Ketidakpadanan Pekerjaan dan Kelayakan Kekal dalam Pasaran Buruh
KSM Jangka Ketidakpadanan Pekerjaan dan Kelayakan Tidak Seimbang
PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menjangkakan ketidakpadanan antara pekerjaan dan kelayakan akan kekal dalam pasaran buruh disebabkan jumlah permintaan pekerjaan yang tinggi oleh kategori pencari kerja bukan profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik (PMET).
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pemulihan pasaran kerja bercirikan bentuk ‘trapezoid’ turut mencerminkan trend pergerakan yang tidak seimbang di antara pencari kerja dan peluang pekerjaan.
Katanya, ia berdasarkan hasil laporan suku tahunan ‘Quarterly Labour Market Perspectives – Modest Labour Market Recovery’ yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA) sepanjang tahun lalu.
“Keadaan ini memerlukan perhatian serius kerana ia menunjukkan lebihan pencari kerja yang meningkat lebih pantas berbanding pewujudan peluang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Saravanan berkata, KSM mengunjurkan prestasi pasaran buruh yang lebih baik dalam tahun ini tetapi masih memerlukan intervensi khusus dengan jangkaan kadar pengangguran berada di antara 4.2 dan 4.3 peratus.
Beliau berkata, di sebalik unjuran tersebut, terdapat beberapa isu yang terus mengekang pasaran buruh negara antaranya kesulitan bagi bakal pekerja untuk mendapatkan pekerjaan, ketidakpadanan pekerjaan-kelayakan, peningkatan pekerjaan tidak formal dan pertumbuhan upah yang lebih perlahan.
“Bagaimanapun, KSM akan terus memantau keadaan pasaran buruh dari semasa ke semasa. Pada masa yang sama, intervensi yang bersesuaian untuk merangsang pemulihan dan memacu kecekapan pasaran buruh akan terus diberi perhatian oleh kerajaan” katanya.
Sumber Kosmo Online
Artikel lain: Biasiswa Gamuda