Israel ‘koyak’ diserang ‘Bawang Rangers’ Malaysia
PETALING JAYA – Tindakan netizen Malaysia yang menularkan poster #ShameonIsrael sebelum ini termasuk meninggalkan komen-komen mengecam tindakan pengeboman di laman sosial menyebabkan rakyat di negara itu ‘koyak’.
Kosmo! difahamkan, penularan poster berkenaan yang bermula pada pukul 4.59 petang hingga 11.59 tengah malam ini telah menyebabkan ia mendapat perhatian di seluruh dunia.
Terbaharu, perjuangan rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel menerusi laman sosial dengan menggunakan #IsraelKoyak menyebabkan ia menjadi sohor dengan lebih 43 ribu kali ciapan.
Rata-rata ‘Tentera Bawang’ atau lebih dikenali ‘Bawang Rangers’ dari negara ini bersatu padu menyerang laman sosial Pasukan Keselamatan Israel (IDF) termasuk netizen dari Israel.
Menerusi sebuah kenyataan yang tular, rakyat di negara ini tidak akan berdiam dengan apa yang tentera Israel lakukan terhadap rakyat di Palestin yang telah melanggar hak asasi manusia.
Kenyataan tersebut turut mengajak seluruh rakyat Malaysia ‘menyerang’ mereka dengan memuat naik poster “KOYAK” berkenaan di laman Facebook, Instagram dan Twitter sebanyak yang mungkin.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan laman Facebook Pasukan Keselamatan Israel (IDF) kembali dihujani komen-komen dari ‘tentera bawang’ Malaysia yang rata-ratanya mengecam serta memperlekehkan tindakan pengeboman oleh pasukan berkenaan ke atas penduduk Palestin di Gaza.
Pelbagai komen yang mendoakan kegagalan serta kehancuran pasukan tersebut dan Israel ditinggalkan oleh pengguna Facebook dari Malaysia sebagai tanda sokongan kepada perjuangan serta pengorbanan penduduk Palestin mempertahankan tanah air mereka.
Sumber Kosmo Online
Artikel lain: Roket Hamas sasar Tel Aviv selepas serangan Israel merobohkan menara Gaza