Sumber Rujukan Globalisasi Anda

PAHANG Teliti Kaedah Terbaik Bantu Baikpulih Rumah Penduduk

Kerajaan Negeri Pahang Akan Sediakan Peruntukan Sewajarnya

pahang

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang sedang mengenalpasti kaedah terbaik bagi membantu membaiki dan membaikpulih rumah penduduk yang uzur dan rosak di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan sewajarnya untuk tujuan itu selepas kaedah yang sesuai dikenalpasti.

Menurutnya, langkah itu sebahagian usaha kerajaan negeri dalam memastikan penduduk terlibat dapat tinggal dalam rumah lebih selesa.

“Kita dapati banyak rumah perlu dibaiki (tiada angka tepat) jadi keputusan telah dibuat untuk membantu membaiki dan jumlah peruntukan bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami.

“Keputusannya dijangka diumumkan dalam tempoh kurang dua bulan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) 2021 di sini pada Selasa.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu lebih teliti dalam menyalurkan peruntukan untuk tujuan ini bagi mengelak pembaziran dan lebih banyak rumah dapat dibaiki.

“Senarai rumah yang perlu dibaiki akan dikenalpasti pejabat daerah terlibat dibantu ketua-ketua kampung dan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN),” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut mempertimbangkan untuk menambah bilangan RRP tahun ini supaya lebih ramai penduduk yang layak dapat memiliki rumah sendiri.

“Tahun ini kerajaan negeri meluluskan pembinaan 103 RRP berbanding 98 buah tahun lalu dengan peruntukan RM6.7 juta.

“Kita akan lihat kepada keperluan, jika perlu kita akan tambah lagi pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Pada Majlis Pelancaran RRP 2021 itu, seramai 202 penerima menerima surat tawaran masing-masing yang disampaikan oleh Wan Rosdy.

Sumber Sinar Harian

Artikel lain : Bas Elektrik BRT Bakal Dilancarkan Di Johor

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More