Anak kerap menyusu, ketahui puncanya
Bayi baru lahir memang akan cenderung menyusu sepanjang malam dan dia ingin “melekat” sepanjang masa dengan ibunya. Bukan untuk menyusu sahaja, tapi dia juga ingin dibelai, dipeluk dan dimanjai oleh ibu dan ayahnya.
Secara lumrahnya, bayi baru lahir menyusu dalam anggaran lapan ke 12 kali sehari kerana susu ibu lebih cepat dihadam. Saiz molekul susu badan yang kecil dan halus memudahkan penyerapan susu pada usus dan perut bayi yang belum matang.
Oleh sebab inilah juga, bayi cepat lapar berbanding bayi yang diberikan susu formula.
Oleh kerana saiz perut bayi kecil, maka dia lebih kerap menyusu kerana susu ibu terhasil berdasarkan saiz perutnya. Atas sebab itu juga bayi memerlukan 25 minit untuk menghisap susu dan kolostrum yang bersamaan dengan 5-7 ml itu.
Kebaikan bayi kerap menyusu:
Perut Bayi Tidak Dapat Menampung Kuantiti Susu Yang Banyak
Disebabkan perut bayi yang begitu kecil, iaitu dengan kapasiti sekitar 20ml, mereka tidak mampu meminum susu yang banyak dalam satu-satu masa. Tambahan pula, susu ibu begitu cepat dihadamkan, sekitar 1 jam selepas penyusuan.
Maka, bayi perlu menyusu dengan kerap untuk memenuhi nutrisi keperluannya.
Ia Membantu Tubuh Memproduksikan Susu Dengan Konsisten
Penyusuan secara kerap pada hari-hari terawal ini membantu ibu merangsang penghasilan susu bersesuaian dengan keperluan bayi.
Jika payudara terlalu penuh dan bayi tidak disusukan sepanjang malam, ibu berisiko mengalami bengkak susu.
Ia Merangkumi 20% Daripada Jumlah Susu Yang Diminum Dalam 24 Jam
Penyusuan waktu malam menyumbang kepada hampir 20% daripada jumlah susu yang diminum oleh bayi dalam sehari. Banyak juga, bukan?
Disebabkan itulah penyusuan pada waktu malam amat penting dalam membekalkan nutrisi sekaligus memastikan tumbesaran bayi berada pada tahap optimum.
Ia Membantu Mencegah Kehamilan Dengan Lebih Berkesan
Seperti yang kita tahu, penyusuan badan adalah salah satu cara semulajadi tubuh badan kita bertindakbalas untuk mencegah kehamilan.
Dalam kebanyakan penelitian, wanita yang kurang menyusukan bayi pada waktu malam lebih mudah ‘ter’mengandung berbanding mereka yang kerap melakukannya.
Punca sebenar bayi kuat menyusu adalah kelaparan meningkat dan ini menyebabkan bayi jadi kuat menyusu atau makan. Jika bayi masih menyusu, mereka akan sentiasa mahu menyusu atau mengempeng.