Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Masjid di Xinjiang Dirobohkan Pihak Berkuasa China – Hampir 16,000 Masjid Musnah

Masjid di Xinjiang dirobohkan pihak berkuasa China. Sekurang-kurangnya 16,000 masjid di Xinjiang telah dirobohkan oleh pihak berkuasa China, kata pasukan pemikir Australia hari ini dalam laporannya berkenaan pencabulan hak asasi manusia di rantau terbabit.

Dalam pada itu Institut Dasar Strategik Australia (ASPI) juga mendapati ebih sejuta minoriti Islam Uighur dan komuniti berbahasa Turkic di barat daya China ditahan di ratusan kem, serta dipaksa meninggalkan segala pegangan sama ada keagamaan atau kebudayaan.

Hasil daripada imej rakaman satelit oleh pihak ASPI, sekurang-kurangnya hampir 16,000 masjid dimusnahkan atau dirosakkan pihak berkuasa China. Sebahagian besar pemusnahan itu berlaku tiga tahun lalu dengan anggaran 8,500 masjid musnah sepenuhnya dan menurut laporan itu lagi, kerosakan paling besar berlaku di kawasan bandar, seperti Urumqi dan Kashgar.

MASJID di Yangisar, selatan Kashgar, di wilayah Xinjiang barat China. FOTO AFP
MASJID di Yangisar, selatan Kashgar, di wilayah Xinjiang barat China. FOTO AFP

Isi Kandungan

Kuil Dan Gereja Terkecuali

Banyak juga masjid lain yang terlepas daripada tindakan itu dipaksa merobohkan binaan kubah atau menara masing-masing namun akibatnya, kini hanya terdapat kurang daripada 15,500 masjid di sekitar Xinjiang. Jika ianya benar, maka ini adalah jumlah rumah ibadat Islam yang terendah pernah dicatatkan di rantau berkenaan sejak Revolusi Kebudayaan pada 1960-an. Namun bagaimanapun, tindakan seumpamanya tidak diambil terhadap gereja atau kuil Buddha yang turut terdapat di seluruh Xinjiang.

Menurut ASPI, hampir satu pertiga kawasan suci Islam di Xinjiang seperti makam, laluan jemaah dan tanah perkuburan turut menjadi mangsa. Malah, hasil tinjauan AFP pada tahun lalu juga melaporkan penemuan puluhan tanah perkuburan dimusnahkan, dengan cebisan mayat serta batu nisan berselerakan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa China menegaskan penduduk Xinjiang diberi kebebasan beragama sepenuhnya untuk mengikuti amalan agama masing-masing. Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, turut mendakwa terdapat kira-kira 24,000 masjid di sekitar Xinjiang iaitu jauh lebih banyak berbanding sesetengah negara Islam.

China juga dipercayai mengendalikan ratusan pusat tahanan di Xinjiang di bawah rangkaian yang lebih besar berbanding pernah dilaporkan sebelum ini.

Berdasarkan kajian oleh Institut Polisi Strategik Australia (ASPI), ia mengesan lebih 380 ‘pusat tahanan yang disyaki’ di wilayah berkenaan, di mana dipercayai China menahan lebih sejuta etnik Uighur dan penganut Islam lain khususnya mereka yang bertutur dalam bahasa Turki.

Ia turut mendapati, pusat berkenaan adalah 40 peratus lebih besar daripada jangkaan sebelum ini dan penghuninya semakin bertambah walaupun China mendakwa sudah membebaskan ramai etnik Uighur.

Dengan menggunakan imej satelit, akaun saksi, laporan media dan dokumen tender pembinaan rasmi, institut itu mengatakan, ‘sekurang-kurangnya 61 pusat tahanan menyaksikan kerja-kerja pembinaan dan pengembangan baharu antara bulan Julai 2019 hingga Julai 2020’.

ANTARA dipercayai pusat tahanan Uighur di Xinjiang. FOTO AFP
ANTARA dipercayai pusat tahanan Uighur di Xinjiang. FOTO AFP

Sebanyak 14 pusat tahanan masih dibawah kerja pembinaan pada 2020 dengan 70 pusat dipagar atau dinding perimeternya dirobohkan sebagai tanda ia telah diubah atau ditutup. Bagaimanapun, Beijing menafikan kewujudan pusat tahanan itu dan kerajaan China mengatakan ia adalah pusat latihan vokasional untuk menentang aktiviti ekstrem.

Jurucakap Kementerian Luarnya, Wang Wenbin menggelar ASPI sebagai ‘barisan hadapan pasukan anti-China yang kredibiliti akademiknya boleh dipersoalkan’. Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini memilih untuk melarang import dari Xinjiang, dengan alasan penggunaan buruh paksa secara sistematik.

Beijing baru-baru ini menerbitkan sebuah kertas putih yang mempertahankan dasarnya di Xinjiang, di mana ia mengatakan bahawa program latihan, skema kerja dan pendidikan yang lebih baik bermakna kehidupan turut bertambah baik. Ia mendakwa telah memberi ‘sesi latihan’ kepada rata-rata 1.29 juta pekerja setiap tahun antara tahun 2014 dan 2019.

Berikutan penerbitan laporan ASPI, tabloid yang dikendalikan oleh pemerintah China, Global Times memetik ‘sumber’ dengan mengatakan bahawa penulis Clive Hamilton dan Alex Joske dilarang memasuki China. Wang tidak mengesahkan sama ada kedua-dua ahli akademik itu dilarang memasuki China, tetapi mengatakan perkara itu ‘berada dalam ruang lingkup kedaulatan China’.

Bukti China Menindas Etnik Uighur

Satu rakaman video pernah tular di media sosial menunjukkan sekumpulan ratusan lelaki yang ditutup mata digari kaki dengan kepala dibotakkan, dipercayai penduduk Islam etnik Uighur di China dikumpulkan dekat stesen kereta api untuk dibawa ke kem tahanan.

Menurut news.com.au, rakaman video itu yang tiada pengesahan, disiarkan di YouTube minggu lalu, menggunakan akaun baru ‘War on Fear’. Rakaman itu turut disiarkan di Twitter oleh @warcombatfear.

“Tujuan kami memerangi ketakutan. Masyarakat sekarang hidup di bawah pengawasan teknologi kerajaan. Orang ramai hilang kebebasan. Pemimpin Parti Komunis China mendakwa mereka patriotik dan sayangkan rakyat, namun hakikatnya mereka hanya sayangkan parti dan kuasa.”

RAKAMAN video yang tular menunjukkan ratusan lelaki yang ditutup mata, digari dikumpulkan di stesen kereta api. - Agensi
RAKAMAN video yang tular menunjukkan ratusan lelaki yang ditutup mata, digari dikumpulkan di stesen kereta api. – Agensi

“Video ini dirakam di China. Ini adalah penindasan yang sudah sekian lama terhadap hak asasi manusia dan asas kebebasan oleh kerajaan China di Wilayah Autonomi Xinjiang Uygur,” kata keterangan mengenai video itu.

Sumber agensi keselamatan Eropah memberitahu Sky News, mereka percaya rakaman itu asli yang mungkin dihasilkan awal tahun ini. “Kami sudah meneliti video itu dan percaya ia asli, kejadian itu benar-benar berlaku.

”Ia menunjukkan 600 tahanan sedang dipindahkan, dirantai antara satu sama lain, kepala dibotakkan dan ditutup mata dengan tangan diikat. Itu adalah kaedah China memindahkan tahanan,” kata sumber berkenaan.

Menteri Luar Australia, Marise Payne, berkata: “Saya tahu mengenai video yang mengejutkan itu disiarkan di Internet.

“Saya sebelum ini, sudah membangkitkan isu mengenai laporan penahanan beramai-ramai etnik Uighur dan orang Islam di Xinjiang. Kami sering mendesak China menghentikan penahanan etnik Uighur serta orang Islam,” katanya.

Penyelidik dengan Institut Antarabangsa Pusat Dasar Siber Australia, Nathan Ruser, yang menganalisis data satelit bagi pemetaan kem tahanan China, percaya video itu tulen. Beliau mengenalpasti lokasi kejadian ialah di Bayingol, Xinjiang, namun percaya video itu dirakam pada 20 Ogos tahun lalu.

Julai lalu, Australia antara 22 negara yang menandatangani surat kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengkritik layanan Beijing terhadap etnik Uighur dan mendesak kerajaan China menghentikan penahanan beramai-ramai itu.

China menafikan wujudnya kem tahanan sebaliknya menegaskan ia adalah pusat memberi latihan vokasional kepada etnik Uighur dan penduduk Islam namun bekas tahanan mendakwa mereka diseksa dan dipaksa meninggalkan Islam.

Sumber Harian Metro

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More