Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Jangan Salahkan PKP : Anda Sendiri Jemput Penyakit

Jangan Salahkan PKP : DALAM tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kita dapat lihat pelbagai gelagat netizen di laman sosial seperti Facebook dan Instagram berkongsi gambar makanan mereka.  Pelbagai resepi berserta tips juga dikongsikan.

Semua memanfaatkan tempoh ini untuk memasak makanan kegemaran tetapi jangan disebabkan seronok mencuba dan makan, kita terlupa mengamalkan pola pemakanan yang seimbang dan  meninggalkan aktiviti kesihatan.

Jangan Salahkan PKP

Diet seimbang 

Diet seimbang dan kepelbagaian nutrisi dalam pengambilan setiap makanan adalah penting untuk kesihatan kita semua.  Meskipun ketika ini kita hanya duduk di rumah, pastikan makanan yang diambil pada kadar yang bersesuaian bagi mencegah risiko penyakit.

Pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak, garam dan gula serta makan tidak mengikut jadual boleh membawa kemudaratan kepada kesihatan.

Makanan dari sumber karbohidrat khususnya bijirin penuh dan sumber protein perlu diutamakan.  Selain itu, pengambilan pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran juga akan memberikan sumber vitamin, mineral dan serat kepada tubuh badan.

Bijirin, susu dan produk tenusu juga dapat membekalkan tenaga dan kalsium yang diperlukan.  Pengambilan air masak secukupnya juga amat penting bagi mengelakkan dehidrasi dan membantu melancarkan lagi proses penghadaman.

Kaedah memasak juga boleh dipelbagaikan dengan cara lebih sihat contohnya, kukus ataupun bakar.

Makanan Segera dan dalam Tin juga tidak digalakkan kerana ia mengandungi kandungan gula dan garam yang tinggi.   Lebih baik kita memasak makanan daripada bahan-bahan mentah yang segar.

Mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes dan hipertensi perlu lebih berhati-hati mengambil makanan dalam kategori ini.

Sememangnya dalam tempoh PKP ini,  stok makanan segera dan makanan dalam tin menjadi pilihan ramai kerana ia lebih tahan lama dan mudah untuk disimpan.

Jadi cubalah untuk mengawal nafsu makan kita sendiri.  Semuanya bergantung kepada  anda, jadi buatlah pilihan yang bijak.

Bersenam

Kita perlu menjadi lebih kreatif melakukan aktiviti riadah atau senaman sepanjang tempoh PKP ini walaupun berada dalam kawasan yang terhad.

Aktiviti seperti mengemas, berkebun dan membersih kawasan rumah boleh dianggap sebagai senaman ringan selain dapat mengeluarkan peluh ia juga membantu perjalanan darah lebih lancar.

Senamrobik atau membuat regangan asas dan senaman mudah juga boleh dilakukan bersama anak-anak dan keluarga.   Ini secara tidak langsung dapat merapatkan lagi hubungan dan mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah yang lebih sihat dan menyeronokkan.

Penggunaan aplikasi  mengukur jumlah pergerakan dalam sehari juga dapat membantu memantau tahap kecergasan badan kita.

Jangan Salahkan PKP : Anda Sendiri Jemput Penyakit 1
Jangan Salahkan PKP

Tidur yang cukup juga penting untuk kesihatan mental dan fizikal kita.

Kesimpulannya, pelbagai aktiviti untuk menghilangkan kebosanan duduk di rumah boleh dibuat tanpa bergantung hanya kepada makan atau menonton televisyen sahaja.

Manfaatkan peluang ini dengan mengamalkan amalan dan minda yang sihat, memenuhi masa dengan aktiviti yang berfaedah dan merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Selepas ini diharap anda tidak lagi leka dan Jangan Salahkan PKP.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More