Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri Beserta 10 Amalan Sunat Ketika Hari Raya

Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri ini disediakan untuk membantu semua umat Islam yang memerlukan sebagai panduan untuk melaksanakan ibadah solat sunat Hari Raya.

Mazhab Syafi’e dan Maliki menghukum solat sunat hari raya sebagai sunat muakkad.

Sunat muakkad bermaksud sunat yang sangat dituntut. Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya semenjak ia disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. Ibn Umar r.a meriwayatkan:

“Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar r.a kesemuanya mendirikan solat dua hari raya sebelum khutbah.”

(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, Kitab Solat Dua Hari Raya)

Perlaksanaan solat ini digalakkan secara berjemaah sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis Said al-Khudri. Tetapi, ia tetap sah jika dilakukan secara bersendirian. Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri Di Rumah beserta Teks Khutbah juga disediakan untuk memudahkan anda yang ingin melaksanakan solat hari raya di rumah pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Isi Kandungan

Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri  

Cara mengerjakan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri adalah seperti solat-solat sunat dua rakaat yang lain, cuma perbezaannya adalah solat sunat ini mempunyai takbir tambahan sebanyak 7 kali untuk rakaat pertama dan 5 kali takbir tambahan untuk rakaat kedua.

Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri dua rakaat hukumnya sunat, segala rukun dan syarat serta sunatnya sama seperti solat fardu yang lima, kecuali perkara sunat yang ditambahkan iaitu:

  • bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama
  • lima kali pada rakaat yang kedua
  • disertakan dengan bertasbih di antara tiap-tiap takbir

Lafaz tasbih yang dibacakan adalah seperti berikut:

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُُ وَاللهُ أَكْبَر

Lafaz niat Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri pula adalah:

أُصَلِّي سُنَّةَ لِعِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri dua rakaat makmum / imam / sendirian kerana Allah Ta’ala.

Rakaat Pertama

  1.  Takbiratul ihram beserta niat Solat Sunat Aidilfitri/Aidiladha
  2. Membaca doa iftitah
  3. Bertakbir sebanyak tujuh (7) kali diselangi dengan lafaz tasbih sebanyak enam (6) kali
  4. Membaca surah Al-Fatihah
  5. Membaca surah dari Al-Quran
  6. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama

Rakaat Kedua

  1. Mengangkat takbir sebanyak lima (5) kali diselangi dengan lafaz tasbih sebanyak empat (4) kali
  2. Membaca surah Al-Fatihah
  3. Membaca surah dari Al-Quran
  4. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua
  5. Memberi salam

Sumber Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Bilakah Waktu Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri?

Waktu untuk melaksanakan Solat Sunat Aidilfitri adalah pada hari pertama bulan Syawal, apabila matahari telah terbit sekitar 30 minit selepas waktu Syuruq, iaitu sekitar jam 7:30 pagi, sehingga sebelum waktu Solat Zohor.

Oleh itu, waktu yang paling afdal ialah ketika matahari naik sekadar segalah, kerana pada waktu itu Rasulullah SAW sering melakukan solat. Di samping itu, di pagi hari raya disunatkan kita mandi sunat hari raya sebelum ke masjid.

Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri ini sangat diperlukan oleh semua umat Islam bagi membuat persediaan solat sunat hari raya nanti.

Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri

10 Amalan Sunat Yang Boleh Dilakukan Pada Hari Raya Aidilfitri

Selain Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri, di sini admin sediakan juga antara amalan-amalan sunat yang boleh dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri nanti antaranya:

  1. Menghidupkan Malam Raya
  2. Mandi Sunat Hari Raya Sebelum Keluar Menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri
  3. Mengemaskan Diri
  4. Memakai Pakaian Yang Terbaik
  5. Memakai Wangi-Wangian
  6. Makan/Menjamah Sebelum Keluar Rumah
  7. Bersegera Ke Masjid/Tempat Solat
  8. Memperbanyakan Takbir
  9. Menggunakan Jalan Yang Berbeza Ke Masjid (Pergi dan Balik)
  10. Ziarah Menziarahi Sesama Muslim Merapatkan Hubungan Persaudaraan/Silaturahim

Penutup

Bulan Ramadan yang mulia ini hampir sampai ke penghujungnya. Tidak lama lagi, kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, ia adalah hari kemenangan bagi kita setelah berusaha menjadi versi diri kita yang terbaik secara rohani, jasmani dan sosial dengan ketekunan, harapan dan kesabaran. Justeru, permulaan hari kemenangan kita adalah lebih baik dimulakan dengan solat sunat hari raya.

Oleh itu, diharapkan semoga perkongsian tentang Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri ini dapat membantu anda yang memerlukan dan semoga ia bermanfaat untuk anda. Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin!

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More