Inisiatif Pembiayaan Perumahan : i-Biaya 2022
Inisiatif Pembiayaan Perumahan : i-Biaya 2022 adalah satu bentuk program pembiayaan perumahan bagi membantu golongan B40 dan M40 dalam memiliki rumah mereka sendiri. Terdapat tiga skim di bawah inisiatif pembiayaan perumahan ini yang telah dilancarkan 14 April 2022 yang lalu.
Isi Kandungan
Apakah Sebenarnya Inisiatif i-Biaya Ini?
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama dengan Kementerian Kewangan (MOF) baru-baru ini telah mengadakan majlis pelancaran inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia atau i-Biaya, pada 14 April 2022. Inisiatif terbaru bagi pembiayaan perumahan ini diperkenalkan di bawah program Home Ownership Programme (HOPE) oleh KPKT, dan adalah selari dengan matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah. Inisiatif pembiayaan perumahan ini dilihat sebagai satu langkah integrasi dalam menyatukan semua inisiatif perumahan di bawah satu bumbung, sekaligus menambah baik kepada skim sedia ada. (Sumber Harian Metro)
Soalan Penting Berkenaan i-Biaya
Siapakah Golongan Yang Menjadi Tumpuan?
Pengenalan Skim i-Biaya ini adalah bertepatan juga dengan usaha kerajaan dalam memudahkan pembiayaan perumahan bagi rakyat golongan berpendapatan rendah iaitu golongan B40 dan M40, justeru meningkatkan pemilikan rumah bagi golongan terbabit. Inisiatif ini juga adalah satu langkah menyokong sasaran untuk menyediakan sebanyak 500,000 buah rumah mampu milik buat rakyat Malaysia menjelang tahun 2025.
Apakah Peranan Inisiatif i-Biaya?
KPKT akan melaksanakan inisiatif i-Biaya berpandukan kepadda ketersediaan rumah mampu milik di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara, kemampuan pembeli serta penelitian kemudahan pembiayaan untuk golongan B40 dan M40. Bagi mencapai hala tuju i-Biaya, berikut adalah peranan yang bakal dimainkan oleh inisiatif ini:
- Menyediakan pembiayaan bagi mereka yang berhadapan dengan masalah akses kepada pembiayaan perumahan
- Menyediakan jaminan kepada pembeli rumah pertama
- Menyediakan khidmat nasihat/konsultansi/kaunseling dalam pengurusan kredit
Apakah Skim Pembiayaan Yang Ditawarkan Di Bawah Inisiatif i-Biaya?
Terdapat 3 jenis Skim Pembiayaan Perumahan yang ada di bawah Inisiatif i-Biaya iaitu:
- Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP)
- Skim Rumah Pertamaku (SRP)
- Skim PR1MA Rent-To-Own (PR1MA RTO)
Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP)
Skim Jaminan Kredit Perumahan adalah satu bentuk skim pembiayaan yang ditawarkan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Bhd. dengan peruntukan sebanyak RM3 bilion. Di bawah pelaksanaan inisiatif i-Biaya, Skim Jaminan Kredit Perumahan bakal diluaskan jaminan bagi membolehkan mereka yang tidak mempunyai penyata gaji atau dokumen sewajarnya untuk memohon pembiayaan perumahan (terutama bagi mereka yang terlibat dalam ekonomi gig).
Siapakah Yang Layak Memohon SJKP?
Antara syarat-syarat utama melayakkan anda untuk memohon SJKP adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas (Pinjaman dua generasi adalah dibenarkan)
- Pertama kali membeli rumah untuk didiami (terbuka kepada rumah kediaman baru / rumah sedia ada / rumah lelongan di bawah kategori kos rendah atau sederhana atau mampu milik)
- Jumlah bayaran balik kesemua pinjaman pemohon tidak melebihi 65% pendapatan kasar bulanan
- Tiada rekod tertunggak CCRIS melebihi 2 bulan bagi tempoh 12 bulan terkini
- Tiada rekod kredit lain yang negatif dalam tempoh 24 bulan
Bagaimana Hendak Memohon SJKP?
Untuk membuat permohonan bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan, anda perlu ikuti langkah-langkah berikut:
- Sebagai bakal peminjam, anda perlu kenal pasti kediaman yang anda kehendaki / ingin dibeli.
- Buat permohonan serta serahkan dokumen-dokumen berkaitan kepada institusi kewangan yang terlibat di bawah skim SJKP. (Senarai Institusi Kewangan SJKP)
- Institusi kewangan akan menilai dan menyemak permohonan anda sebelum menghantar permohonan tersebut kepada SJKP bagi Jaminan Pembiayaan
- SJKP kemudian akan menyemak permohonan sebelum menyediakan Jaminan Pembiayaan kepada Institusi Kewangan
- Institusi Kewangan akan kemukakan surat tawaran (LO) kepada anda (pemohon/pelanggan) setelah Jaminan Pembiayaan daripada SJKP berjaya diterima
- Setelah anda terima LO, Institusi Kewangan akan mengeluarkan pembiayaan bagi pembelian rumah anda, seterusnya anda sebagai peminjam akan memiliki rumah idaman yang dikehendaki.
Skim Rumah Pertamaku (SRP)
Skim Rumah Pertamaku (SRP) adalah bertujuan membantu rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan kasar isi rumah sehingga RM10,000 sebulan untuk memiliki rumah pertama mereka yang bernilai sehingga RM500,000. Skim SRP ini memberi peluang untuk pembeli rumah pertama bagi mendapatkan pembiayaan sehingga 110% daripada institusi kewangan yang terlibat serta membolehkan mereka untuk memiliki rumah tanpa wang pendahuluan. Cagamas SRP Berhad (CSRP) yang bertanggungjawab ke atas skim ini akan memberi jaminan sehingga 20% pertama atas dasar ‘kerugian pertama’.
Di bawah program i-Biaya, penerusan SRP dijangka memberi manfaat kepada 25,000 pemohon dari kalangan B40 dan M40 dengan anggaran pembiayaan sebanyak RM5.9 bilion.
Apakah Syarat Kelayakan Untuk SRP?
Sebelum anda memohon pembiayaan perumahan di bawah skim SRP, berikut adalah syarat-syarat kelayakan untuk skim ini:
- Warganegara Malaysia
- Pembeli rumah pertama
- Pekerja bergaji atau individu yang bekerja sendiri
- Pemohon individu atau bersama
- Pendapatan kasar isi rumah sehingga RM10,000 untuk pemohon tunggal/pemohon bersama
- Tiada rekod pembiayaan yang terjejas dalam tempoh 12 bulan lepas
- Pembiayaan sehingga 110%*
* Pembiayaan >100% hingga 110% hanya untuk pemohon yang berpendapatan isi rumah ≤RM5,000 + membeli harta tanah ≤RM300,000
Bagaimana Untuk Memohon SRP?
Untuk membuat permohonan pembiayaan rumah pertama anda di bawah skim SRP, anda boleh ikuti langkah berikut:
- Sebagai pemohon, anda perlu cari dahulu rumah idaman yang anda kehendaki
- Dapatkan dokumen berkaitan dengan rumah tersebut seperti draf perjanjian jual beli / resit bayaran tempatan dan lain-lain
- Semak kelayakan anda untuk pembiayaan rumah di bawah skim SRP seperti dinyatakan di atas, atau klik link berikut: Kriteria Kelayakan SRP
- Sediakan semua dokumen sokongan seperti slip gaji/penyata dan lain-lain
- Hantar permohonan pembiayaan perumahan SRP anda beserta dokumen-dokumen yang diperlukan ke cawangan bank / institusi kewangan yang mengambil bahagian : Senarai Bank Terlibat
Skim PR1MA Rent-To-Own (PR1MA RTO)
Skim RTO ini adalah di bawah kelolaan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), di mana lebih 1,000 buah kediaman merangkumi 22 projek PR1MA sedia ada di seluruh negara ditawarkan menerusi skim Sewa Untuk Milik (RTO) di bawah Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia, i-Biaya. (Sumber Berita Harian)
Skim RTO menawarkan sewaan dalam tempoh lima tahun pertama dengan kadar bayaran yang rendah. Pada tahun keenam, skim PR1MA RTO akan menawarkan kepada mereka untuk membeli rumah berkenaan pada harga yang telah ditetapkan melalui pembiayaan oleh Maybank. Ianya bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai wang yang cukup bagi membayar deposit untuk membeli kediaman.
Siapa Yang Layak Untuk Mohon Skim PR1MA RTO?
Untuk memohon, anda haruslah menepati syarat-syarat asas berikut:
- Warganegara Malaysia
- Berumur 21 tahun ke atas
- Bujang / berkahwin
- Pendapatan isi rumah individu atau gabungan (suami & isteri) antara RM2,500 sehingga RM15,000 sebulan (pendapatan kasar)
- Rumah PR1MA hanya boleh dibeli sebagai rumah pertama atau kedua sahaja
Apakah Kaedah Untuk Memohon PR1MA RTO?
Untuk memohon pembiayaan perumahan di bawah skim PR1MA RTO ini, anda perlu ikuti langkah-langkah berikut:
- Daftar akaun di laman web PR1MA : www.pr1ma.my
- Setelah berjaya membuat akaun, pilih unit sedia ada yang ditawarkan
- Offer-to-Purchase (OTP) akan dikeluarkan
- Pemohon mula membuat permohonan skim RTO bersama Maybank : www.maybank2own.com
- Wakil dari Maybank akan hubungi anda (pemohon) sebelum memproses kes permohonan
- Maybank kemudian akan mengeluarkan emel keputusan permohonan skim RTO kepada anda
- Perjanjian berkaitan urusan perumahan dan pembiayaan perumahan akan mula disediakan untuk ditandatangani
- Tandatangan Perjanjian Jual Beli (SPA) akan dilakukan antara anda sebagai pemohon dan PR1MA
- Tandatangan Perjanjian Pembiayaan akan dilakukan antara anda (pemohon) dan Maybank
- Setelah semuanya selesai, anda akan menerima kunci rumah daripada PR1MA
Maklumat Lanjut
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan Inisiatif i-Biaya, anda boleh layari laman web rasmi KPKT di pautan berikut: HOPE KPKT
Senarai Bantuan Untuk Keluarga Malaysia
Selain Inisiatif Pembiayaan Perumahan i-Biaya, terdapat pelbagai lagi bantuan yang ada untuk rakyat Malaysia seperti berikut:
- Permohonan Perumahan Kos Rendah dengan sewaan hanya RM124 sebulan telah dibuka. Untuk maklumat lanjut dan cara memohon, boleh klik pautan ini: Permohonan Rumah PPR : Hanya RM124 Sebulan
- Rumah mampu milik di negeri Johor kini boleh dimohon. Klik pautan berikut untuk maklumat terperinci: PERMOHONAN ERUMAH JOHOR – PROGRAM RUMAH MAMPU MILIK JOHOR
- Sekiranya rumah anda terkesan dengan banjir yang melanda negara bulan Disember yang lalu, boleh layari pautan berikut untuk memohon bantuan baik pulih rumah: RUMAH KASIH KELUARGA MALAYSIA – BANTUAN BAIK PULIH DAN BINA RUMAH TERKESAN BANJIR
- Bantuan peranti untuk mahasiswa golongan yang layak kini boleh dibuat. Baca lebih lanjut di sini: Permohonan Bantuan Pakej PerantiSiswa Untuk Dapatkan “Peranti Percuma” April 2022 Sudah di Buka!
Diharap perkongsian kami kali ini dapat memberi maklumat buat semua pembaca Tcer.my akan bantuan dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan, terutama bagi memudahkan rakyat Malaysia memiliki rumah idaman pertama. Selamat menyambut bulan Ramadhan buat semua.