Cara Daftar Kursus Kahwin Online Melalui SPPIM
Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai cara untuk membuat pendaftaran kursus kahwin online yang terkini menggunakan SPPIM.
Isi Kandungan
Apa Itu Kursus Kahwin?
Kursus kahwin merupakan satu kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Negeri kepada pasangan-pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga.
Selain daripada Jabatan Agama Negeri, ada juga syarikat-syarikat swasta yang bertauliah menganjurkan kursus ini.
Kursus perkahwinan ini adalah WAJIB kepada mereka yang belum pernah berkahwin dan ia bertujuan untuk memberikan pendedahan dan ilmu pengetahuan tentang alam perkahwinan yang bakal mereka tempuhi nanti.
Kursus ini juga bertujuan untuk mengurangkan masalah-masalah yang sering berlaku dalam rumahtangga.
Dalam kursus ini, peserta akan didedahkan tentang:
- apakah tanggungjawab mereka masing-masing sebagai suami atau isteri,
- proses pendaftaran perkahwinan,
- cara pengurusan rumahtangga,
- cara menghadapi masalah dalam rumahtangga,
- kisah-kisah benar berkaitan alam perkahwinan untuk dijadikan tauladan, dan
- bermacam-macam lagi pengetahuan yang penting berkaitan dengan alam perkahwinan.
Kursus ini selalunya diadakan selama dua (2) hari berturut-turut tanpa bermalam sama ada pada hari-hari biasa ataupun pada hujung minggu.
Pada hari pertama, ia akan bermula pada waktu pagi dan berakhir pada sebelah petang. Manakala, pada hari kedua kebiasaannya hanya separuh hari.
Setelah selesai, setiap peserta akan diberikan sijil menandakan mereka telah menyertai kursus tersebut dan sijil inilah yang akan digunakan untuk memohon surat kebenaran berkahwin nanti.
Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai ataupun kehilangan sijil tersebut, mereka tidak akan dibenarkan berkahwin dan dikehendaki untuk memohon semula sijil berkenaan.
Jabatan Agama Islam di setiap negeri ada menganjurkan kursus ini. Justeru, peserta boleh menghadirinya di mana-mana tempat yang mereka mahu mengikut kemudahan masing-masing.
Permohonan Kursus PraPerkahwinan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mempermudahkan urusan pendaftaran kursus kahwin dengan mewujudkan sebuah laman web khusus bagi pendaftaran kursus kahwin online bagi semua negeri di Malaysia melalui Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM).
Pendaftaran Kursus PraPerkahwinan / kursus kahwin online ini adalah satu inisiatif JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada pasangan yang ingin membuat pendaftaran Kursus PraPerkahwinan.
Pemohon boleh membuat semakan jadual kursus berdasarkan tarikh, masa dan tempat serta maklumat kekosongan kursus untuk membuat pendaftaran.
Pendaftaran Kursus PraPerkahwinan / kursus kahwin online pada masa ini hanya meliputi permohonan di:
- Negeri Sembilan,
- Melaka,
- Perlis,
- Kedah,
- Perak,
- Wilayah Persekutuan,
- Johor,
- Selangor, dan
- Terengganu.
Namun, kemudahan pendaftaran kursus kahwin online ini akan terus diperluaskan lagi bagi merangkumi negeri-negeri lain di dalam masa yang terdekat.
Permohonan kursus kahwin online boleh dibuat dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
- Buka Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) pada bahagian PRAPERKAHWINAN.
- Anda perlu membuat pendaftaran baru untuk mendaftar kursus.
- Kemudian, pilih tarikh dan tempat lokasi kursus kahwin online SSPIM mengikut negeri anda.
- Masukkan maklumat yang tepat dan terkini berkaitan tentang anda termasuklah nombor kad pengenalan / mykad, nama penuh seperti di dalam IC anda, tarikh lahir, warganegara, negeri, nombor telefon dan e-mel yang terkini.
- Baca maklumat perakuan seperti yang tertera pada skrin dan tekan ‘Saya bersetuju’.
- Jika pendaftaran praperkahwinan / kursus kahwin online anda telah berjaya, Slip Pendaftaran Kursus akan dipaparkan dan anda boleh cetak slip tersebut.
Permohonan anda untuk mendaftar kursus kahwin online telah diluluskan. Anda perlu hadir ke kursus pada tarikh yang telah ditetapkan.
Bayaran Yuran Kursus Kahwin
Yuran kursus kahwin adalah berbeza mengikut Jabatan Agama Negeri masing-masing.
Tetapi secara puratanya, harga untuk kursus kahwin yang dianjurkan di kebanyakan kawasan adalah sekitar RM 80.
Berikut adalah antara yuran bayaran kursus kahwin yang terkini mengikut negeri, iaitu:
Negeri | Yuran Kursus |
---|---|
Kuala Lumpur | RM 120 |
Selangor | RM 80 |
Johor | RM 120 |
Melaka | RM 80 |
Negeri Sembilan | RM 100 |
Pulau Pinang | RM 80 |
Kedah | RM 80 |
Perlis | RM 80 |
Terengganu | RM 50 |
Pahang | RM 80 |
Kelantan | RM 70 |
Sabah | RM 100 |
Sarawk | RM 100 |
Labuan | RM 100 |
Perak | RM 80 |
Yuran yang dikenakan adalah merangkumi:
- Makan dan minum.
- Buku gerbang perkahwinan.
- Fail dan alat tulis.
- Sijil.
- Tenaga pengajar.
Modul Kursus Kahwin
Bagi setiap kursus perkahwinan yang dianjurkan, penggunaan tujuh (7) Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam adalah WAJIB. Modul-modul tersebut adalah seperti berikut:
- Akidah dan Ibadah.
- Akhlak dan hubungan dalam keluarga.
- Pengurusan kesihatan keluarga.
- Perkahwinan dan prosedur perkahwinan.
- Pengurusan tekanan dan konflik.
- Komunikasi antara suami isteri dan pengurusan kewangan dan masa.
- Perkhidmatan runding cara dan pembubaran perkahwinan.
Setiap modul ini akan dibahagikan kepada beberapa sesi dan setiap sesi mestilah dihadiri oleh setiap peserta.
Jika peserta ada tertinggal mana-mana modul yang ditetapkan, mereka hendaklah mengulangi modul itu semula sebelum mereka layak untuk diberikan sijil.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
Artikel Berkaitan: Maksud Sekufu Dalam Perkahwinan, Kenapa Kita Perlu Pilih Pasangan Yang Sekufu?