Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Malaysia beri kelulusan pengilang AstraZeneca di Thailand

Siam Bioscience Co. LTD menjadi Pengilang Kedua Vaksin AstraZeneca

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-358 yang bersidang pada Jumaat meluluskan pendaftaran bersyarat produk vaksin COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection keluaran AstraZeneca untuk kegunaan semasa bencana daripada pengilang kedua, Siam Bioscience Co. Ltd, Thailand.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pengilang kedua ini merupakan pengeluar yang akan menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negara ini.

“Sebelum ini, PBKD telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang Medimmune Pharma B.V., Netherlands pada 2 Mac 2021, yang merupakan pengeluar bagi bekalan vaksin COVID-19 AstraZeneca ke negara-negara Eropah.

Baca Juga: Permohonan Moratorium Automatik PKP 3.0 Bank Negara Malaysia

“Sebagai makluman, Kerajaan Malaysia membuat perolehan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan juga melalui fasiliti COVAX. Malaysia telah mula menerima bekalan di bawah fasiliti COVAX pada bulan April 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima daripada pengilang Siam Bioscience Co. Ltd ini dijangka dapat mempertingkatkan kadar vaksinasi di bawah PICK dengan lebih pantas.
KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk iaitu AstraZeneca Sdn Bhd, mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa, bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif,” ujarnya lagi.
Kementerian Kesihatan juga akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.
“Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” tambah beliau.’

 

Sumber Astro Awani 

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More