Official Muat turun Aplikasi MySejahtera Sekarang, Kredit RM50 Akan Diterima Tidak Lama Lagi!
MySejahtera merupakan aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh kerajaan untuk membantu dalam pengawasan penularan pandemik COVID-19 di negara kita.
Premis perniagaan turut digalakkan mendaftar aplikasi ini bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapatkan maklumat awal sekiranya berlakunya penularan COVID-19 di kawasan anda.
Pada 8 Jun yang lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri telah mengumumkan bahawa RM50 akan dikreditkan kepada rakyat Malaysia melalui e-wallet sebaik sahaja mereka memuat turun aplikasi MySejahtera.
Namun, bagi yang telah memuat turun, sehingga kini anda mungkin telah menyedari bahawa e-wallet anda masih kosong. Anda tidak perlu risau dan panik. FB Public Health Malaysia telah mengumumkan agar rakyat Malaysia untuk bersabar kerana ia masih lagi dalam proses dan belum disalurkan lagi oleh Kerajaan dan pengumuman segera akan dibuat apabila semuanya telah tersedia.
Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi tersebut lebih awal dan tidak menunggu sehingga pengumuman e-wallet di buat, bagi mengelakkan pelayan aplikasi tersebut terganggu akibat beban berlebihan di atas pemintaan memuat turun aplikasi tersebut di dalam satu masa.
Sekiranya anda harus keluar dari rumah dengan kerap, anda sangat disarankan untuk memuat turun aplikasi ini bagi memudahkan anda untuk daftar masuk di mana-mana premis yang anda hendak tuju.
Selain memberikan maklumat terkini berkenaan Covid-19, aplikasi ini juga membolehkan pengguna melakukan penilaian kendiri terhadap diri sendiri dan ahli keluarga. Aplikasi ini juga dapat membantu mencari hospital dan klinik berdekatan untuk pemeriksaan dan rawatan Covid-19.
Sekiranya anda belum memuat turun aplikasi MySejahtera, sila muat turun sekarang. Tidak perlu tunggu RM50 untuk memotivasikan kita. Anda harus ingat kita memainkan peranan dan tanggungjawab yang sama dalam membendung pandemik Covid-19.
Bagi anda yang belum memuat turun, berikut dikongsikan langkah-langkah untuk muat turun aplikasi MySejahtera untuk panduan anda.
Isi Kandungan
Langkah-langkah Muat turun Aplikasi MySejahtera di Android & iOS & pendaftaran MySejahtera
1) Muat turun aplikasi MySejahtera daripada Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), Apple AppStore, Google Play Store atau Huawei AppGallery
2) Tekan butang “Daftar Di Sini” untuk mendaftar pengguna baharu
3) Masukkan nombor telefon bimbit dan klik “Daftar” atau klik pautan “Saya ingin menggunakan e-mel untuk mendaftar” (jika ingin mendaftar menggunakan e-mel)
4) Anda akan menerima OTP melalui SMS daripada 63839 (jika mendaftar menggunakan nombor telefon) atau pautan pengesahan pendaftaran melalui e-mel (jika mendaftar menggunakan e-mel)
5) Masukkan OTP yang diterima dan tekan “Hantar” (jika mendaftar menggunakan nombor telefon) atau klik pada pautan dalam emel (jika mendaftar menggunakan e-mel)
6) Masukkan butiran pendaftaran seperti arahan di skrin dan tekan butang “Sahkan”
7) Anda akan mendapat mesej “Pendaftaran Berjaya”. Klik pada link “Tutup” di bahagian bawah skrin untuk kembali ke laman Log Masuk
8) Masukkan ID Pengguna (nombor telefon atau e-mel) dan kata laluan anda dan klik “Log Masuk”
Tahniah! Anda berjaya mendaftar sebagai pengguna.
Info Tambahan
Kerajaan Malaysia memberi jaminan data peribadi anda hanya akan digunakan bagi pemantauan dan pencegahan COVID-19 sahaja.
Segala maklumat tidak akan diberikan kepada mana-mana pihak lain dan semua maklumat pesakit COVID-19 adalah terpelihara di bawah akta kerahsiaan kerajaan.
Jika anda perlukan sebarang bantuan teknikal, anda boleh menghantar emel ke [email protected]
sumber : MySejahtera