Monsun Timur Laut 2023: Tarikh, Persediaan & Ramalan Cuaca Terkini
Monsun Timur Laut 2023 kini bermula di Malaysia dan dijangka akan berterusan sehingga Mac 2024.
Menurut Kenyataan Media daripada Jabatan Meteorologi Malaysia Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim pada 7 November 2023 berkaitan Monsun Timur Laut 2023 adalah seperti berikut.
Isi Kandungan
Tarikh Permulaan Monsun Timur Laut 2023
Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 11 November 2023 dan berterusan sehingga Mac 2024.
Dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka akan berlaku.
Semasa fasa awal Monsun Timur Laut 2023 iaitu dari November 2023 hingga Januari 2024, episod hujan lebat dijangka berlaku di
- Kelantan.
- Terengganu.
- Pahang.
- Johor.
- Barat Sarawak.
Namun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia.
Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir. Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.
Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.
Manakala, pada fasa akhir MTL iaitu Februari hingga Mac 2024 dijangkakan
- Utara Semenanjung (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu)
- Sabah
- Labuan
- Utara Sarawak
akan mengalami kurang hujan. Keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka bermula Mac 2024 berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba. Situasi ini berikutan El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan 2024 dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun 2024.
Sila rujuk DBOOK PENERANGAN | RISALAH MONSUN TIMUR LAUT (MUSIM TENGKUJUH) di pautan berikut:
>>>Risalah Monsun Timur Laut 2023 <<<
Kredit Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia
Ramalan Cuaca Signifikan Terkini (19 November 2023)
Berdasarkan analisis model-model cuaca, luruan monsun dijangka berlaku sehingga 21 November 2023. Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di pantai timur dan utara Semenanjung serta Sabah.
Pada masa yang sama, angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di Laut China Selatan.
MET Malaysia telah mengemas kini Amaran Hujan Berterusan (Bahaya, Buruk & Waspada) yang melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Sabah berkuat kuasa sehingga 20 November 2023.
Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora turut dikemas kini berkuat kuasa sehingga 21 November 2023.
Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang yang lebih menyeluruh juga berpotensi berlaku dalam tempoh berkenaan.
Persediaan Menghadapi Banjir Monsun Timur Laut 2023
Antara langkah-langkah persediaan untuk menghadapi banjir yang boleh dilakukan adalah
- Dapatkan maklumat terkini tentang banjir di tempat anda.
- Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan melalui radio, televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.
- Periksa lubang air seperi longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.
- Pastikan di mana Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana di tempat anda.
- Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya.
- Pastikan seluruh keluarga anda mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah.
- Apabila menerima arahan, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan. Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana ianya lebih mudah dan selamat.
Maklumat Lanjut
Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melalui medium sebaran rasmi iaitu
- laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia
- aplikasi mobil myCuaca
- media sosial rasmi MET Malaysia
Sebarang maklumat lanjut dan bantuan berkaitan Monsun Timur Laut 2023 di tempat anda, anda boleh hubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638.
Diharapkan info terkini tentang Monsun Timur Laut 2023 ini dapat memberikan manfaat kepada semua rakyat Malaysia.
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.