Organ Tubuh Manusia Yang Diserang Covid-19
Organ Tubuh Manusia Yang Diserang Covid-19: Sejak bermulanya wabak, jangkitan Covid-19 pada tahap kritikal diramalkan akan mampu menyebabkan masalah pernafasan di kalangan pesakit.
Bagaimanapun, semakin kita memahami apa yang sedang berlaku – semakin jelas tahap kerosakan pada tubuh yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 lebih luas berbanding apa yang kita ramalkan sebelumnya. Laporan berkenaan tahap ‘commordibity’ pesakit, di mana seseorang pesakit mengalami simptom-simptom luar jangkaan mula diterbitkan pada kekerapan tinggi.
Isi Kandungan
Organ Tubuh Manusia Yang Diserang Covid-19
Berikut adalah kompilasi ringkas tentang organ-organ manusia yang didapati mengalami kegagalan akibat Covid-19 serta rujukan-rujukan penting yang melaporkan tentangnya.
1. Jantung
Pada peringkat permulaan, majoriti masalah pernafasan yang dihadapi pesakit Covid-19 dipercayai berpunca daripada jangkitan ke atas paru-paru.
Malangnya penemuan kes-kes baru di mana pesakit mengalami masalah kerosakan pada bahagian jantung sedangkan tidak pernah mengalami masalah itu sebelum ini mula dilaporkan kerap berlaku.
Serangan kepada jantung telah direkodkan boleh berlaku kepada individu pesakit Covid-19 yang tiada rekod masalah kesihatan pada jantungnya. Jantung pesakit dilaporkan mengalami masalah bengkak sehingga menyebabkan kerosakan tisu jantung sehinggakan gagal mengepam darah dengan sempurna.
Satu kes pesakit di Itali menjadi antara kes unik melibatkan jantung, di mana pesakit Covid-19 itu didapati positif jangkitan tidak menampakkan simptom-simptom masalah pada paru-paru dan sistem pernafasan, sebaliknya mengalami simptom masalah jantung sahaja.
2. Buah pinggang
Beberapa kajian sudah mula melaporkan tentang hubungkait kerosakan buah pinggang yang boleh berlaku, disebabkan oleh kerosakan yang bermula sama ada pada organ paru-paru atau jantung – berpunca daripada hubungan kedua-dua organ itu dengan buah pinggang yang diistilahkan dalam kajian sains sebagai ‘organ crosstalk.’
Kajian yang dijalankan mendapati seandainya seorang pesakit mempunyai jangkitan Covid-19 sehingga menyebabkan sindrom masalah pernafasan akut (acute respiratory distress syndrome atau ARDS), pesakit mempunyai 4 ke 7% peluang berdepan kerosakan buah pinggang yang teruk.
Dalam bedah siasat ke atas buah pinggang 26 pesakit Covid-19 yang telah meninggal dunia, didapati berlakunya kecederaan pada buah pinggang pesakit serta kehadiran protein yang terlalu tinggi dalam air kencing mereka – menandakan berlakunya kegagalan buah pinggang semasa jangkitan.
Sindrom ini dinamakan sebagai ‘proteinuria.’
3. Hati
Kerosakan pada hati tidak unik hanya kepada Covid-19.
Jangkitan SARS tahun 2003 dan MERS tahun 2012 turut sama menampakkan simptom serupa di mana ketiga-tiga virus didapati mempunyai keupayaan untuk menyebabkan kerosakan pada hati. Walau bagaimanapun, laporan tentang kerosakan terhadap organ hati disebabkan Covid-19 masih berada pada tahap rendah.
Ini mungkin melegakan kita namun disebabkan oleh jumlah kes yang rendah, kita juga tidak dapat memahami dengan lebih baik apakah punca serta jenis kerosakan yang boleh berlaku.
Setakat ini, beberapa teori cuba memperjelaskan punca kenapa kerosakan hati boleh berlaku – sama ada disebabkan jangkitan virus sendiri ataupun sebenarnya disebabkan oleh kandungan ubat-ubatan yang diberikan pada pesakit.
Kondisi yang digelarkan ‘steatosis’ atau perubahan pada tahap lemak lipid kerap ditemui pada hati pesakit Covid-19, sama ada yang berjaya pulih atau telah meninggal dunia.
4. Sistem endokrin
Sistem endokrin dalam badan kita merupakan jalinan organ-organ yang mengawal dan menyelia penghasilan hormon penting. Hormon-hormon ini mempunyai pelbagai fungsi antaranya menjaga tahap metabolisme kita, sistem peranakan, emosi, penghasilan dan pembaikian tisu tubuh dan sebagainya.
Setakat apa yang kita tahu, belum lagi ada laporan mengaitkan kesan jangkitan virus SARS-CoV-2 sehingga mampu mengakibatkan kerosakan pada sistem ini. Namun beberapa laporan sudah berjaya membuktikan kesan steroid yang perlu diambil pesakit semasa rawatan, akan menyebabkan kegagalan sistem endokrin untuk berfungsi dengan betul.
Situasi ini amat berbahaya terhadap pesakit yang sudah mempunyai kondisi penyakit seperti diabetes, asthma dan arthritis yang bergantung dengan sejenis bahan dipanggil ‘glucocorticoid’ dalam ubatan mereka – kerana kesan steroid yang perlu diambil bagi melawan penyakit Covid-19 akan menyebabkan badan mereka tidak lagi mampu memproses ‘glucocorticoid’ dengan sempurna.
Ini akan menyebabkan tahap jangkitan penyakit sedia ada mereka bertambah teruk disebabkan rekod masalah kesihatan sedia ada serta serangan baru Covid-19.
Dalam sebuah kes di Wuhan melibatkan seorang wanita pengguna jangka panjang ‘glucocorticoid’ – didapati bahan itu mampu menyebabkan tempoh inkubasi virus penyebab Covid-19 berlaku lambat sehinggakan dia hanya berjaya dikesan positif Covid-19 selepas 40 hari jangkitan berlaku pada dirinya.
Ini menandakan seseorang yang menggunakan ‘glucocorticoid’ mempunyai kemungkinan lambat atau gagal dikesan sekiranya dia positif Covid-19, meningkatkan risiko jangkitan kepada individu di sekeliling beliau.
5. Otak dan sistem imuniti tubuh
Kami sudah menulis panjang lebar tentang serangan Covid-19 ke atas organ otak dan juga sistem imuniti tubuh kita dalam dua artikel berbeza. Penemuan dan pembuktian bahawa jangkitan wabak ini mampu menyerang dua organ itu sangat menggemparkan dunia perubatan. Kami pun takut membacanya.
Pesakit Covid-19 dilaporkan mempunyai banyak simptom abnormaliti kepada otak yang berbeza-beza situasinya. Ada yang dilaporkan hilang pendengaran dan deria bau selepas dijangkiti. Ada yang mula berhalusinasi. Hilang ingatan. Hilang kemampuan untuk berkata-kata. Ada yang menunjukkan kesan strok. Ada juga pesakit mengalami serangan sawan.
Penyelidikan baru berjaya membuktikan kemampuan virus SARS-CoV-2 untuk menyerang serta menghancurkan sel T dalam badan yang berfungsi sebagai antibodi melawan jangkitan, dalam serangan berbentuk ‘kamikaze.
Sedar tak kami tak masukkan pun paru-paru dalam senarai ini?
Semasa peringkat awal kami mula menulis tentang Covid-19 hasil bacaan laporan-laporan perubatan yang diterbitkan, nyata situasi pada ketika ini terlalu jauh bezanya jika dibandingkan dengan beberapa bulan lepas.
Begitulah berbezanya perubahan perspektif dan pemahaman kita tentang wabak menakutkan ini, ibarat musuh yang ada di depan kita tetapi kita tak mampu mengenali siapa dirinya.
Jadi, kepada mana-mana individu yang perlu duduk di rumah, duduklah di rumah diam-diam. Kepada mana-mana individu yang bekerja, lindungi diri anda sebaik mungkin.
Sumber Organ Tubuh Manusia Yang Diserang Covid-19 :iluminasi