Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Hukum & Lafaz Niat Puasa Ganti Ramadhan

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai lafaz niat puasa ganti Ramadhan untuk rujukan utama umat Islam di luar sana.

Isi Kandungan

Maksud Ganti Puasa

Puasa ganti / ganti puasa adalah puasa yang wajib dilakukan bagi seseorang yang telah meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan sebelumnya. 

Puasa ini harus dilakukan untuk menggantikan puasa yang telah ditinggalkan tersebut.

Hukum ganti puasa adalah wajib seiring dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 183-184 yang bermaksud:

“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui.

Anda boleh mengantikan puasa pada bila-bila masa sahaja selepas bulan Ramadhan sehingga ke bulan Ramadhan yang seterusnya kecuali pada hari yang dilarang berpuasa seperti pada Hari Raya Pertama Aidilfitri dan Hari Raya Pertama Aidiladha.

Walau bagaimanapun, umat Islam digalakkan untuk menyegerakannya kerana ia merupakan salah satu ibadah yang wajib dilaksanakan.

Lafaz Niat Puasa Ganti Ramadhan

Berikut adalah merupakan lafaz niat puasa ganti Ramadhan, iaitu:

 نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءٍ فَرْضَ رَمَضَانً ِللهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa esok hari bagi qada (menggantikan) fardu puasa bulan Ramadhan kerana Allah Ta’ala.”

Hukum Niat Puasa Ganti Ramadhan

Pertama, niat puasa Ramadhan dan puasa fardu (wajib) yang lain hendaklah diniatkan pada malam hari berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW bahawa:

مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ مِن اللَيْلِ فَلَا صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang tidak berniat untuk berpuasa (keesokan harinya) di malam hari, maka tidak sah puasanya.

Hadis Riwayat Al-Nasaie

Begitu juga di sisi mazhab Al-Syafie disyaratkan seseorang untuk berniat di waktu malam bagi puasa Ramadhan dan puasa fardu yang lain seperti puasa ganti.

Hal ini sepertimana yang disebutkan dalam kitab Al-Muqadimah Al-Hadramiah bahawa:

الأول: النية لكل يوم. ويجب التبييت في الفرض دون النفل، فتجزئه نيته قبل الزوال، ويجب التعيين أيضًا دون الفرضية في الفرض

Maksudnya: (Rukun puasa) Pertama: Niat bagi setiap hari puasa. Diwajibkan untuk berniat pada waktu malam bagi puasa fardu dan tidak bagi puasa sunat. Sah niat tersebut jika diniatkan sebelum tergelincir matahari. Di samping itu, diwajibkan untuk ta’yin (menentukan jenis puasa seperti puasa Ramadan), tanpa diwajibkan untuk menyebut fardu bagi puasa fardu.

Justeru, kita diwajibkan untuk berniat bagi puasa fardu pada waktu malam, manakala bagi puasa sunat boleh untuk berniat pada siang hari sebelum tergelincir matahari jika sekiranya tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Semoga perkongsian ini bermanfaat!

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More