Larangan Membuka Aib Sendiri & Menyebarkan Aib Orang Lain

Islam adalah agama yang menggalakkan umatnya mengeratkan silaturahim dan menjaga hubungan sesama manusia.
Oleh itu, sebarang perkara yang membawa kepada perbalahan dan perpecahan adalah dicemuh dan dilarang oleh syarak.
Membuka aib adalah salah satu larangan kerana ia boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan sesebuah persaudaraan.
Isi Kandungan [show]
Apa Itu Aib?
Aib menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ke-4 bermaksud rasa hina atau malu akibat perbuatan keji dan sebagainya oleh seseorang anggota keluarga dan lain-lain.
Manakala menyebarkan aib menurut islam itu seakan suatu bentuk ghibah yang diharamkan.
Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara ini di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:
أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ
Maksudnya: “Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat? Para sahabat berkata: ‘Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya.’ Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya’.”
Riwayat Muslim
Setiap individu memiliki keaiban dan rahsia peribadi yang tersendiri.
Keaiban merujuk kepada kekurangan atau kelemahan yang boleh dianggap memalukan atau menjatuhkan maruah seseorang.
Ini termasuk tindakan seperti mendedahkan rahsia peribadi, mengejek penampilan fizikal atau mengungkit kesilapan masa lalu.
Jaga Aib Sesama Muslim
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Nur, Ayat 19 yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang suka menyebarkan tuduhan yang tidak senonoh dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang pedih di dunia dan di akhirat.”
Ayat ini menjadi peringatan keras kepada mereka yang gemar menyebarkan keaiban orang lain, bahawa balasan di dunia dan di akhirat sangatlah pedih.
Seterusnya, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Sesungguhnya orang-orang yang suka menyebarkan tuduhan yang tidak senonoh dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang pedih di dunia dan di akhirat.”
Hadis ini menekankan betapa pentingnya menjaga aib sesama Muslim kerana dengan menjaga aib orang lain, Allah SWT akan melindungi kita di dunia dan di akhirat.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda:
“Jauhilah oleh kalian prasangka, sebab prasangka itu adalah ungkapan yang paling dusta. Dan janganlah kalian mencari-cari aib orang lain, jangan pula saling menyebar kebencian dan jadilah kalian orang-orang yang bersaudara.”
Hadis ini pula mengingatkan kita untuk tidak berprasangka buruk dan mencari kesalahan orang lain, tetapi sebaliknya, kita harus hidup dalam keharmonian dan persaudaraan.
Peliharalah Aib Pasanganmu!
Rasulullah SAW juga memberi amaran keras kepada mereka yang membuka aib pasangan. Sabda baginda:
“Orang yang membuka aib pasangannya, Allah SWT akan mengikatnya dengan ular besar pada hari kiamat nanti.”
Hadis Riwayat Ahmad
Ini adalah amaran yang serius agar kita menjaga kehormatan pasangan kita dan tidak mendedahkan kekurangan mereka kepada orang lain.
Peliharalah Aib Saudaramu!
Jagalah aib saudaramu, kerana mencari kelemahan orang lain hanya akan membuka aib diri sendiri.
Ingat! Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita bahawa sesiapa yang berusaha mencari-cari kekurangan orang lain, Allah SWT akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.

Balasan Kepada Pengumpat & Pengaib
Islam melarang umatnya berakhlak buruk seperti mengumpat serta mengaibkan orang lain. Berikut adalah balasan kepada pengumpat dan pengaib:

Semoga Allah SWT sentiasa memelihara kita daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Islam seperti mengumpat dan membuka aib orang lain.
Membuka Aib Yang Dibenarkan Dalam Islam
Larangan membuka aib ini juga tidak terhad sesama pasangan sahaja, malah terhadap ahli keluarga, rakan-rakan atau kenalan bahkan terhadap pihak media atau wartawan.
Namun, terdapat pengecualian pada kes-kes tertentu melalui saluran-saluran yang berautoriti.
Jika perbuatan menceritakan aib seseorang bagi tujuan penyelesaian terhadap kezaliman, hukumnya adalah harus.
Menurut Imam Al-Nawawi, terdapat enam sebab dibenarkan untuk membuka aib seseorang, iaitu:
- Mengadu kezaliman kepada pihak yang mempunyai kemampuan untuk berlaku adil kepadanya daripada orang yang berlaku zalim terhadapnya.
- Mencari pertolongan daripada orang tertentu yang mampu mengubah kemungkaran dan membawa si pelaku maksiat ke jalan kebenaran.
- Meminta fatwa daripada mufti.
- Memberi amaran kepada seseorang terhadap kemungkaran dengan menasihati dan memberitahunya berkenaan perihal buruk seseorang yang tidak harus dia ikuti.
- Menyebut dan mendedahkan kesalahan dan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan.
- Menyebut seseorang dengan panggilan yang buruk kerana hanya dengan panggilan tersebut sahaja dia dikenali. Sekiranya panggilan tersebut digunakan untuk merendah-rendahkan atau mengejek, ia adalah haram.
Perbuatan menyebarkan aib orang lain termasuk dalam sunnah sayyiah yang berdosa jika diteruskan oleh orang lain.
Oleh itu, jadilah insan yang saling menutup keaiban dan mengukuhkan ukhuwah. Marilah kita pelihara maruah sesama saudara kita dan fokus kepada kebaikan.
Artikel Berkaitan: Larangan Menyerupai Jantina Lain