Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam Termasuk Guru
Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai Kemudahan Cuti Bersalin yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.
Isi Kandungan
Kemudahan Cuti Bersalin
Kemudahan Cuti Bersalin adalah cuti yang diberikan kepada pegawai Perkhidmatan Awam wanita untuk bersedia dan pulih daripada bersalin.
Kemudahan Cuti Bersalin kepada pegawai Perkhidmatan Awam adalah seperti yang diperuntukkan dalam Perintah Am 25 Bab C (Cuti) dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2017: Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam.
Cuti Bersalin ialah Cuti Bergaji Penuh dengan kadar kelayakan sebanyak 360 hari sepanjang tempoh perkhidmatan.
Tempoh maksimum Cuti Bersalin bagi setiap kelahiran adalah 90 hari dan tempoh mandatori minimum Cuti Bersalin ialah 60 hari bagi setiap kelahiran.
Pegawai diberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh Cuti Bersalin antara 60 hari hingga 90 hari bagi setiap kelahiran.
Ketua Jabatan boleh mempertimbangkan permohonan Cuti Bersalin antara 60 hari hingga 90 hari kepada pegawai dengan mengambil kira kepentingan perkhidmatan.
Selain itu, pemberian Kemudahan Cuti Isteri Bersalin kepada pegawai Perkhidmatan Awam pula adalah seperti yang telah diperuntukkan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2002: Kemudahan Cuti Isteri Bersalin.
Pelaksanaan Kemudahan Cuti Isteri Bersalin
Kemudahan Cuti Isteri Bersalin hendaklah dilaksanakan seperti berikut:
- Kemudahan ini boleh diberi selama tujuh (7) hari sebagai cuti tanpa rekod, kepada pegawai Perkhidmatan Awam lelaki untuk membantu urusan ketika isterinya bersalin.
- Cuti ini hendaklah bermula pada tarikh isteri pegawai bersalin atau pada hari berikutnya jika isterinya bersalin selepas waktu pejabat.
- Tempoh cuti ini termasuk semua hari rehat dan hari kelepasan am. Maksudnya, masa selepas waktu pejabat juga terpakai bagi hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am.
- Kemudahan ini dihadkan kepada lima (5) kali sepanjang tempoh perkhidmatan.
- Kemudahan ini adalah tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan dan Ketua Jabatan boleh memanggil balik pegawai jika ketiadaan pegawai di tempat kerja boleh memudaratkan keselamatan negara atau kepentingan awam.
- Kemudahan ini hendaklah dicatatkan dalam rekod perkhidmatan pegawai.
Kemudahan ini juga terpakai kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Guru) yang diarah bertugas semasa cuti penggal / semester di sekolah atau institusi pendidikan.
Pegawai yang menggunakan kemudahan ini hendaklah mengemukakan salinan perakuan bersalin isterinya kepada Ketua Jabatan.
Kemudahan Cuti Bersalin Untuk Pegawai Awam Selain Guru
Pegawai Awam (selain guru) yang mempunyai Baki Cuti Bersalin Bergaji Penuh kurang daripada 60 hari, hendaklah mengambil Cuti Bersalin antara 60 hingga 90 hari dengan menggunakan semua Baki Cuti Bersalin Bergaji Penuh, Cuti Rehat Yang Berkelayakan dan Cuti Bersalin Tanpa Gaji sekiranya masih tidak mencukupi.
Kemudahan Cuti Bersalin Untuk Guru
Bagi profesion guru, sekiranya bersalin semasa penggal sekolah, pegawai hendaklah mengambil Cuti Bersalin antara 60 hingga 90 hari dengan menggunakan semua baki Cuti Bersalin Bergaji Penuh, Cuti Bersalin Separuh Gaji hingga 14 hari dan sekiranya masih tidak mencukupi Cuti Bersalin Tanpa Gaji boleh digunakan.
Manakala sekiranya guru tersebut bersalin semasa cuti penggal sekolah, pegawai hendaklah menggunakan semua baki Cuti Bersalin Bergaji Penuh dan bagi tempoh yang selebihnya dianggap dalam Cuti Bergaji Penuh.
Pegawai Awam (selain guru), yang telah menggunakan Kelayakan Maksimum 360 Hari Kemudahan Cuti Bersalin, pegawai hendaklah mengambil Cuti Bersalin antara 60 hingga 90 hari dengan menggunakan Cuti Rehat Berkelayakan mulai dari tarikh bersalin dan Cuti Bersalin Tanpa Gaji boleh digunakan jika masih tidak mencukupi.
Kelayakan & Peraturan Kemudahan Cuti Bersalin
Kelayakan dan peraturan Kemudahan Cuti Bersalin ditetapkan seperti berikut:
- Kadar kelayakan Cuti Bersalin Bergaji Penuh ialah sebanyak 360 hari sepanjang tempoh perkhidmatan seseorang pegawai.
- Tempoh maksimum Cuti Bersalin bagi setiap kelahiran adalah 90 hari. Walau bagaimanapun, pegawai diberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh Cuti Bersalin antara 60 hari hingga 90 hari-hari bagi setiap kelahiran.
- Cuti Bersalin bermula pada tarikh pegawai bersalin. Walau bagaimanapun, pegawai boleh memilih untuk menggunakan Cuti Bersalin lebih awal dari tarikh bersalin iaitu pada bila-bila masa dalam tempoh 14 hari dari tarikh dijangka bersalin.
Permohonan Cuti Bersalin
Permohonan cuti bersalin boleh dibuat oleh pegawai dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
Langkah 1: Muat Turun Borang Permohonan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam [Lampiran SR.5.4.1 (B)].
Langkah 2: Isi Semua Maklumat Yang Diperlukan.
Langkah 3: Kemukakan Dokumen Sokongan Daripada Hospital / Klinik Kerajaan Atau Swasta Yang Mengesahkan Tarikh Dijangka Bersalin.
Langkah 4: Hantar Borang & Dokumen Sokongan Kepada Ketua Jabatan Untuk Kelulusan Permohonan Cuti Bersalin.
Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut mengenai Kemudahan Cuti Bersalin ini, sila rujuk Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia daripada JPA yang lebih terperinci dari semasa ke semasa.
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!