Niat Puasa, Syarat dan Doa Berbuka
Puasa secara bahasa bermaksud “menahan diri“. Dari segi istilah syarak puasa bermaksud “menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar shadiq sehingga terbenam matahari berserta niat“.
Isi Kandungan
Niat Puasa Ramadhan
Pandangan Setiap Mazhab Pada Niat Puasa
MAZHAB SYAFI’IE
Wajib berniat puasa pada setiap malam Ramadhan kerana ia adalah ibadah yang bersendiri yang tak terikat antara satu sama lain.
MAZHAB MALIKI
Seseorang itu diharuskan niat puasa sebulan pada malam Ramadhan yang pertama dan tak wajib niat setiap malam.
PANDANGAN SEBAHAGIAN ULAMA MAZHAB SYAFI’IE
Boleh berpegang pada pendapat mazhab Maliki dalam hal ini sebagai langkah bejaga-jaga dan dalam masa yang sama tetap wajib berniat pada setiap malam Ramadhan.
Syarat – Syarat Wajib Puasa
Beragama Islam
Orang Islam wajib berpuasa. Bagi orang kafir tidak wajib berpuasa. Namun apabila seseorang orang kafir masuk Islam, maka ia tidak wajib mengqadha puasa selama ia masih kafir. Sebagaimana sabda Rasulullah:
“ Islam itu memutus dosa-dosa yang telah lalu”
Berbeza dengan halnya dengan orang murtad, mereka tetap terkena wajib puasa. Hal ini kerana bila mereka kembali ke pangkuan Islam, maka wajib mengqadha puasa yang di tinggalkan semasa murtad.
Baligh dan berakal
Bagi kanak-kanak yang kecil harus di biasakan dan diperintahkan berpuasa sejak usia 7 tahun bila di perkirakan ia sudah sanggup berpuasa. Bila pada usia 10 tahun ia tidak mahu berpuasa, maka ia boleh dipukul sebagaimana halnya dengan solat. Yang berhak memerintah dan memukul ialah walinya.
Bebas dari uzur Syarie
Terdapat uzur syar’ie yang mencegah daripada berpuasa, dan ada pula uzur yang mengharuskan untuk berbuka puasa. Antara uzur syar’ie yang mencegah daripada berpuasa ialah:
- Keluar darah haid
- Keluar darah nifas
- Pitam atau pengsan sepanjang hari
Manakala uzur syar’ie yang mengharuskan berbuka puasa ialah:
- Sakit yang boleh memudaratkan jika di teruskan berpuasa
- Bermusafir melebihi dua marhalah
- Tidak mampu berpuasa di sebabkan sakit
Syarat Sah Puasa
- Islam:tidak sah puasa orang kafir atau orang yang murtad dari agama.
- Berakal: tidak sah puasa orang gila dan juga kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana puasa memerlukan niat dan niat ini hanya boleh dilakukan oleh orang-orang yang berakal sahaja.
- Mumayyiz: Kanak-kanak apabila telah mumayyiz, sah lah puasanya tetapi belum wajib. Apabila sampai umurnya tujuh tahun, ibu-bapa atau penjaganya hendaklah melatihnya berpuasa, jika tiada sebarang halangan- sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda mengenai solat. Apabila ia mencecah usia baligh, wajib lah atasnya berpuasa.
- Niat pada waktu malam puasa fardhu:Dalam puasa wajib, niat harus di tetapkan sebelum fajar dan menyebutkan jenis puasanya.Niat ini biasanya terlaksana dengan makan sahur untuk berpuasa , maka hal itu sudah dianggap sah. Dalil untuk masalah ini adalah hadith yang di riwayatkan oleh penyusun Kitab-Kitab Sunan di mana Nabi s.a.w bersabda:
“ Barangsiapa tidak menetapkan puasa sebelum fajar, maka tidak ada puasa baginya.”
- Suci dari haid dan nifas:tidak sah puasa orang yang kedatangan haid dan nifas, malah diharamkan mereka berdua berpuasa.
- Menahan dari perkara yang membatalkan puasa:Menahan diri di sini bermaksud menahan diri dari segala hal yang membatalkan puasa dari terbitnya fajar shadiqhingga terbenam matahari.Contohnya menahan diri daripada makan dan minum.
- Puasa dilakukan pada hari-hari yang diharuskan berpuasa:hari-hari sepanjang tahun merupakan waktu yang harus berpuasa kecuali dua hari raya, hari-hari tasyrik dan hari syak.
Orang-orang yang tidak memiliki syarat-syarat di atas atau salah satu darinya, tidak sah puasanya.
Bacaan Doa Berbuka Puasa
Doa berbuka puasa dibaca ketika hendak berbuka.
Selalunya bacaan doa berbuka akan disertai dengan doa makan.
Terdapat 2 ‘versi’ bacaan berbuka puasa. Satu ketika anda berbuka berseorangan, dan satu lagi jika berbuka ramai (lebih dari seorang).
Doa berbuka sendirian
Allahumma Lakasumtu Wabika Aamantu Wa’alaa Rizqika Afthortu Birohmatika Yaa Arhamar Roohimiin .
Maksudnya: Ya Allah kerana Mu aku berpuasa, Dengan Mu aku beriman, kepada Mu aku berserah dan dengan rezeki Mu aku berbuka (puasa) dengan Rahmat Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih.
Doa Berbuka Beramai-ramai
Allahumma Lakasumna Wabika Aamanna Wa’alaa Rizqika Afthorna Birohmatika Yaa Arhamar Roohimiin
Maksudnya: Ya Allah kerana Mu kami berpuasa, Dengan Mu kami beriman, kepada Mu kami berserah dan dengan rezeki Mu kami berbuka (puasa) dengan Rahmat Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih
Artikel lain: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan Adalah Tidak Benar