Khas Ramadhan | Tanda-tanda Penerimaan Amalan Puasa
Tanda-tanda Penerimaan Amalan Puasa
Soalan :
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah terdapat tanda-tanda penerimaan amalan puasa yang kita lakukan dan diterima oleh Allah SWT? Mohon penjelasan.
Jawapan :
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Kami mulakan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan atas dasar iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.”
Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Yang dimaksudkan dengan berpuasa atas dasar iman ialah berpuasa dengan beri’tiqad akan kefardhuan berpuasa. Manakala yang dimaksudkan dengan “احْتِسَابًا” ialah mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT. (Lihat Fath al-Bari, 4/115)
Al-Khattabi berkata: Yang dimaksudkan dengan “ihtisab” ialah berpuasa dengan mengharapkan balasan yang baik daripada Allah SWT. (Lihat Fath al-Bari, 4/115)
Menjawab persoalan di atas, Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyebut: Sesiapa yang melakukan ketaatan kepada Allah, dan selesai melaksanakannya, antara tanda diterimanya amalan tersebut adalah dia akan berterusan melakukan ketaatan yang lain selepas itu. Manakala antara tanda tertolaknya sesuatu amalan ialah apabila amalan itu diikuti dengan sesuatu maksiat. Apa sahaja kebaikan yang dilakukan selepas kejahatan, akan menghapuskan kejahatan tersebut, dan sudah pasti yang terbaik ialah melakukan kebaikan selepas melakukan kebaikan yang lain. (Lihat Lata’if al-Ma’arif, hlm. 244)
Ibnu Rajab turut berkata: “Membiasakan berpuasa setelah puasa Ramadhan merupakan salah satu tanda diterimanya amalan puasa di bulan Ramadan. Sesungguhnya Allah SWT jika menerima suatu amalan dari seorang hamba, maka Allah SWT akan memberinya taufik untuk melakukan amal soleh setelahnya.” (Lihat Lata’if al-Ma’arif, hlm. 244)
Nabi SAW sendiri pernah menyebut bahawa amalan yang paling baik adalah yang berterusan. Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا ، وَإِنْ قَلَّ
Maksudnya: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun ia sedikit.”
Riwayat Muslim (1780)
Imam Nawawi berkata: Hadis ini menggalakkan amalan yang berterusan dan bahawa sedikitnya amalan yang berterusan lebih baik daripada amalan yang banyak namun terputus kerana dengan berterusannya amalan yang sedikit tersebut, maka akan berterusanlah ketaatan, zikir, muraqabah, dan ikhlas terhadap Allah SWT. Ia juga membuahkan berlipat kali ganda berbanding amalan banyak namun terputus. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/71)
Oleh itu, dapat difahami bahawa salah satu tanda-tanda penerimaan amalan puasa diterima adalah kita berterusan dalam melakukan amalan-amalan ketaatan kepada-Nya walaupun selepas berakhirnya Ramadhan.
Selain itu, dia juga menjadi lebih baik daripada sebelumnya serta sentiasa merasakan amal soleh yang dilakukannya masih belum sempurna. Dia juga tidak bersifat ujub dengan amalan yang telah dilakukannya. Ibn al-Qayyim dalam kitabnya, Madarij al-Salikin menyebut: Tanda-tanda penerimaan amalan puasa seseorang ialah apabila dia merasa bahawa amalan yang dilakukannya masih hina dan kecil. Sehingga orang yang benar-benar mengenal Allah akan sentiasa beristighfar selepas selesai melakukan ibadah. Adalah Nabi SAW apabila selesai memberi salam dari solat, Baginda beristighfar sebanyak tiga kali.
Allah SWT juga telah memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk beristighfar setelah selesai melakukan ibadah haji. Allah SWT juga memuji mereka yang beristighfar setelah melakukan solat malam. Nabi SAW juga memerintahkan taubat dan istighfar selesai selesai berwudhu’. Maka, sesiapa yang mengetahui kewajibannya kepada Tuhannya dan menyedari kualiti amalnya serta aib-aib yang melekat pada jiwanya, nescaya dia akan selalu beristighfar selesai selesai melakukan amal ibadah dan merasa amalannya masih sangat penuh kekurangan. (Lihat Madarij al-Salikin, 2/84)
Semoga Allah memberikan kefahaman di dalam agama-Nya. Kita sentiasa berusaha agar Ramadhan pada kali ini dapat diisi dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Wallahu’alam.
Akhir kalam, semoga perkongsian kami berkenaan dengan Khas Ramadhan | Tanda-tanda Penerimaan Amalan Puasa dapat memberi manfaat dan kefahaman yang tepat buat anda semua.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Anda juga mungkin berminat dengan :
Khas Ramadhan | Adakah Mengorek Hidung Membatalkan Puasa
Khas Ramadhan | Hukum Puasa Bagi Wanita Yang Keluar Haid Terputus-putus Tidak Cukup Sehari Semalam
Khas Ramadhan | Hukum Makan Dengan Kuantiti Yang Banyak Ketika Berpuasa Dalam Keadaan Terlupa