Ibadah Korban: Maksud, Dalil, Niat, Hukum & Syarat Melakukan Korban
Berikut dikongsikan mengenai ibadah korban untuk pengetahuan semua umat Islam yang akan menunaikan ibadah korban tidak lama lagi.
Isi Kandungan
Maksud Ibadah Korban
Korban atau qurban dalam konteks ajaran Islam merujuk kepada perlakuan menyembelih binatang tertentu pada Hari Raya Aidiladha atau Hari Tasyrik (11, 12 & 13 Zulhijjah) dengan tujuan untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT.
Binatang yang dibolehkan qurban ialah
- Unta.
- Lembu.
- Kerbau.
- Kambing.
- Biri-Biri (Kibas).
Mengapa Islam Mensyariatkan Umatnya Melaksanakan Ibadah Korban?
Ibadah qurban merupakan satu ibadah yang amat mulia di sisi Allah SWT kerana di dalamnya terkandung banyak hikmah.
Sejarah ibadah qurban adalah bermula pada zaman Nabi Ibrahim A.S. ketika peristiwa penyembelihan anaknya Nabi Ismail A.S. yang telah digantikan dengan seekor kambing dengan kuasa Allah SWT.
Ibadah qurban ini telah disyariatkan pada tahun ke-2 Hijrah.
Mengikut istilah fiqh, qurban bermaksud menyembelih haiwan tertentu sama ada unta, lembu atau kambing dengan niat mendekatkan diri kepada Allah SWT pada waktu tertentu iaitu bermula setelah selesainya Solat Hari Raya AidulAdha (10 Zulhijjah) dan pada Hari-Hari Tasyrik (11,12 & 13 Zulhijjah) kerana beribadah kepada Allah SWT, iaitu sebagai menghidupkan syariat Nabi Ibrahim A.S. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Terdapat banyak dalil daripada Al-Quran, Hadis dan Ijma’ tentang pensyariatan ibadah qurban ini.
Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat berkaitan ibadah qurban antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud:
“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah (qurban) sebagai (tanda) bersyukur”.
Surah Al-Kautsar, Ayat 2
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud:
“Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; Pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; Oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur”.
Surah Al-Hajj, Ayat 36
Selain daripada itu, terdapat juga hadis-hadis Nabi Muhammad SAW yang menjadi dalil akan pensyariatan ibadah qurban.
Antaranya sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak ada satu amalan anak Adam pada hari Nahar (Hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih binatang qurban), kerana ia (binatang qurban) itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah qurban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang qurban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu perelokkan olehmu niat serta binatang yang diqurbankan.”
Riwayat Al-Hakim
Berdasarkan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis, para ulama telah bersepakat bahawa ibadah qurban merupakan satu ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah SWT ke atas hamba-hambaNya dan ianya merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S. berdasarkan maksud firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan Kami tebus anaknya itu (Ismail) dengan seekor binatang sembelihan (kibash) yang besar”.
Surah Al-Soffat, Ayat 107
Niat Ibadah Korban
Tiada bacaan khusus niat ibadah qurban melainkan bagi qurban nazar.
Contoh niat yang boleh dilafazkan oleh orang yang ingin melakukan ibadah qurban (peserta) adalah,
“Inilah ibadah qurban sunat ke atasku kerana Allah AWT.”
Jika niat untuk seisi keluarga,
“Sahaja aku melakukan ibadah qurban sunat keatas diri dan keluargaku (sebut nama-nama ahli keluarga) kerana Allah SWT.”
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, niat qurban terhasil dengan dua (2) cara, iaitu:
Pemilik / Peserta Korban Berniat Sendiri | Peserta qurban boleh berniat dalam beberapa keadaan: 1. Ketika mengasingkan haiwan dari haiwan miliknya di kandang atau ketika akad jual beli. Maka dia berniat “Haiwan yang aku asingkan ini ialah untuk qurban.” atau “Haiwan aku beli ini ialah untuk qurban.” 2. Ketika dia menyembelih haiwan korbannya (sembelih sendiri). 3. Ketika haiwan qurban sedang disembelih (disembelih oleh wakil). 4. Ketika bernazar dengan menentukan secara khusus haiwan miliknya yang akan dikorbankan. |
Niat Oleh Wakil (iaitu berlaku dalam dua keadaan) | 1. Peserta mewakilkan tukang sembelih berniat bagi pihaknya ketika sembelih. 2. Peserta mewakilkan seseorang untuk berniat bagi pihaknya ketika wakilnya itu menyerahkan haiwan kepada tukang sembelih. |
Hukum Ibadah Korban
Menurut Jumhur Ulama, hukum melaksanakan ibadah qurban adalah Sunat Muakkad, iaitu sunat yang amat dituntut dan makruh meninggalkan bagi yang berkemampuan.
Ibadah qurban adalah qurban sunat, kecuali qurban nazar ia wajib ditunaikan kerana telah bernazar.
Syarat Melakukan Ibadah Korban
Syarat-syarat melakukan ibadah korban adalah seperti berikut:
- Orang yang melakukan korban harus mampu menyediakan haiwan sembelihan dengan cara halal tanpa berhutang.
- Orang yang melakukan korban hendaklah merdeka (bukan hamba), baligh, dan berakal.
- Korban harus dari haiwan ternakan seperti unta, lembu, kambing, atau biri-biri (kibas).
- Binatang yang akan disembelih tidak memiliki cacat, tidak buta, tidak pincang, tidak sakit, dan telinga serta ekor harus utuh.
- Haiwan korban telah cukup umur, iaitu unta berumur 5 tahun atau lebih, lembu atau kerbau telah berumur 2 tahun, kambing yang telah berumur 2 tahun, dan biri-biri atau kibas berumur lebih dari 1 tahun.
- Penyembelihan korban mestilah pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan pada Hari-Hari Tasyrik (11, 12 & 13 Zulhijjah).
- Daging korban haruslah dibagi kepada tiga (3) bahagian, iaitu:
1/3 bahagian untuk dimakan oleh orang yang berkorban dan ahli keluarga. |
1/3 bahagian untuk disedekahkan kepada fakir miskin. |
1/3 bahagian untuk dihadiahkan kepada orang lain seperti kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran tetangga. |
- Daging korban sebaik-baiknya diagihkan dalam keadaan mentah.
Semoga sedikit perkongsian mengenai ibadah korban ini bermanfaat untuk semua umat Islam diluar sana dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha!