“Makan 4 jenis ni untuk kurangkan tumit merekah” – Dr Zubaidi
Tumit merekah biasanya dialami oleh kaum wanita. Ia bukan sahaja merencatkan pemandangan, namun tumit merekah ini boleh menyebabkan juga ketidakselesaan serta rasa sakit yang teramat. Terutamanya apabila ia mula menjadi luka dan berdarah. Malah, masalah tumit merekah ini juga sebenarnya boleh menurunkan tahap keyakinan seseorang itu.
Menurut Dr Zubaidi Hj Ahmad, sepertinya yang dikongsi melalui media sosial rasmi miliknya, ada banyak faktor sebenarnya yang boleh menyebabkan tumit merekah ini.
Isi Kandungan
Punca Tumit Merekah
Tumit kaki merekah boleh membuatkan seseorang itu hilang keyakinan diri, malah menyukarkan untuk mengenakan kasut kerana ada kalanya tumit sakit dan mungkin berdarah. Pastinya ada sebab mengapa kulit bahagian tumit kaki seseorang boleh pecah.
Cuaca sejuk
Faktor cuaca adalah antara punca wanita mengalami tumit kaki merekah dan pecah. Biasanya keadaan ini membabitkan mereka yang tinggal di negara beriklim sejuk dan kulit akan berubah tesktur mengikut perubahan kulit.
Selain itu, kekerapan menggunakan pendingin hawa dalam bilik juga mempengaruhi tumit kaki merekah. Kaki yang kering akan menjadi pecah-pecah, gatal dan pedih disebabkan suhu yang sejuk.
Bagi mengurangkan masalah ini, sapu kulit tapak kaki dengan pelembap dan beli produk khusus untuk merawat tumit kaki merekah.
Penggunaan sabun tanpa pelembab
Tidak semua sabun mengandungi pelembap. Sebagai pengguna, anda perlu lebih bijak dalam memilih sabun untuk mandi.
Sabun tanpa kandungan pelembap dapat meningkatkan risiko kulit kering dan ia bukan sekadar berlaku pada bahagian tapak kaki saja, tapi seluruh tubuh akan mengalami kekeringan dan kulit menjadi kasar.
Berat badan berlebihan
Memiliki berat badan yang berlebihan bukan sahaja menjejaskan kesihatan badan, bahkan kulit bahagian tapak kaki juga akan terkesan.
Hal ini kerana berat badan yang berlebihan akan memberi tekanan pada kaki dan tidak dapat menampung bahagian atas yang berat, sekali gus menyebabkan tumit merekah.
Melakukan aktiviti berlebihan
Apabila anda sering melakukan aktiviti, maka risiko untuk kulit tapak kaki merekah akan semakin tinggi.
Bahagian kaki terutama tumit akan mengalami geseran dengan permukaan kasut atau lantai, lalu menjadi semakin tebal dan juga kering pada waktu yang sama.
Kulit tumit yang kering biasanya akan bersisik sebelum mula merekah yang membuatkan anda merasa pedih sehingga tidak selesa.
Makanan mengurangkan tumit merekah
Menurut Dr Zubaidi lagi, antara makanan asas untuk amalan diet seharian bagi menambahkan khasiat dan mengurangkan rekahan pada tumit kaki ialah:
Makanan yang kaya dengan vitamin E seperti minyak sayuran, sayuran hijau, bijiran, gandum dan kekacang. Makanan yang kaya dengan mineral termasuk:
- Kalsium: Susu, keju, yogurt, susu kambing, susu kacang soya, air mineral, ais krim, ikan, jus, bijiran dan brokoli
- Zat besi: Daging, ayam dan ikan, telur, sayur, kacang legum
- Zat zink: Tiram, ayam, ketam, kacang merah, yogurt, beras perang, spageti
- Asid lemak Omega-3: Ikan salmon dan bijirin
Petua Tradisional legakan masalah tumit merekah
Terdapat banyak petua yang datang dari bahan alami yang ada di sekeliling kita. Mudah didapati dan berhasil jika dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita. Antara petua orang lama-lama untuk legakan tumit merekah adalah:
- Rendam kami dengan air garam dan campuran lemon. Caranya, masukkan lemon Bersama air perahan lemon ke dalam bekas dan ditambah garam. Rendam kaki buat seketika ke dalam bekas tersebut. Lemon mampu menyingkirkan sel-sel kulit mati pada kulit, manakala garam pula boleh mencegah jangkitan pada luka atau kulit kaki yang merekah.
- Minyak zaitun – Boleh juga gunakan minyak almond, atau boleh juga gunakan minyak kelapa. Sapukan nipis di bahagian tumit itu agar meresap ke dalam kulit sekaligus mengekalkan kelembapan.
- Belimbing buluh – Belimbing buluh adalah antara bahan yang digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat beberapa jenis penyakit seperti batuk, jerawat, kegatalan, dan bengkak. Kandungan vitaminnya dipercayai boleh membantu merawat kulit kaki yang kering dan merekah. Caranya, ambil beberapa biji buah belimbing buluh dan lenyek kasar. Kemudian, gosokkan pada tumit anda perlahan-lahan selama beberapa minit. Amalkan rutin ini setiap minggu untuk mendapatkan tumit yang lebih halus dan licin.
- Getah betik muda – Petua tumit kaki pecah yang seterusnya adalah menggunakan getah betik muda. Caranya, gosok getah betik muda pada tumit kaki. Biarkan kering selama 10 minit dan bilas dengan air bersih. Amalkan dua kali seminggu dengan konsisten sehingga mendapat hasil yang diinginkan
Penutup
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua dan pastikan kita menjaga pemakanan serta gaya hidup agar kesihatan terjaga dengan sebaiknya.