KWSP di talian 03-896226000.
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.