Bekerja dari Rumah (WFH) : Bagaimana memaksimumkan konsep WFH di Alaf ke-21
Bekerja dari Rumah : Langkah bekerja luar pejabat secara jauh termasuk dari rumah, dijangka menjadi satu perkara biasa berikutan ketersediaan penyumberan data secara dalam talian serta ketersambungan yang meluas menerusi Internet.
Malah, pendekatan sama turut diamalkan pelbagai industri, terutama susulan penularan atau pandemik COVID-19 yang memerlukan negara di serata dunia termasuk Malaysia untuk menyekat pergerakan atau interaksi rakyat masing-masing demi membendung penyebaran virus itu.
Malaysia misalnya telah memulakan usaha pendigitalan itu sejak permulaan alaf baharu.
Isi Kandungan
Bekerja dari Rumah
Justeru, selepas 20 tahun, aspek ketersambungan bukan lagi satu isu dan tempoh sukar dan mencabar seperti sekarang akan menjadi medan untuk melihat sejauh mana keberkesanan bekerja jarak jauh ini.
Seperti yang dapat disaksikan sejak beberapa tahun lalu, aspek perdagangan juga secara beransur-ansur beralih kepada pendekatan perniagaan dalam talian berbanding model tradisional seperti dahulu.
Apa yang pasti, kebanyakan barangan daripada peringkat asas sehinggalah kepada perkhidmatan perbankan dan kewangan serta pembelian perabot, dapat dilakukan di hujung jari secara dalam talian dan seterusnya hanya menunggu penghantaran ke muka pintu.
Oleh kerana COVID-19 yang bermula di Wuhan, China kini tersebar dan sukar dikawal, pelbagai sektor termasuk korporat dan kewangan telah mula melaksanakan konsep kerja dari rumah demi memastikan perniagaan terus beroperasi seperti biasa.
Malah, sektor pendidikan misalnya kini beralih kepada pembelajaran secara dalam talian sebagai penyelesaian ketika berdepan krisis kesihatan yang menyaksikan kampus ditutup bagi mencegah sebarang risiko.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dalam perkongsian menerusi akaun Facebook peribadinya, berkata setiap pekerja yang kini mengamalkan BDR perlu memahami definisi konsep BDR bagi memastikan kerja yang dilakukan mencapai matlamat ditetapkan.
“BDR adalah melakukan tugas dan tanggungjawab untuk mencapai hasil (outcome) dan keluaran (output) ditetapkan sama ada ditugaskan secara khusus atau secara umum dari rumah menggunakan kemudahan seperti komputer, kerusi meja, elektrik dan sebagainya.
“Jangan salah faham, BDR bukan bermakna cuti umum! BDR juga tidak bermakna kita tidak boleh santai dan relaks dengan keluarga, tetapi perlu diselaraskan asalkan hasil dan keluaran tercapai dalam tempoh masa yang ditetapkan,” tulisnya.
Sejak PKP dilaksanakan mulai 18 Mac lalu, kira-kira 82 peratus rakyat di negara ini mengamalkan BDR.
Bagi pekerja yang sememangnya bekerja menggunakan komputer, pasti tidak ada masalah dengan syarat memberikan tumpuan sepenuhnya pada tugasan dan mengurangkan gangguan luar.
Dr Zaini berkata, setiap pekerja perlu jujur dengan diri sendiri apabila melakukan konsep BDR kerana tiada pemantauan seperti kebiasaan apabila bekerja di pejabat.
“Soalan yang perlu kita tanya setiap pagi adalah apakah hasil atau keluaran BDR kita hari ini. Mungkin tidak ada pemantauan rapi BDR daripada pihak pengurusan syarikat kerana faktor yang serba terbatas, tetapi ingatlah bahawa kita sentiasa dipantau rapi oleh Yang Maha Tinggi,” tulisnya.
Beliau turut berkongsi hadis daripada Amru bin Maimun bin Mahran yang menyatakan sesungguhnya Nabi Muhammad SAW berkata kepada seorang pemuda dan menasihatinya, “Jagalah lima hal sebelum lima hal: Mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum datang masa sakitmu, waktu luangmu sebelum datang waktu sibukmu, kayamu sebelum miskinmu dan hidupmu sebelum matimu.”
Berikut dikongsikan cara Dr Zaini menjayakan konsep BDR yang mungkin boleh dijadikan panduan kepada pekerja yang turut mengamalkan konsep terbabit.
1. Jadikan ruang kerja di rumah sentiasa ceria, segar dan memotivasikan
Jika selama ini anda bekerja di sudut baca, cuba tambah perabot atau pencahayaan. JIka anda sering minum kopi jam 10 pagi di pejabat sebagaimana tradisi fika (meluangkan masa bersama rakan sambil menikmati secawan kopi) di Sweden, maka berehatlah jam 10 pagi dan bersama menceriakan ahli keluarga.
2. Kuadran Penting dan Tidak Segera
Ketika BDR, beri tumpuan sehingga 80 peratus masa kepada Kuadran Penting dan Tidak Segera (mengikut Stephen Covey) iaitu pencegahan (masalah, risiko, penyakit, salah laku, salah guna dan lain-lain) dengan membaca, menuntut ilmu, menjalin hubungan, mengenal pasti kesempatan baharu, merancang dan berekreasi.
Mereka yang kurang produktif menggunakan hanya 15 peratus masa hidup mereka pada kuadran ini.
3. Kuadran Tidak Penting dan Segera
Kurangkan penggunaan masa pada kuadran Tidak Penting dan Segera yang membabitkan kegiatan seperti gangguan menerusi komunikasi yang santai, surat-menyurat atau media sosial, sebahagian mesyuarat atau pertemuan dan aktiviti popular seperti berkomunikasi menerusi aplikasi pesanan ringkas.
Kebiasaannya mereka yang tidak produktif, menghabiskan sehingga 60 peratus masa dalam kuadran ini, berbanding 15 peratus bagi mereka yang produktif dan cemerlang.