Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Lirik Lagu Negaraku, Maksud, Etika Ketika Nyanyian & Kepentingan

Berikut dikongsikan mengenai lirik lagu Negaraku beserta kepentingannya yang semua rakyat Malaysia perlu tahu.

Isi Kandungan

Lagu Kebangsaan Malaysia, Lagu Negaraku

Lagu Kebangsaan merupakan lambang kebesaran sesebuah negara selain daripada bendera dan ia juga adalah melambangkan identiti dan jati diri sesebuah negara.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia, kita wajar menghayati sejarah serta maksud di sebalik lagu Negaraku yang kita nyanyikan sejak di bangku sekolah lagi.

Lirik Lagu Negaraku, Maksud, Etika Ketika Nyanyian & Kepentingan 1

Lirik Lagu Negaraku

Lirik lagu Negaraku seperti dalam Akta Lagu Kebangsaan 1968 hanya menggunakan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu dan ia mestilah dinyanyikan di dalam Bahasa Melayu.

Jadi, penggunaan bahasa lain diibaratkan tidak menghormati isi kandungan akta tersebut.

Berikut merupakan lirik lagu Negaraku:

Negaraku
Tanah Tumpahnya Darahku,
Rakyat Hidup,
Bersatu Dan Maju,
Rahmat Bahagia,
Tuhan Kurniakan,
Raja Kita,
Selamat Bertakhta,
Rahmat Bahagia,
Tuhan Kurniakan,
Raja Kita,
Selamat Bertakhta

Maksud Lirik Lagu Negaraku

Berdasarkan perkongsian daripada Jabatan Penerangan Malaysia, lirik lagu Negaraku membawa kepada 5 maksud seperti berikut:

  1. Menyeru rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan sosiobudaya, hidup bersatu padu dan mengejar pelbagai kemajuan.
  2. Memohon rahmat dan kebahagiaan daripada Tuhan untuk kesejahteraan raja, rakyat dan negara Malaysia.
  3. Berdoa kepada tuhan untuk keselamatan negara.
  4. Menuntut kita supaya bersyukur, taat kepada raja dan sanggup berkorban demi mempertahankan negara.
  5. Menggambarkan kesetiaan rakyat yang tidak berbelah bagi kepada tanah air.

Pencipta Lirik Lagu Negaraku

Saiful Bahri bin Elyas adalah pencipta lirik lagu Negaraku.

Lirik Lagu Negaraku, Maksud, Etika Ketika Nyanyian & Kepentingan 2

Beliau telah memenangi RM1,000 yang Kerajaan tawarkan ketika itu untuk mencipta seni kata dengan menggunakan irama lagu kebesaran negeri Perak.

Beliau telah menggubah lagu Kebangsaan dalam tiga (3) versi iaitu versi penuh, versi ringkas dan versi pendek.

Versi PenuhVersi penuh atau versi Diraja Lagu Kebangsaan hendaklah dimainkan pada peristiwa yang berikut:
1. Apabila suatu penghormatan diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atau Timbalan YDPA semasa menjalankan fungsi YDPA atau seseorang Raja yang dilantik bagi menjalankan fungsi mengikut Akta YDPA (Perjalanan Fungsi) 1957 [Akta 373], atau apabila panji-panji Diraja dikibarkan bagi melambangkan kehadiran YDPA.
2. Semasa perbarisan rasmi atau majlis istiadat
rasmi yang lain.
3. Pada semua peristiwa apabila YDPA hadir sendiri (termasuk penyiaran oleh YDPA).
4. Apabila bendera Malaysia berada dalam perbarisan.
5. Apabila panji-panji rejimen dianugerahkan.
6. Bagi menaikkan panji-panji dalam Tentera Laut.
Versi penuh atau versi Diraja Lagu Kebangsaan boleh dimainkan di sekolah bagi maksud mengajar murid-murid menyanyi lagu Kebangsaan.
Versi penuh atau versi Diraja Lagu Kebangsaan hendaklah dimainkan pada mana-mana peristiwa lain sebagaimana yang ditetapkan oleh YDPA melalui perintah.
Versi RingkasVersi ringkas hendaklah dimainkan sebagai penghormatan pada semua peristiwa rasmi untuk:
– DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong; dan
– Yang di-Pertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Versi ringkas hendaklah dimainkan pada mana mana peristiwa lain sebagaimana yang ditetapkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda YDPA melalui perintah.
Versi PendekVersi pendek dimainkan pada mana-mana peristiwa rasmi apabila Seri Paduka Baginda YDPA atau wakilnya tidak hadir tetapi seorang daripada raja-raja bagi negeri-negeri hadir, hendaklah dimainkan pada masa tamatnya peristiwa itu selepas Lagu Kebangsaan Negeri yang berkenaan dimainkan.

Tanda Hormat & Etika Ketika Nyanyian Lagu Negaraku

Tanda hormat memainkan lagu Negaraku adalah termaktub dalam Seksyen 8(1) Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Bilamana versi penuh atau versi Diraja Lagu Kebangsaan dimainkan atau dinyanyikan atau bilamana versi ringkas atau versi pendek dimainkan, semua orang yang hadir hendaklah berdiri sedia sebagai tanda hormat.

Namun peraturan tersebut tidak terpakai apabila lagu Kebangsaan dimainkan atau dinyanyikan semasa sesuatu penyiaran atau filem berita sebagai sebahagian daripada penyiaran atau filem berita itu.

Etika yang betul ketika menyanyikan lagu Negaraku adalah seperti berikut:

  • Berdiri dengan tegak.
  • Kedua-dua belah tangan diletakkan ke sisi dan diluruskan ke bawah.
  • Kedua-dua belah kaki dirapatkan.
  • Menyanyikan lagu Negaraku secara serentak.
  • Menyebut seni kata lagu dengan betul dan jelas.
  • Bersemangat menghayati seni kata lagu.

Kepentingan Lagu Negaraku

Lagu Negaraku merupakan simbol semangat patriotik dan rasa kecintaan kepada negara.

Generasi muda harus faham bahawa lagu Kebangsaan ini adalah sebahagian daripada jati diri kita sebagai rakyat Malaysia.

Antara kepentingan lagu Negaraku adalah:

  • Meningkatkan ketaatan dan kesetiaan kepada Raja.
  • Menyerlahkan semangat patriotik.
  • Menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
  • Memupuk perpaduan dan keharmonian.
  • Meningkatkan usaha untuk memajukan diri sendiri.
  • Lambang kemegahan dan kebanggaan rakyat Malaysia.
  • Lambang rasmi dan identiti Malaysia.
  • Lambang kedaulatan negara.

Rakyat Malaysia perlu sedar tentang kepentingan menghormati lagu Negaraku supaya generasi muda dapat menghargai setiap maksud lirik dan bukan sekadar menghafalnya sahaja.

Sebagai rakyat Malaysia yang cinta akan negara, kita haruslah menghargai dan memelihara lagu Kebangsaan ini agar terus megah berkumandang di seluruh dunia.

Lirik Lagu Negaraku, Maksud, Etika Ketika Nyanyian & Kepentingan 3

Semoga perkongsian tentang Lirik Lagu Negaraku ini sedikit sebanyak dapat membantu anda yang sedang mencarinya serta untuk mengenang jasa negara tercinta kita, Malaysia.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More