Sumber Rujukan Globalisasi Anda

JAPERUN Agih 450 ayam dan 250 kg sayur

JAPERUN Agih Makanan Bagi Meringankan Beban Penduduk

japerun

MASJID TANAH: Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara hari ini mengagihkan sebanyak 450 ayam dan 250 kilogram (kg) sayur segar kepada penduduk.

Ayam dan sayur yang dibawa terus dari ladang itu adalah sebahagian daripada Kit Makanan 3.0 Fasa II bagi membantu meringankan beban penduduk akibat pandemik COVID-19.

Ia disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud melalui konsep pandu lalu di pekarangan JAPERUN itu.

Md Rawi berkata, Kit Makanan 3.0 Fasa I pada 24 Februari lalu menyediakan sayur kangkung, sawi dan bendi untuk dipilih oleh orang ramai tetapi kali ini hanya kangkung yang disediakan.

“Kali ini kami menambah bahan makanan dengan memberikan masing-masing seekor ayam untuk 450 penerima dari pelbagai kampung dan taman perumahan.

“Kami turut memberikan sumbangan beras, minyak masak dan bahan makanan lain bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini,” katanya ketika ditemui di lokasi itu.

Beliau berkata, penerima sumbangan tidak perlu berkumpul beramai-ramai untuk mengambilnya, sebaliknya hanya perlu pandu lalu.

Dengan mengelakkan terlalu ramai penerima berkumpul di kawasan sempit, usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19 berjaya dilakukan, sekali gus mengelakkan penularan wabak berkenaan, katanya.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, terlalu ramai orang berkumpul di tempat pengagihan sumbangan hingga menyebabkan aspek penjagaan jarak fizikal satu meter tidak dipatuhi.

“Bagi mengelakkannya, saya menyediakan kaedah pandu lalu dan Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar dan penerima ceria tidak perlu berbaris seperti biasa semata-mata untuk mengambil sumbangan,” katanya.

Penerima, Mohd Ali Abu Kassim, 46, berkata kaedah pandu lalu mampu mengurangkan penularan pandemik COVID-19, sekali gus membantu mengurangkan beban pasukan barisan hadapan menangani pandemik itu.

“Tahniah kepada ADUN dan pegawai JAPERUN kerana mengagihkan kit makanan secara pandu lalu dan mengurangkan bahaya penularan COVID-19,” katanya.

Sumber Berita Harian

Artikel lain: MOTAC Salur RM2.2Juta Pada 217 NGO

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More