Kereta Diborong 225 Penduduk Kampung, Jadi Jutawan Segera
Penduduk kampung jadi jutawan segera. Penduduk kampung Sumurgeneng bergelar jutawan segera selepas memperoleh wang pampasan tanah yang dibeli oleh syarikat minyak di Jawa Timur, Indonesia.
Dianggarkan 225 pemilik bersetuju tanah mereka dijual dengan setiap seorang menerima Rp8 bilion dan lokasi itu bakal dibangunkan sebuah kilang pemprosesan minyak, lapor Detik News pada Khamis.
176 KERETA BAHARU TELAH DIHANTAR KEPADA PENDUDUK KAMPUNG
Ketua Kampung Sumurgeneng, Gihanto, mengesahkan perkara itu.
“Benar, penduduk kampung menjadi ‘jutawan segera’. Ramai sibuk membeli kereta. Sebanyak 176 kereta baharu telah dihantar ke kampung ini dan selebihnya masih dalam proses dokumen,” katanya.
Menurutnya, pembelian kereta secara berkelompok menjadikan kampung itu tular di laman sosial.
“Apabila penghantaran sebanyak 176 kereta secara serentak di kampung ini, ia menjadi bualan hangat netizen dan tular di laman sosial.
“Kami tidak menyangka perkara ini mendapat perhatian ramai pihak,” katanya yang bersyukur kehidupan penduduk lebih baik terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.
Seorang penduduk dikenali sebagai Tain, 38 berkata, tanah itu dijual sebelum Covid-19 melanda negaranya.
“Ya, tanah dijual sebelum Covid-19 tetapi proses pembayaran agak lewat kerana negara dilanda wabak ini jadi semua urusan tergendala.
“Tetapi kini, semuanya sudah selesai dan wang pampasan sudah dibayar,” katanya.
Seorang lagi penerima, Siti Nurul Hidayatin bersyukur kerana kehidupannya jauh lebih baik terutama ketika menghadapi pandemik Covid-19.
“Kami juga bersyukur dengan apa yang telah diberikan oleh ALLAH. Kampung ini sudah menjadi kampung jutawan,” katanya.
Sumber : SINAR HARIAN