Rukun Puasa: Lafaz Niat Puasa Ramadan Sebulan & Harian (JAKIM)
Tidak lama lagi, bulan Ramadan yang mulia akan menjelma. Adakah anda masih ingat lafaz niat puasa untuk diamalkan sepanjang bulan Ramadan nanti?
Oleh itu, berikut kami kongsikan lafaz niat puasa sebulan dan niat puasa harian untuk rujukan semua umat Islam diluar sana.
Isi Kandungan
Mengenai Puasa
Maksud puasa dari segi bahasa adalah menahan diri dari sesuatu. Manakala, maksud puasa dari segi syarak pula adalah
- Menahan diri daripada makan, minum dan melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
- Bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari.
- Dilakukan dengan niat puasa.
2 Kegembiraan Bagi Orang Yang Berpuasa!
“Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperolehi dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua, kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya.”
Riwayat Al-Tirmizi
Syarat Wajib Puasa
Berikut adalah syarat wajib puasa.
Syarat-Syarat Wajib | Penerangan |
---|---|
Islam | Orang bukan Islam tidak wajib untuk berpuasa. |
Baligh (Dewasa) | Cukup umur. |
Berakal | Orang gila tidak wajib untuk berpuasa. |
Mampu | Mereka yang tidak mampu berpuasa seperti orang sakit, orang tua yang lemah dan sangat tua, dan sebagainya tidak wajib untuk berpuasa. |
Mukim | Musafir tidak wajib untuk berpuasa tetapi wajib mengqada’nya (menggantikannya). |
Syarat Sah Puasa
Berikut pula adalah syarat sah puasa.
Syarat-Syarat Sah | Penerangan |
---|---|
Islam | Tidak sah puasa bagi orang bukan Islam dan murtad. |
Berakal Dan Mumaiyiz | Mumaiyiz ialah apabila sudah tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. |
Suci | Suci daripada haid dan nifas. |
Niat | Niat dilakukan pada setiap malam. |
Menahan Diri | Menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa. |
Pada Hari Yang Disahkan Berpuasa | Tidak sah berpuasa pada hari yang diharamkan puasa. |
Rukun Puasa
Rukun puasa terbahagi kepada dua (2) iaitu,
- Pertama: Niat (dalam hati) / menetapkan niat puasa.
Dari Hafshah RA. bahwa Rasulullah SAW bersabda,
“Barang siapa yang tidak berniat sebelum fajar, maka tidak ada puasa untuknya.”
(HR. Tirmidzi, An-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)
- Kedua: Meninggalkan hal-hal yang membatalkan puasa (seperti makan, minum, jima’ di siang hari, dan muntah yang disengajakan).
“Dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian, sempurnakanlah puasa itu sampai malam.”
(QS. Surat Al-Baqarah: 187)
Niat Puasa Ramadan
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selepas sahaja Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan Pengisytiharan 1 Ramadan, umat Islam sudah boleh mula niat puasa sebulan Ramadan.
Lafaz Niat Puasa Sebulan
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Bahasa Rumi: Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul’lihi Lil’lahi Ta’ala.
Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadan kerana Allah Ta’ala.
Lafaz Niat Puasa Harian
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Bahasa Rumi: Nawaitu Souma Ghadin ‘An Ada-‘i, Fardhi Syahri Ramadhana Hazihis Sanati Lil’lahi Ta’ala.
Sahaja aku berpuasa esok hari pada bulan Ramadan tahun ini kerana Allah Ta’ala.
Waktu yang terbaik untuk melakukan niat puasa adalah seperti berikut:
- Waktu niat puasa ramadan adalah bermula pada terbenam matahari (waktu maghrib) sehingga terbit fajar sidiq (waktu subuh). Niat puasa boleh dilakukan pada bila-bila masa pada tempoh tersebut.
- Jika terlupa untuk niat puasa ramadan, menurut ulama-ulama mazhab Syafi’e, mereka menganjurkan juga untuk berniat puasa dengan bertaqlid kepada mazhab Maliki. Ianya untuk menjaga maslahat (kepentingan) dan hajah (keperluan) sebagai langkah berhati-hati dan ditakuti terlupa berniat puasa pada malam hari.
Kelebihan Berpuasa
Sesungguhnya amalan berpuasa dilengkapi dengan pellbagai ganjaran kerana Ramadan al-Kareem adalah bulan yang penuh dengan kemuliaan.
Antara kelebihan-kelebihan berpuasa adalah seperti berikut:
- Berpuasa mampu mengawal penyakit diabetis.
- Berpuasa juga mampu mengurangkan faktor risiko penyakit kardiovaskular (seperti jantung).
- Melalui amalan berpuasa, kita mampu mengurangkan berat badan dan penampilan yang lebih sihat.
- Berpuasa mampu meningkatkan fokus, kekal segar dan lambat nyanyuk. Amalan puasa sihat untuk otak.
- Berpuasa membantu mengawal nafsu secara tidak langsung dapat membantu mengatasi ketagihan merokok, minum kopi, gula dan lain-lain.
- Berpuasa dapat memberi ketenangan dan kedamaian pada minda seterusnya menjamin minda yang sihat.
- Puasa mendidik jiwa insan dengan belas ihsan terhadap kehidupan yang kurang bernasib baik dan mampu mewujudkan sifat empati dalam diri kita.
- Amalan berpuasa juga dapat mendidik kita supaya bersabar. Sifat sabar mampu membentuk karakter dan peribadi yang bermutu tinggi.
Semoga perkongsian ini bermanfaat! Selamat berpuasa untuk semua umat Islam diseluruh dunia!